Review Filem Dua Garis Biru


Filem:
Dua Garis Biru

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Gina S.Noer

Genre:
Drama, Romantik & Remaja

Pelakon:
Angga Aldi Yunanda, Adhisty Zara, Lulu Tobing, Cut Mini Theo, Dwi Sasono & Etc.

Tarikh Tayangan:
3 Oktober 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Dara dan Bima yang merupakan sepasang kekasih bersekolah tinggi yang berusia 17 tahun. Namun kegembiraan mereka terhenti seketika apabila mereka terlanjur dan Dara disahkan hamil anak luar nikah. Bima kemudiannya bersetuju untuk bertanggungjawab terhadap Dara. Kini mereka perlu berdepan cabaran sebagai pasangan ibu bapa muda. Mereka juga perlu berhadapan dengan ibu bapa masing-masing untuk memberitahu hal sebenar. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 3 Oktober 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Indonesia yang berjudul Dua Garis Biru di TGV Cinemas Jaya Centre pada  4 Oktober 2019 yang lepas. Pada kami, filem ini sebenarnya telah memaparkan satu kisah yang sangat menarik dan berjaya menyentuh isu taboo di kalangan penduduk Muslim Asia Tenggara berkenaan dengan isu remaja terlanjur serta anak tidak sah taraf. Apa yang membuatkan kami teruja ialah berkenaan dengan cara penyampaiannya yang bukan sahaja disusun dengan cukup baik tetapi juga dengan kaedah yang bijak tanpa perlu menggunakan teknik ceramah yang meleret-leret sehingga ia kelihatan seperti satu ceramah yang panjang. Pada kami filem yang penuh dengan nilai moral serta pengajaran menarik buat para remaja dan ibu bapa diluar sana ini sangat berguna untuk ditonton.


Filem ini dimulakan dengan perkenalan watak Bima dan Dara melalui adegan di dalam kelas. Kami sudah tertarik dengan adegan pembukaan ini yang memaparkan Dara sebagai seorang gadis cemerlang dari sudut akademik boleh tertarik dengan Bima yang merupakan pelajar paling tercorot di dalam kelas. Hal ini sememangnya menarik jika dilihat dan dikaji kerana majoriti kes melibatkan wanita yang bijak tetapi terperangkap dengan pujuk rayu lelaki yang kurang dari sudut akademik tetapi mempunyai kelebihan lain yang ramai gelarkan sebagai lelaki 'bermulut manis'. Cuma kelainan yang dipaparkan di dalam filem ini yang pada kami sangat positif ialah kisahnya memaparkan pihak lelaki ingin bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku dan mengambil peranan untuk melindungi bakal anaknya yang akan dilahirkan tidak lama lagi.


Namun, konflik menjadi semakin menarik apabila ia melibatkan keluarga Bima yang merupakan golongan berpendapatan rendah dah keluarga Dara yang dilihat merupakan golongan berada. Pertemuan kedua-dua keluarga ini yang mempunyai pendekatan berbeza di dalam melayan si anak dan bagaimana cara mereka menerima apa yang telah berlaku adalah satu perkara yang sangat meyakinkan dan semestinya akan terjadi kepada mana-mana pun ibu bapa yang berhadapan dengan isu ketelanjuran anak-anak ini. Tetapi, yang menjadikan penglibatan watak ibu bapa ini sangat kuat ialah dari sudut pemilihan dialog mereka dan bagaimana mereka memberi jiwa kepada persembahan masing-masing sehingga berjaya memberikan satu kesan emosi yang hebat kepada penonton yang menontonnya. 


Satu lagi perkara yang menarik perhatian kami ialah bagaimana cara Bima dan Dara berfikir di dalam menyelesaikan masalah dimana filem ini bijak memaparkan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kematangan serta fikiran yang mentah. Anak-anak muda sentiasa menyatakan mereka sudah dewasa dan sudah tahu mana yang baik mahu pun yang buruk. Namun, filem ini berjaya memaparkan apa sebenarnya yang dikatakan bahawa anak-anak muda ini masih mentah di dalam menggalas cabaran sebagai ibu bapa di dalam membesarkan anak-anak. Ia bukan sekadar dari sudut pelajaran mahu pun pekerjaan tetapi sebenarnya ialah ilmu keibubapaan yang sangat penting untuk menjadikan mereka sebagai ibu bapa yang punya kualiti dan bukannya kuantiti. Satu adegan menarik yang memaparkan Bima masih bermain permainan video di telefon dan bagaimana Bima dan Dara kemudian bertengkar tentang pengorbanan yang mereka telah lakukan dan apa yang mereka telah hilangkan dan lepaskan demi tanggungjawab yang dipikul akibat gagal menahan nafsu serakah yang membara sebelum ini. Pada kami, filem ini sangat hebat kerana ia tidak pernah cuba untuk menghakimi remaja-remaja seperti Bima dan Dara tetapi ianya memaparkan kenapa remaja-remaja seperti mereka harus berfikir semasak-masaknya sebelum melakukan hubungan kelamin tidak sah taraf seperti ini.


Filem Dua Garis Biru ini sememangnya penuh dengan elemen kekeluargaan dan keibubapaan yang sebenarnya turut berjaya membuka mata ibu bapa tentang bagaimana dan apa yang harus dilakukan jika terpaksa berhadapan dengan kejadian sebegini pada masa akan datang. Ia tidak bermaksud untuk memberitahu ibu bapa hanya tentang soal maaf mahu pun toleransi tetapi ia sebenarnya mahu membuka sisi kemanusiaan setiap ibu bapa untuk benar-benar melihat secara mendalam serta mengenal isi hati anak mereka secara lebih baik dengan memulakannya melalui komunikasi. Komunikasi antara ibu bapa dan anak adalah sangat penting dan filem ini telah menjelaskan hal tersebut dengan cukup baik. Secara keseluruhannya, filem ini sememangnya sangat bagus bukan sahaja berdasarkan intipati penceritaannya yang menarik atau pun pemilihan pelakon serta dialog yang bagus dan punya jiwa semata-mata. Tetapi, pemilihan lagu latar atau soundtrack lagu ini sangat kena dan meresap ke dalam setiap babak-babak berkaitan untuk membuatkan kami sebagai penonton berasa lebih dekat dengan kehidupan serta apa yang sedang dialami oleh Bima dan Dara. Pada kami, filem Dua Garis Biru bukan sekadar sebuah filem yang cuba mendidik penonton melalui pendidikan seks semata-mata tetapi ianya adalah lebih mengjangkau soal-soal penting yang kita sering kali terlupa atau tidak nampak iaitu berkaitan nilai pendidikan keibubapaan yang perlu ada pada setiap ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka agar menjadi manusia yang berguna.


Jadi, selamat menonton filem Dua Garis Biru di pawagam terpilih bermula pada 3 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Dokumentari Dari China Iaitu My People My Country. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. macam best je cerita ini

    salam perkenalan

    nak tanya sudi ke nak bertukr link dengan blog saya. kalau sudi sila comment di blog saya www.oohsenyum.com di mana-mana post. saya tunggu tau!

    BalasPadam
    Balasan
    1. memang best sebab cerita dia tak menghakimi sesiapa
      dia biarkan kita buat keputusan sendiri

      Padam
  2. Best jugak dari segi mesej disampaikan ni. Ingatkan kisah cinta biasa Bima-Dara je. Nice lah

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      poster nampak macam kisah cinta remaja biasa-biasa tetapi sebenarnya cerita dia lebih dari tu

      Padam