Review Filem Invisibles (EUFF)


Filem:
Les Invisibles

Penilaian:
7/10

Bahasa:
Perancis

Format Tayangan:
DCP 

Durasi:
103 Minit 

Genre:
Drama & Komedi

Pelakon:
Fatsah Bouyahmed, Marianne Garcia, Audrey Lamy, Déborah Lukumuena,
Noémie Lvovsky, Corinne Masiero, Pablo Pauly, Sarah Suco & Etc.

Pengarah:
Louis-Julien Petit 

Penerbit:
Liza Benguigui 

Tahun Terbitan:
2018

Klasifikasi:
P13 

Sinopsis:
Atas persetujuan pihak pentadbiran, L`Envol, sebuah rumah perlindungan golongan gelandangan wanita di Perancis, bakal ditutup. Sekumpulan pekerja sosial yang bekerja di rumah itu mencuba sedaya upaya untuk membantu golongan wanita yang tinggal di situ bersedia untuk memulakan hidup masing-masing di dunia luar. Tanpa protokol, mereka melakukan apa sahaja termasuk menipu dan memalsukan maklumat, tetapi mereka hanya diberi masa tiga bulan. Saksikan filem menarik ini di pawagam GSC terpilih sempena Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) bermula pada 17 Oktober 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Eropah yang sangat hebat berjudul Invisibles atau judul asalnya Les Invisibles di GSC Mid Valley pada 1 Oktober 2019 yang lepas sempena majlis pelancaran Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF). Filem ini memberikan kejutan kepada industri filem di Perancis dimana lebih daripada sejuta orang penonton telah menyaksikan filem ini saat ianya dimainkan di seluruh pawagam di sana. Sambutan hangat ini disebabkan oleh keadaan ekonomi di Perancis serta protes-protes jalanan yang berterusan berkaitan dengan tahap sosial rakyat disana yang akhirnya berjaya mengubah citarasa penonton di sana untuk memberi sokongan yang begitu hebat kepada filem Les Invisibles yang menampilkan unsur humor terkini bagi mereka. 


Apa yang mengagumkan kami ialah filem Invisibles yang memaparkan kisah berkaitan sekumpulan pekerja sosial serta para wanita yang tidak mempunyai tempat tinggal yang memilih untuk tinggal buat sementara di tempat perlindungan yang tidak sah berjaya menjadi filem yang mencapai kutipan tinggi disana walaupun topik filem ini pada asasnya adalah berat dan berbentuk drama. Namun, kami yakin keistimewaan filem ini semestinya datang daripada bakat-bakat pelakon yang sebenarnya merupakan bekas gelandangan sendiri seperti Adolpha van Meerhaeghe yang berusia 70 tahun dan mampu memberikan satu persembahan lakonan yang bukan sahaja bersahaja tetapi padat dengan unsur humor yang semula jadi. Wanita tua ini memainkan watak Chantal sebagai seorang perempuan tua yang tiada tempat tinggal dan sebelum ini telah dipenjarakan disebabkan terlibat di dalam kes pembunuhan suaminya secara ganas Menariknya tentang watak ini ialah nilai kejujurannya saat dirinya dibantu oleh pekerja sosial untuk mendapatkan kerja. Bayangkan untuk usia yang tua maka tawaran untuk mendapatkan pekerjaan sememangnya sangat sukar dan boleh dikatakan mustahil. Jadi, apabila terdapat sesi temuduga maka pekerja sosial meminta Chantal untuk tidak mendedahkan kisah lampaunya di penjara namun Chantal tetap tidak mahu menyembunyikan kisah hidupnya yang pada akhirnya sentiasa membuatkan dia gagal diterima untuk bekerja. Ini adalah salah satu cebisan kisah hidup gelandangan wanita di Perancis yang sangat menarik dan membantu filem ini untuk mempunyai nilai kehidupannya yang tersendiri.


Filem Invisibles mengingatkan kami kepada rakan-rakan yang sememangnya aktif di dalam hal sukarelawan sebegini. Jadi, sewaktu menonton kisah ini dimana pihak berkuasa disana memutuskan untuk menutup tempat perlindungan untuk gelandangan wanita yang dinamakan sebagai 'L'Envol' atau 'The Takeoff', kami dapat menyelami apa yang dirasakan oleh watak Audrey dan Manu yang tidak senang duduk sehingga akhirnya menawarkan bangunan persendirian mereka sendiri untuk diduduki oleh para gelandangan wanita ini. Namun, satu mesej menarik yang dapat dilihat di dalam filem ini cara Audrey dan Manu yang ingin mengubah nasib kehidupan para wanita ini dengan melakukan satu acara dimana majlis tersebut sebenarnya memaparkan setiap kebolehan yang dimiliki oleh para wanita ini untuk menarik perhatian para majikan untuk menggaji mereka yang secara tidak langsung mampu membawa keluar para wanita tersebut daripada kancah kemiskinan. Ini adalah satu perkara menarik yang boleh diaplikasikan di kalangan pekerja sosial serta sukarelawan di Malaysia selepas ini.


Walaupun filem Invisibles ini dilihat sebagai satu medium yang membantu untuk menyampaikan suara golongan-golongan gelandangan wanita ini namun pada masa yang sama karya ini juga tidak lupa untuk menyeimbangkannya dengan memberikan kritikan sosial buat segelintir gelandangan wanita yang enggan berubah. Hal ini dapat dilihat melalui barisan dialog mahu pun mesej-mesej keras yang disampaikan tentang sikap segelintir gelandangan wanita itu sendiri yang terlalu mengharapkan ihsan dan bantuan pihak walaupun mereka sebenarnya mempunyai kebolehan serta kemahiran yang hebat untuk berdikari sendiri. Kami juga tertarik dengan beberapa adegan yang memaparkan sikap ahli keluarga sukarelawan yang tidak dapat menerima dengan hati terbuka para gelandangan wanita ini seperti mana yang diharapkan oleh sukarelawan itu sendiri. Antara adegan yang menarik perhatian ialah sewaktu salah seorang sukarelawan menumpangkan gelandangan wanita di dalam kereta dimana ia adalah satu adegan yang cukup memberi kesan kepada kami.


Filem Invisibles juga bijak di dalam memberi penerangan kepada penonton tentang tugas dan misi sebenar sukarelawan yang sering kali membantu golongan-golongan yang susah atau tertindas walaupun diri mereka tidak lah mewah seperti yang disangka oleh orang lain. Filem ini mengajar penonton untuk menghargai dan menyanjungi usaha-usaha yang dijalankan oleh para sukarelawan yang berhati mulia ini. Anda akan lebih memahami apa sebenarnya yang berada di dalam hati dan jiwa sukarelawan hebat ini selepas anda selesai menonton filem Invisibles ini. Pada kami, filem Invisibles ini walaupun momentum penceritaannya sedikit perlahan dan lebih kepada genre drama yang adakalanya kelihatan generik namun ia memberikan satu nafas baru kepada filem yang bercirikan nilai kemanusiaan sebegini untuk diterima oleh lebih ramai penonton di seluruh dunia selepas ini.


Jadi, selamat menonton filem Invisibles di pawagam GSC terpilih bermula pada 17 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul 7 Hari Kisah Cinta Langkawi. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Agak menarik dari pembacaan ulasan yang diberikan di atas. Errmmm... Satu nasihat yang baik untuk diberikan kepada masyarakat di luar sana

    BalasPadam
    Balasan
    1. untuk manusia lebih memahami jiwa seorang sukarelawan :)

      Padam