Review Filem Love And Run


Filem:
Love And Run

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Chainarong Tampong

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Chanon Santinatornkul, Kao Supassara Thanachat, Gornpop Janjaroen, Pongtiwat Tangwancharoen & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
24 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Due yang merupakan seorang budak kampung dan dibesarkan oleh bapanya Keing, seorang pemilik kedai mi, bersama makciknya yang cantik bernama Lin. Walau bagaimanapun, Due terlalu mengongkong makciknya sehinggakan wanita itu sukar untuk mendapat teman lelaki idamannya. Lin telah berpindah ke Bangkok untuk bekerja sebagai seorang jururawat dimana dia mula didekati Man dan beberapa lelaki lain. Seperti biasa, Due cuba menghalang lelaki-lelaki itu daripada mendekati makciknya. Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 24 Oktober 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak GSC Movies untuk menghadiri tayangan filem Love And Run bertempat di GSC 3 Damansara pada 22 Oktober 2019 yang lepas. Sama seperti mana filem-filem komedi romantik dari Thailand, kami yakin anda pasti tidak akan kecewa dan terhibur dengan elemen-elemen komedi yang dipaparkan di dalam karya kali ini yang sememangnya berjaya menggeletek hati kami untuk bergelak ketawa menyaksikan gelagat watak-watak yang wujud di dalam filem ini.


Filem Love And Run ini berkisarkan tentang seorang lelaki bersama Due yang sangat pantang melihat mana-mana lelaki dekat atau cuba menawan hati makcik saudaranya iaitu Lin. Jadi, penonton ditinggalkan dengan satu persoalan menarik tentang apa yang menyebabkan Due berkelakuan sedemikian. Maka kronologi cerita mula membawa penonton untuk melihat obsesi pelik Due ini yang sentiasa cuba untuk  memastikan Lin tidak akan jatuh cinta atau berjaya di dalam mana-mana perhubungan dengan setiap lelaki yang ditemuinya.


Kami melihat kekuatan utama filem Love And Run ini ialah pada elemen komedinya. Jika anda peminat filem komedi dari Thailand maka anda pasti akan dapat mengenali jenaka yang cuba dipaparkan dimana ianya bersifat komikal, nakal dan berani. Jadi, kebanyakkan adegan-adegan yang mengguna pakai elemen humor ini pada kami sememangnya berjaya membuatkan suasana filem ini begitu ceria dan anda pasti akan ternanti-nanti apakah yang akan berlaku pada babak-babak seterusnya disebabkan hiburan yang cukup menjadi ini.


Filem Love And Run juga pada awalnya bermula baik dimana selain daripada usaha-usaha Due di dalam menggagalkan hubungan Lin dan lelaki lain, penonton juga akan dibawa melihat sendiri perkembangan watak Due yang berada di dalam dilema apabila merasakan dirinya seperti menyukai Lin. Tetapi, perkara ini adalah tidak mungkin terjadi kerana mereka berdua adalah saudara. Jadi, apabila fiem ini cuba memanipulasikan permainan plot pada bahagian klimaks kisahnya maka kami melihat ianya adalah satu yang menarik dan ia juga turut menimbulkan kelemahan buat filem ini. Menariknya kerana bagaimana perubahan plot yang diwujudkan berjaya mewujudkan atmosfera yang berlainan buat kedua-dua watak utama filem ini iaitu Due dan Lin tetapi sayangnya kelemahan ketara dapat dilihat pada bahagian akhir apabila perkembangan kisah dua watak ini berlangsung dengan cara tergesa-gesa dan kurang meyakinkan. Momentumnya tidak selari dari sudut paras impaknya berbanding dengan perkembangan cerita pada peringkat awal dan pertengahan yang lebih menarik dan menghiburkan. 


Namun, secara keseluruhannya filem Love And Run ini sememangnya merupakan sebuah naskah yang cukup menghiburkan walaupun ada beberapa perkara yang boleh diramal. Tetapi, jika anda meminati sebuah filem komedi romantik yang ringan dan ingin menyelami warna-warni kisah percintaan, kekelurgaan mahu pun persahabatan maka filem ini adalah pilihan yang tepat buat anda. Kami sendiri secara jujurnya sangat gembira menonton filem Thailand yang cukup lucu ini.


Jadi, selamat menonton filem Love And Run di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 24 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem Terminator: Dark Fate Yang Dinanti Ramai Peminat Filem Siri Terminator. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan