Filem:
The Conductor
Penilaian:
9/10
Bahasa:
Inggeris
Format Tayangan:
DCP
Durasi:
140 Minit
Genre:
Drama
Pelakon:
Christianne de Bruijn, Benjamin Wainwright & Etc.
Pengarah:
Maria Peters
Penerbit:
Dave Schram
Tahun Terbitan:
2018
Klasifikasi:
P13
Senarai Anugerah Yang Diterima:
❖ SCENECS International Debut Film Festival 2018 (Best Acting Talent Award)
Sinopsis:
Berdasarkan kisah sebenar seorang manusia kelahiran Belanda, AS mengangkat Antonia Brico yang merupakan konduktor wanita pertama. Tiada siapa yang menganggap serius cita-cita beliau kerana dia merupakan seorang wanita. Tambahan pula, semua orang yang berada di sekelilingnya tidak menggalakkannya untuk mengikuti minatnya yang mendalam tersebut. Namun, disebakan ketabahannya yang luar biasa menjadikan dia sebagai wanita pertama yang mengendalikan Orkestra Philharmonic Berlin. Tetapi, tekanan emosi telah mengancam dirinya apabila hal cintanya telah meletakkannya dalam kedudukan yang sukar. Apakah pilihan yang akan dibuat oleh Antonia?
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Eropah yang sangat menarik berjudul The Conductor atau judul asalnya De dirigent di GSC Mid Valley pada 21 Oktober 2019 yang lepas sempena Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) yang sedang berlangsung di pawagam GSC terpilih pada bulan ini. Kami rasa ini merupakan filem dari Belanda yang pertama kami tonton dan ia adalah sebuah karya yang pada kami sangat menawan daripada setiap sudut tidak kira sama ada plot ceritanya, sinematiknya mahu pun latarnya. Filem ini diadaptasi daripada kisah sebenar tentang seorang wanita bernama Antonia Brico yang merupakan konduktor wanita pertama di dunia yang berjaya mengendalikan sebuah simfoni orkestra yang besar dan mengejutkan dunia apabla membuktikan bahawa wanita turut sama mampu mengejar impian mereka seperti mana para lelaki di serata dunia.
Filem The Conductor ini pada kami datang tepat pada masanya dimana masyarakat sudah dapat melihat dan menerima hal sebegini dimana ianya sangat bertentangan dengan penerima masyarakat pada latar tahun sekitar 1920 hingga 1940 untuk negara-negara Eropah. Menariknya tentang filem ini ialah selain memaparkan kisah Antonia Brico yang sentiasa ghairah mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang konduktor, filem ini juga turut sama membawa penonton untuk melihat bagaimana suasana di negara-negara Eropah dahulu juga turut tidak dapat lari untuk bersikap prejudis terhadap keupayaan wanita itu sendiri. Lebih menarik ia bukan sekadar memaparkan keadaan seksis yang menunjukkan bagaimana kaum lelaki sahaja memandang wanita tetapi juga bagaimana wanita sendiri memandang wanita dalam keadaan paling rendah juga sangat menarik menarik untuk diperhatikan. Ia sama juga seperti mana di dalam masyarakat kita pada satu ketika dahulu yang menyatakan tempat wanita cuma di dapur sahaja dan di dalam filem ini juga kita dapat melihat tentang hal tersebut.
Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran watak Robin Jones lakonan Scott Turner Schofield yang merupakan rakan, majikan serta penyokong utama cita-cita Antonia dimana watak ini sebenarnya telah memberikan kesan serta impak yang cukup mendalam terhadap keseluruhan perjalanan filem ini. Pada kami, ia memang satu pendekatan yang sangat menarik untuk membuatkan penonton dapat menghayati apa yang cuba disampaikan oleh filem ini. Selain itu, kekuatan filem The Conductor juga terletak kepada seni muzik yang cukup klasik daripada barisan orkestra yang terdapat di dalam filem ini. Buat anda yang menggemari irama orkestra seperti kami maka anda pasti akan menyukai alunan indah muzik serta melodi yang melatari filem ini nanti. Dibantu dengan sinematografi, pencahayaan, busana serta props yang digunakan sangat membantu untuk menyerlahkan lagi latar masa filem ini dan ianya pada kami sangat meyakinkan.
Satu perkara yang unik tentang filem The Conductor ini ialah tentang kisah cinta watak utamanya yang dilakon oleh pelakon hebat Christanne de Bruijn yang memegang watak Antonia Brico dan Benjamin Wainwright sebagai seorang lelaki yang cukup ego, Frank Thompson. Kami melihat kedua-dua pelakin ini dapat menjiwai emosi watak mereka dengan cukup baik dimana kami sebagai penonton sendiri dapat memahami setiap emosi yang dipaparkan itu adalah berbeza daripada apa yang dizahirkan pada reaksi wajah mereka. Kisah cinta mereka juga berakhir dengan satu kisah yang cukup lain daripada kebiasaan dan ini membuatkan kami cukup gembira dengan pengolahan kisah hubungan kedua-dua watak ini. Sentiasa berjaya memberikan kejutan serta sukar untuk diramal tentang kedua-dua karakter watak ini yang sentiasa berubah mengikut situasi filem tersebut.
Selain anda menonton bagaimana Antonia begitu berani dan serius untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang konduktor di dalam filem The Conductor ini, anda juga akan dibawa untuk mengenali dengan lebih rapat sosok seorang wanita hebat ini yang cuba mencari dirinya dan susur galur keluarganya yang sebenar. Dibantu oleh susunan dialog yang cukup padu dan pedas, kami yakin anda pasti gembira menonton filem yang berdurasi hampir dua jam ini yang sememangnya menakjubkan. Memetik satu kata-kata menarik daripada Antonia Brico sendiri yang berbunyi, "You're either born a musician or you're born not a musician. It has nothing to do with gender" maka kami sangat menyarankan anda untuk menonton filem ini di pawagam GSC terpilih pada bulan ini.
Jadi, selamat menonton filem The Conductor di pawagam GSC terpilih. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Komedi Romantik Dari Thailand Berjudul Love And Run. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan