10/11/19

Review Filem Doctor Sleep


Filem:
Doctor Sleep

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Mike Flanagan

Genre:
Seram

Pelakon:
Ewan McGregor, Rebecca Ferguson, Kyliegh Curran, Carl Lumbly & Etc.

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
7 November 2019

Sinopsis:
Filem ini merupakan adaptasi daripada novel Stephen King pada tahun 2013 dengan judul yang sama iaitu Doctor Sleep dan merupakan sekuel kepada novel "The Shining" pada 1977 yang juga diadaptasi ke layar perak pada 1980. Kali ini ia memberi fokus kepada anak Jack Torrance iaitu Dan yang kini sudah besar tetapi masih trauma dengan kejadian yang berlaku di Overlook Hotel. Dan bergelut dengan kuasa psikiknya yang dia gelarkan sebagai The Shining. Dia menemui tujuan baru dalam hidup selepas bertemu dengan seorang gadis yang mempunyai kuasa sepertinya. Namun, gadis tersebut kini berada dalam bahaya apabila diburu oleh kumpulan The True Knot yang memburu manusia yang mempunyai kuasa istimewa. Saksikan filem yang menarik dan mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 7 November 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak Warner Bros. Pictures untuk menghadiri tayangan filem Doctor Sleep di GSC One Utama pada 5 November 2019 yang lepas. Filem Doctor Sleep merupakan sekuel kepada filem The Shinning yang telah ditayangkan sekitar tahun 1980. Jadi, kami memang belum berkesempatan lagi untuk menonton filem tersebut namun pada kami tiada masalah untuk memahami susur galur penceritaan Doctor Sleep ini kerana ianya berjaya disampaikan dengan cukup baik tanpa sebarang perkara yang kompleks. Bahasa mudahnya ianya sangat senang untuk difahami walaupun anda tidak pernah menonton filemnya yang terdahulu.


Melalui hasil bacaan kami, filem Doctor Sleep merupakan sambungan kisah Danny Torrance sewaktu dewasa dimana dia masih tidak dapat lagi merupakan tragedi yang berlaku di Hotel Overlook sewaktu dirinya masih kecil sehingga menyebabkan dirinya menjadi seorang kaki botol semata-mata untuk melupakan kisah seram yang menakutkan dirinya. Namun, dirinya kembali beransur-ansur stabil apabila dibantu oleh satu roh serta pertemuannya dengan Billy yang membuatkan dirinya mendapat pekerjaan. Danny juga turut mengambil peluag bekerja di sebuah hospital dimana dirinya bekerja dibahagian pesakit-pesakit yang hanya menunggu masa untuk pergi. Menggunakan kuasa yang dimilikinya telah menyebabkan pesakit-pesakit disitu mengenali tentang anugerah yang terdapat di dalam dirinya serta memanggilnya sebagai Doctor Sleep. Namun, segala-galanya berubah apabila Danny menyedari terdapat remaja perempuan bernama Abra yang turut memiliki kuasa luar biasa sepertinya dimana Abra kini berada di dalam bahaya apabila kuasanya mula disedari oleh sebuah kumpulan kultus The True Knot yang diketuai oleh Rose yang memburunya demi mendapatkan Shine yang mampu membuatkan mereka hidup serta muda buat selama-lamanya.



Walaupun filem Doctor Sleep ini mempunyai durasi tayangan yang sangat lama iaitu sekitar 2 jam 30 minit tetapi harus diingat momentum penceritaannya juga sangat perlahan pada babak awal serta pertengahannya yang sedikit menguji kesabaran anak mata anda. Namun, ianya sedikit wajar untuk membuat penonton lebih memahami latar kisah tiga watak utama yang menguasai keseluruhan filem ini iaitu Danny, Rose dan Abra. Watak dan kuasa Danny pada awalnya agak sukar untuk difahami sehingga lah kemunculan watak Abra yang akan memastikan anda mula dapat menangkap apa sebenarnya kebolehan sebenar yang dimiliki oleh Danny. Pengenalan watak Rose serta ahli kumpulan kultus The True Knot pada kami sangat menarik kerana ianya berjaya disampaikan dengan cara yang sangat mudah dan tujuan kumpulan ini untuk memburu Shine demi kelangsungan hidup mereka juga berjaya difahami oleh penonton yang baru pertama kali menyaksikan kisah Danny Torrance.


Pada kami, pelakon Rebecca Ferguson yang memegang watak antagonis iaitu sebagai Rose the Hat di dalam filem Doctor Sleep ini sebenarnya mempunyai daya penarik yang cukup luar biasa. Caranya membawakan watak Rose dengan gaya yang penuh licik berjaya membuatkan adegan-adegan melibatkan watak ini penuh dengan debaran yang cukup mempesona. Dibantu dengan sinematografi yang cukup mempesona serta gerak kerja kamera yang kemas berjaya menjadikan babak-babak seram betul-betul berjaya merangsang adrenalin penonton untuk turut sama merasai debarannya. Kami sangat sukakan perjalanan cerita kumpulan antagonis ini kerana ia berjaya membantu filem Doctor Sleep keluar daripada landasan sepi yang meresapi filem ini pada bahagian pertamanya yang perlahan. Selain itu, terdapat juga babak gore yang pada kami sangat menarik dan agak mengerikan untuk ditonton iaitu tentang pembunuhan satu watak kanak-kanak yang berjaya membuatkan bulu roma anda meremang saat mendengar jeritan ketakutan dan kesakitannya yang kelihatan betul-betul realistik. Serius adegan tersebut antara adegan yang sangat menarik di dalam filem ini yang anda tidak patut terlepas apabila menontonnya nanti.


Secara keseluruhan, filem Doctor Sleep menawarkan sebuah kisah yang mudah dihadam. Walaupun sebahagian ceritanya disampaikan di dalam momentum yang sangat perlahan serta ada beberapa elemen yang cuba digabungkan seperti humor dan seram yang kelihatan tidak menjadi di dalam filem ini, namun pada sebahagian lagi kisahnya akan membuatkan anda lebih memahami kewajarannya dan menikmati satu bentuk hiburan yang seronok untuk ditonton. Setiap watak mempunyai motif tersendiri yang boleh difahami dan dipercayai namun pembongkaran tentang tujuan sebenar kumpulan kultus The True Knot pada bahagian akhir kelihatan kurang menyengat dan hilang serinya. Namun, kami masih beranggapan bahawa ianya masih sebuah karya yang agak menghiburkan dan tidak rugi untuk ditonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Doctor Sleep di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Cukup Menarik Diadaptasi Daripada Kisah Benar Iaitu Ford V FerrariNantikan Ulasannya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan