Review Filem Housefull 4


Filem:
Housefull 4

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Sajid Farhad

Genre:
Komedi

Pelakon:
Akshay Kumar, Kriti Sanon, Riteish Deshmukh, Kriti Kharbanda,
Bobby Deol, Pooja Hegde, Rana Daggubati & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
25 Oktober 2019

Sinopsis:
Filem keempat dari siri francais komedi Housefull kali ini mengisahkan tentang tiga lelaki iaitu Harry, Roy dan Max yang ingin menawan hati tiga wanita demi melangsaikan hutang mereka kepada seorang penjenayah. Misi mereka berjaya dan dibawa ke sebuah istana yang berusia 600 tahun untuk melangsungkan majlis perkahwinan disitu. Namun, Harry mula mendapat pelbagai gambaran aneh apabila menjejakkan kaki dikawasan tersebut. Satu demi satu kisah lampau mula kelihatan dan Harry mengetahui bahawa mereka merupakan kelahiran semula daripada 600 tahun dahulu. Harry perlu menyelesaikan misinya yang gagal dilaksanakan pada 600 tahun lepas. Berjayakah Harry meyakinkan Roy dan Max tentang kisah lampau mereka? Saksikan filem yang melucukan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 25 Oktober 2019.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood berjudul Housefull 4 bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 2 November 2019 yang lepas. Kami hanya pernah menonton filem sulung Housefull sahaja jadi kami kurang pasti apa yang berlaku untuk filem kedua dan ketiga untuk francais filem ini. Sebagai sebuah filem komedi, kami melihat filem ini ada turun naiknya dari sudut tersebut. Ianya masih menghiburkan tetapi ia seakan-akan satu saduran kepada filem-filem India yang berlatar belakang zaman pemerintahan kerajaan lama. 


Filem Housefull 4 ini dimulakan dengan babak yang menghiburkan dimana ia telah meletakkan satu tanda aras yang memberitahu kami sebagai penonton bahawa ini merupakan sebuah filem komedi yang bakal menghiburkan anda lebih daripada 2 jam. Namun sebaliknya terjadi apabila dilihat filem ini mula kehilangan arah apabila kronologi yang cuba diciptakan di dalam plot cerita kelihatan terlalu mencuba untuk tampak kelakar. Tidak dinafikan banyak adegan yang menghiburkan tetapi ia telah menjadikan jalan cerita filem ini kelihatan kosong dan tidak bermakna atau lebih tepat lagi terlalu merepek. 


Penyelemat besar filem Housefull 4 ini ialah pelakon Akshay Kumar dimana banyak kemunculannya yang berjaya menghiburkan kami serta para penonton yang lain. Pelakon Bobby Deol pula dilihat agak mengecewakan kerana tiada momen-momen kelakar yang boleh diingati. Riteish Deshmukh pula agak menghiburkan di dalam kedua-dua versi. Pelakon wanita Kriti Sanon pula dilihat menyerlah pada filem kali ini manakala dua pelakon wanita lain juga tidak kurang hebatnya cuma masa mereka di layar sedikit terhad. 


Filem Housefull 4 adalah sebuah filem komedi yang kelihatan ringan walaupun latar ceritanya yang sebenar tampak sedikit berat. walaupun set lokasi, props serta teknik VFX yang diguna pakai boleh diberi pujian namun sayangnya elemen komedinya kelihatan gagal menyatu dengan plot cerita dimana ia dilihat hanya sekadar humor kosong yang tidak terlalu bermakna. Kami ketawa tetapi hanya sekadar itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang. Secara keseluruhannya, filem ini sememangnya menghiburkan untuk anda tonton jika anda ingin bergelak ketawa di dalam panggung. Namun, jangan mengharapkan lebih daripada perkara tersebut kerana anda pasti akan kecewa pada pengakhirannya.


Jadi, selamat menonton filem Housefull 4 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Islamik Berjudul ZharfaNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan