Review Filem Midway


Filem:
Midway

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Roland Emmerich

Genre:
Aksi & Sejarah

Pelakon:
Ed Skrein, Patrick Wilson, Luke Evans, Aaron Eckhart, Nick Jonas,
Mandy Moore, Dennis Quaid, Darren Criss, Woody Harrelson & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
7 November 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Pertarungan Midway yang diceritakan oleh para pemimpin dan pelayar yang bertarung di Teater Pasifik Perang Dunia Kedua dimana ia melibatkan dua negara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan Jepun. Saksikan filem aksi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 7 November 2019.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi yang cukup menarik iaitu Midway bertempat di MMcineplex eCurve, Mutiara Damansara pada 8 November 2019 yang lepas. Pada asalnya kami telah mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menonton filem ini pada tayangan media yang berlangsung pada minggu yang sama. Namun, disebabkan kekangan kerja maka kami mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem yang penuh dengan aksi yang memukau ini. 


Filem Midway ini sebenarnya membawa penonton untuk mengimbau kembali kisah perang dunia yang melibatkan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Jepun. Masih segar dengan kisah Pearl Harbor, filem ini memaparkan kisah seterusnya iaitu tentang pertempuran di laut yang sangat hebat di Midway yang mengubah peta perang dunia selepas itu. Cara penyampaiannya mudah dimana pada permulaannya penonton telah disajikan dengan babak-babak menarik melihatkan pertemuan dua mata antara Amerika Syarikat dan Jepun dimana pihak Jepun kerap kali menyatakan mereka akan bertindak jika merasakan sumber mereka diancam. Jadi, kami melihat cara penyampaian sebegini sememangnya mudah difahami dan penonton sendiri akhirnya mengetahui kenapa tentera udara Jepun membuat keputusan gila pada ketika itu menyerang Pearl Harbor dan meneruskan cita-cita mereka untuk menyerang Midway pula selepas itu.


Apa yang menariknya pada kami tentang filem Midway ini ialah latar babak perangnya yang cukup menawan menggunakan kesan khas imej janaan komputer atau CGI. Pada kami, setiap visual yang memaparkan landskap perang pada ketika itu berjaya membuatkan kami terasa kagum dan cemas pada waktu yang sama. Deruan enjin pesawat yang menarik, barisan kapal perang yang gah serta tembakan peluru mahu pun torpedo serta ledakan bom yang berjaya membuatkan filem ini kelihatan menarik dari sudut aksi perangnya. Walaupun ada beberapa perkara yang menggunakan CGI kelihatan lemah tetapi pada kami ia tidak mengganggu tontonan secara keseluruhannya.


Filem perang semestinya mempunyai unsur prejudis atau bias bergantung kepada siapa yang menghasilkan dan untuk negara mana ianya dihasilkan. Seperti yang semua sedia maklum, filem Filem Midway ini semestinya kelihatan seakan-akan satu propaganda menarik daripada pihak Amerika Syarikat untuk mengangkat mereka sebagai wira dunia melalui beberapa pilihan dialog yang seolah-olah mengangkat nama mereka sebagai penyelamat utama di mata penonton. Hal ini sememangnya tidak dapat dielakkan namun isi kandungannya menjadi agak menarik disebabkan beberapa petikan peristiwa sejarah yang lain sebelum tercetusnya peperangan di Midway berjaya dimasukkan dan bersatu dengan baik di dalam penceritaannya. Antara peristiwa-peristiwa tersebut ialah melibatkan kejadian Doolittle Raid serta kemasukkan kapal Yorktown yang berjaya dibaiki dalam tempoh yang cukup pantas sebelum penonton dipaparkan dengan peperangan yang cukup mendebarkan di Midway. Pada kami, ini adalah satu tindakan yang bijak kerana selingan-selingan kejadian sebelum tercetusnya peperangan di Midway ini berjaya membantu kami untuk lebih memahami sebab musabab berlakunya kejadian perang tersebut.


Namun, kami harus akui filem Midway kelihatan seperti kurang menyengat dari sudut penceritaannya dimana ia gagal memberikan kesan yang mendalam. Sebaliknya dapat dilihat pengarah iaitu Roland Emmerich yang sememangnya dikenali sebagai seorang manusia yang sukakan aksi-aksi letupan dan kemusnahan melakukan perkara yang sama di dalam filem ini berbanding memberikan tumpuan sama rata kepada pembangunan watak-wataknya yang pelbagai. Dari sudut lakonan, kami melihat watak Richard Dick Best lakonan Ed Skrein serta watak Bruno Gaido lakonan Nick Jonas memperoleh masa-masa berkualiti di dalam filem ini untuk menyerlah dan diingati berbanding watak-watak lain yang tidak dapat menyinar dengan baik disebabkan plot cerita yang tidak membantu membina perkembangan watak secara maksimum. Kesimpulannya, filem Midway ini masih menarik untuk ditonton bagi mereka yang meminati filem aksi serta yang gemar menonton filem yang mempunyai ciri-ciri serta nilai sejarah sebegini.


Jadi, selamat menonton filem Midway di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 7 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Menarik Dari Indonesia Yang Diadaptasi Daripada Novel Terlaris Iaitu TwivortiareNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan