Review Filem War


Filem:
War

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Siddharth Anand

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Hrithik Roshan, Tiger Shroff, Vaani Kapoor, Ashutosh Rana & Etc.

Tarikh Tayangan:
2 Oktober 2019

Pengedar:
Nusantara Seni Karya Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang tentera India bernama Khalid yang telah ditugaskan untuk memburu dan menumpaskan seorang bekas tentera yang juga merupakan mentor lamanya iaitu Kabir. Khalid keliru dengan pendirian Kabir yang sebelum ini telah membunuh ayahnya disebabkan pengkhianatan kepada negara tetapi kini berpaling tadah dan memberi masalah kepada negara India. Khalid cuba mencari apa sebenarnya yang berlaku sehingga mengubah pendirian Kabir. Berjayakah Khalid menemui jawapannya? Saksikan filem menarik yang penuh dengan aksi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 2 Oktober 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Nusantara Seni Karya untuk menghadiri tayangan istimewa filem Bollywood berjudul War bertempat di TGV One Utama pada 2 Oktober 2019 yang lepas. Kami sebenarnya sangat tertarik dengan kisah ringkas sinopsis filem ini yang memaparkan pertembungan antara guru dan anak murid atau bahasa moden sekarang mentor dan protege dimana kami melihat filem ini bakal memberikan kepuasan dari sudut pengalaman sinema dan ianya terbukti berkesan buat kami.


Kami melihat filem War berjaya memaparkan banyak permainan plot yang menarik dan semestinya pemikiran penonton kebanyakannya telah dimanipulasi dengan kadar paling maksimum untuk berasa terkejut, tertipu mahu pun teruja dengan apa yang mereka tonton di layar perak ini. Pada kami, kronologi filem War ini berjaya disusun dengan cantik serta teliti untuk menjadikan olahan penceritaannya bukan sahaja dapat difahami tetapi juga berjaya mengekalkan tahap konsisten kami dengan pelbagai kejutan yang diberi sejak daripada awal filem sehingga kepada penamatnya. Sememangnya agak sukar untuk meramal rahsia sebenar filem ini yang menjalani penggambaran di banyak buah negara selain India sehinggalah anda menontonnya ke akhir penceritaan.


Apa yang menariknya tentang filem War ini apabila ia bijak menimbulkan persoalan-persoalan menarik kepada penonton tentang pegangan prinsip yang dipegang oleh watak Kabir yang dilihat pelbagai sejak permulaan, babak imbas kembali serta adegan semasa. Kabir pada awalnya dipaparkan sebagai salah seorang yang berpaling tadah dengan kerajaan India dan dianggap pengkhianat negara kerana terlibat membunuh orang yang berkepentingan di dalam misi India memburu pengganas. Apabila babak imbas kembali mula memainkan peranan, watak Kabir dilihat sangat berlainan dimana sikap patriotisma di dalam jiwanya memang tiada tolok bandingnya. Jadi, apabila perkara ini dimainkan sebagai objektif utama pada bahagian pertama filem ini maka ia berjaya membuatkan kami begitu teruja untuk mengetahui sebab-sebab yang mengubah seorang manusia bernama Kabir ini. Semakin kami menonton maka semakin banyak filem ini memberi kejutan yang boleh kami katakan sebagai kejutan yang cemerlang, terbilang dan gemilang untuk sebuah filem aksi Bollywood sebegini.


Kami melihat pemilihan Hrithik Roshan sebagai Kabir adalah satu pilihan yang bijak kerana pelakon hebat ini memiliki karisma serta susuk tubuh yang sangat meyakinkan. Keserasiannya dengan pelakon muda yang sedang meningkat naik iaitu Tiger Shroff juga dilihat menjadi dimana elemen emosi melibatkan adegan mereka berdua sememangnya berjaya memberi kesan yang positif. Tiger Shroff tidak dinafikan mempunyai daya penarik dari segi rupa, susuk tubuh yang kekar serta kebolehannya di dalam memberikan persembahan tarian yang baik. Babak-babak aksi melibatkan Hrithik dan Tiger juga sememangnya menarik dan sangat padu untuk membuatkan peminat filem aksi terpukau dan terhibur dengan apa yang mereka tonton di layar kaca nanti. Cuma kami melihat persembahan lakonan Tiger di dalam beberapa adegan kelihatan sedikit lemah dan kurang memberi impak seperti mana yang diberikan oleh Hrithik terutama dari segi lontaran dialog serta luahan emosi yang kelihatan sedikit tersekat.


Tidak dinafikan filem War ini dilihat berjaya dari segi beberapa elemennya seperti sinematografi, gred warna visual, skor bunyi serta koreografer aksinya yang pada kami menepati kehendak peminat filem aksi. Sememangnya filem genre aksi sebegini majoritinya menolak jauh elemen logik filem dimana terdapat banyak babak aksi yang jika dilihat adalah sukar untuk diterima oleh akal yang waras. Namun, cara mereka menyunting adegan-adegan aksi ini disamping cara persembahan, penggunaan props dan solekan ngeri yang digunakan telah membuatkan hal-hal luar biasa ini mudah diterima akal disebabkan persembahan lakonan yang meyakinkan. Secara keseluruhan, filem War merupakan salah sebuah filem aksi Bollywood yang pada kami sangat menghiburkan dengan aksi-aksi serta lagak ngeri yang sememangnya menarik perhatian. Ditambah pula dengan teknik plot twist yang kerap digunakan tetapi ajaibnya ia menjadi membuatkan kami dapat memaafkan elemen-elemen karut yang tidak mengikut logik filem ini. Berbaloi untuk anda yang meminati filem Bollywood mahu pun filem bergenre aksi dengan menontonnya di pawagam-pawagam yang berdekatan dengan anda. 


Jadi, selamat menonton filem War di pawagam terpilih bermula pada 2 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Indonesia Yang Mendapat Pujian Ramai Iaitu Dua Garis Biru. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Tepat sungguh ulasan Hans. Pada saya ini adalah era baru film Bollywood. Aksi hebat, plot twist yg bijak dan gandingan pelakon dan hero amat menjamu mata yg menonton, pasti membuat peminat terutama golongan wanita terinzal. Apa yg buat saya tabik film ni ia merojakkan siri film² Mission Impossible dan Face Off, malah dgn lebih baik lagi. Lokasi film ni pula meliputi semua benua memang menakjubkan. Amat puas hati. TQ Hans di atas ulasan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      memang layankan
      tak lah rasa bosan tengok filem nih
      aksi dia padu
      plot twist pun not bad walaupun bila fikir balik tak logik langsung
      hahahaha

      Padam
    2. Betoi tu Hans, saya memang gelak besar plot twist nya, dah la tak logik, tiru film Face Off pulak. Tapi sebenarnya scene tu amat menyedihkan. Tak sangka langsong ending nya begitu, ibu nya datang ambil pingat mewakili dia. Yes, apa² janji film ni menghiburkan dan tak bosan mcm film² Russia tu, heheh...

      Padam
    3. yups...
      plot twist dia merepek sikit tetapi not bad lah
      layan jer kan
      part last tu memang sedih

      Padam
    4. Sorry to ask, sebab tengok permulaan, tetiba nampak dia nak shoot orang yang dok bagi ceramah pasal agama, konon jalan ke syurga.

      Actually, cerita ni tak menghina mana mana agama, kan?

      Padam
    5. tak berapa nak ingat dah permulaannya macam mana.

      Padam