Review Filem My People, My Country


Filem:
My People, My Country

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Kaige Chen
Zhang Yi Bai
Guan Hu
Xue Xiaolu
Xu Zheng
Ning Hao
Wen Muye
Vivian Qu

Genre:
Drama & Sejarah

Pelakon:
Huang Bo, Zhang Yi, Han Haolin, Du Jiang, Ge You, Song Jia, Liu Hao Ran & Etc.

Tarikh Tayangan:
3 Oktober 2019

Pengedar:
MM2 Entertainment

Sinopsis:
Filem yang dihasikan bersempena ulang tahun China ke-70 ini menceritakan tujuh buah kisah. Semuanya berdasarkan tujuh peristiwa bersejarah sejak pengasasan Republik Rakyat China. Setiap kisah memfokuskan konsep yang mana walaupun sesebuah negara itu besar dan rakyatnya pula kelihatan kecil, mereka sebenarnya tidak boleh wujud tanpa satu sama lain. Kisah-kisah itu menceritakan perkara yang dilakukan oleh orang biasa dan sebab-sebab di sebaliknya yang menunjukkan hubungan rapat antara negara itu bersama rakyatnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak MM2 Entertainment Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan filem My People, My Country bertempat di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 3 Oktober 2019 yang lepas. Menariknya tentang filem ini ialah ia membawa penonton melihat kembali sejarah-sejarah yang dilakarkan negara China saat penubuhan negara Republik China sehinggalah kepada kejayaan-kejayaan besar pada peringkat dunia seperti penghasilan bom atom, kejayaan di dalam sukan Olimpik, penerokaan kapal angkasa Shenzou-11, sejarah penyerahan semula Hong Kong kepada China oleh Britain dan lain-lain yang membuatkan anda dapat mengenali sejarah negara China dengan lebih baik.


Keunikan filem My People, My Country ini adalah walaupun setiap kisahnya adalah berkisarkan tentang kejayaan sesuatu perkara sama ada dari sudut teknologinya mahu pun kebudayaan mereka namun ia tidak memberi sepenuh fokus kepada wira-wira yang terlibat di dalam setiap kejadian sejarah ini tetapi ia membahagikan sama rata dengan ramai manusia lain yang berada di sekitar wira setiap kisah yang dipaparkan ini. Tujuh kisah yang diolah dan diarahkan oleh pengarah yang berbeza namun setiap daripada mereka sepakat untuk mengikuti formula untuk mengangkat setiap wira dan orang-orang terdekat sebagai faktor utama kepada kejayaan yang diraih oleh negara China sepanjang 70 tahun penubuhan negara berkenaan.


Ada beberapa kisah yang menarik perhatian kami iaitu kisah penubuhan republik negara China yang mana ia memaparkan bagaimana wira-wira di dalam kisah tersebut mengharungi detik sukar untuk memastikan bendera mereka yang digerakkan secara automatik menggunakan teknologi hebat pada era tersebut berjaya bergerak tanpa ada sebarang halangan atau masalah. Selain itu, kami juga tertarik dengan kisah cinta kanak-kanak yang pada akhirnya ada kaitan dengan kejayaan di sukan Olimpik yang sememangnya mencuit hati terutama dari sudut humornya. Selain itu, kisah tentang penganjuran sukan Olimpik di China juga pada kami mempunyai kisah yang agak menarik berkaitan dengan tiket pembukaan sukan Olimpik yang berjaya menyampaikan satu nilai murni yang cukup baik. Secara keseluruhan, filem My People, My Country ini sememangnya menarik untuk ditonton untuk anda yang ingin mengetahui tentang kejayaan-kejayaan yang telah diraih oleh negara tembok besar tersebut.


Jadi, selamat menonton filem My People, My Country di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 3 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Bakal Kami Tonton Selepas Ini? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan