Review Filem Zharfa


Filem:
Zharfa

Penilaian:
2/10

Pengarah:
Ruli Wanisar

Genre:
Drama & Kekeluargaan

Pelakon:
Kaka Azraff, Donny Alamsyah, Shelomita, Betari Ayu & Etc.

Pengedar:
Madness Films Movies

Tarikh Tayangan:
7 November 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Zharfa yang hidup memberontak kerana merasakan dirinya tidak disayangi sesiapa. Lebih mengecewakan dirinya apabila dia ditinggalkan oleh bapa kandungnya Abdi ketika usianya baru mencecah satu tahun. Perkahwinan ibunya dengan seorang lelaki yang sebenarnya curang dibelakang ibunya telah membuatkan dirinya sangat membenci bapa tirinya itu. Atas hasutan bapa tirinya, ibu Zharfa telah menghantar Zharfa ke sebuah sekolah pondok di Jawa Barat, Indonesia tanpa pengetahuannya. Apakah yang terjadi kepada Zharfa selepas itu? Saksikan filem islamik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 7 November 2019.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada Madness Films Movies untuk menonton sebuah filem yang melibatkan gabungan pelakon dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia berjudul Zharfa bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 5 November 2019 yang lepas. Filem yang berkonsepkan Islamik dan kekeluargaan ini sekali lagi dilihat cuba mengulangi resipi filem-filem berkonsep dakwah daripada negara seberang dimana ia pasti akan membawa penonton untuk melihat watak utama yakni seorang manusia yang pada dasarnya baik tetapi mengalami peristiwa-peristiwa tertentu yang cuba mencabar keimanan serta keegoan yang ada di dalam dirinya.


Filem Zharfa dilihat tiada masalah dari sudut mesej mahu pun nilai murni yang cuba diketengahkan atau dibawakannya dimana ia berjaya memaparkan tentang kesan-kesan buruk yang bakal menimpa kepada anak-anak yang lahir daripada keluarga yang bercerai-berai atau pun yang tidak mengenali atau mengetahui perihal bapa atau ibu mereka sendiri. Selain itu, menarik juga untuk melihat bagaimana filem ini memaparkan tentang hukum-hakam dan cara perlaksanaannya yang lembut serta tidak memaksa terutama berkaitan dengan hukum menutup aurat rambut bagi wanita muslim. Pendekatan yang cuba dipaparkan ini berjaya menonjolkan keindahan agama Islam itu sendiri dan pada kami ianya bagus apabila diaplikasikan di dalam filem ini. Namun, permasalahan utama filem Zharfa yang kami dapat lihat ialah pada naratif serta perwatakan karakter-karakternya yang sangat kabur. Kepincangan plot cerita dapat dilihat sejak dari awal sehingga akhir dimana segala-galanya hanya bermain di atas permukaan dan ia ibarat seperti menghukum penonton untuk berfikir dan mengandaikan sendiri apa yang berlaku dimasa lampau. Contoh terdekat ialah watak Zharfa sendiri yang dilihat sebenarnya berdendam kepada ayah kandung serta ayah tirinya dan perwatakannya kelihatan liar seperti seorang tomboi. Namun, tiba-tiba penonton didedahkan dengan satu babak yang memaparkan ungkapan dialog Zharfa yang menyatakan yang dia tidak percayakan kepada Tuhan. Walaupun dialog tersebut menarik tetapi kesinambungan penggunaan dialog tersebut dengan babak terdahulu atau babak kehadapan langsung tidak menyatu atau bersangkut paut langsung. Ia seakan-akan tiba-tiba dicetuskan tanpa ada sebarang sebab musabab jelas yang mewajarkan kepada perkara tersebut. 


Begitu juga dengan kisah seorang gadis lagi yang merupakan anak kepada watak Abdi yang sejak awal menyoalkan tentang siapakah ibunya namun ianya cuba disembunyikan. Sehingga pada akhirnya, kami sendiri hairan memikirkan kenapa perlu disembunyi kerana ianya tiada kaitan langsung dengan mana-mana watak pada peringkat akhirnya. Perwatakan pelakon Donny Alamsyah yang memegang watak sebagai salah seorang guru di pesantren At-Taubah yang menjadi latar tempat utama filem ini juga seperti kurang meyakinkan terutama melibatkan adegan-adegan silat. Kelihatan tidak cantik dipandang di layar. Menyentuh tentang lakonan, kami boleh nyatakan lakonan Kaka sebagai Zharfa tidak mengecewakan dimana emosinya cantik serta gerak tubuh juga nampak semula jadi tanpa perlu dibuat-buat. Cuma apa yang menyebabkan lakonannya kelihatan sedikit terganggu disebabkan pengulangan dialog yang sama berulang kali pada babak-babak beremosi yang pada kami sedikit merencatkan suasana yang sepatutnya mampu menusuk hati penonton yang mudah teremosi pada babak-babak sedih sebegitu. Secara keseluruhan, filem Zharfa merupakan sebuah karya bercirikan Islamik yang sederhana dan cuba membawakan mesej-mesej tentang kekeluargaan dan agama dengan cara yang mudah dan lurus tanpa cuba menggali lebih dalam untuk memberikan penonton kefahaman serta kenikmatan yang lebih untuk mengenali dan menyayangi watak-watak yang wujud di dalam filem ini.


Jadi, selamat menonton filem Zharfa di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 7 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Hollywood Yang Menarik Berjudul Doctor SleepNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. macam tak menarik je... siap takde pnilaian lagi pun

    BalasPadam
  2. Makanya nanti jangan lupa dikasi rating pak..

    BalasPadam
  3. Kalau rating belum ade ni maksudnya mesti bawah 5.. Huhu, tp maafla, filem ni memang tak menarik minat.. Dahla minggu ni banyak cerita best..

    BalasPadam