Review Filem Twivortiare


Filem:
Twivortiare

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Benni Setiawan

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Reza Rahadian, Raihaanun, Arifin Putra, Denny Sumargo & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
7 November 2019

Sinopsis:
Filem yang diangkat daripada sebuah novel terlaris dengan judul yang sama ini mengisahkan Alexandra yang ingin merujuk semula dengan bekas suaminya, Beno. Rumah tangga mereka yang didirikan sebelum ini retak kerana merasakan tiada lagi kesefahaman antara mereka berdua. Bagaimanapun, mereka berjanji akan menjadi lebih matang dan saling memahami serta bertoleransi dalam perkahwinan kali kedua ini. Namun, perkahwinan mereka kali kedua juga kini mulai goyah disebabkan masalah yang sama. Adakah mereka berdua mampu mempertahankan mahligai yang dibina buat kali kedua ini? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 7 November 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem dari Indonesia yang cukup menarik iaitu Twivortiare bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 8 November 2019 yang lepas. Filem ini berjaya memberikan kejutan buat kami dimana ia memaparkan kisah cinta sepasang suami isteri yang lain daripada biasa dimana intipati ceritanya sangat berpijak di dunia yang nyata. Jadi, ia membuatkan kami sebagai penonton merasa dekat dengan permasalahan yang sedang dialami oleh pasangan Alexandra dan Beno ini sehingga membuatkan filem ini berjaya lari daripada filem cinta klise yang biasa ditonton sebelum ini. 


Persoalan menarik yang ditimbulkan di dalam filem Twivortiare ini ialah apabila pasangan mula kehilangan rasa cinta dan merasakan bahawa mereka sudah tidak ada kesefahaman lagi. Cara mudahnya dengan mengambil keputusan untuk berpisah hidup. Namun, setelah penceraian, mereka menyedari bahawa tiada siapa yang lebih memahami diri mereka melainkan hanya mereka berdua. Maka, perkahwinan kedua atau rujuk dilakukan semula dan mereka kembali bahagia seperti awal perkahwinan pertama mereka sebelum masalah yang sama kembali semula ke dalam hubungan ini. Hal ini dilihat menarik dan dekat dengan jiwa penonton kerana ia bukannya disebabkan oleh orang ketiga atau pun desakan atau kebencian daripada ibu bapa mahu pun keluarga mertua. Tetapi, ia disebabkan perkara-perkara yang berlaku seharian iaitu tentang kesibukan kerja serta tumpuan yang lebih terarah kepada hal-hal di sekeliling tempat kerja berbanding memberi fokus utama kepada pasangan sendiri. Jadi, kisah cinta mereka yang semakin pudar ini dilihat menarik kerana tiada anasir-anasir luar yang mengganggu dimana semuanya berbalik kepada bagaimana cara mereka menangani hal ini terutama dari sudut toleransi agar ianya tidak membarah sehingga membawa kepada penceraian.


Kami juga tertarik untuk melihat bagaimana kisah kedua-dua watak ini dikembangkan tetapi masih berjaya mengekalkan perwatakan, cara pemikiran serta menetapkan emosi yang sangat bertepatan dengan setiap situasi yang dipaparkan. Ianya satu perkara yang cukup bagus apabila perkara ini diolah dengan baik yang membuatkan penonton percaya serta tahu bahawa wujudnya pasangan-pasangan yang menghadapi konflik yang serupa seperti mana yang dialami oleh watak Alex dan Beno ini. Filem Twivortiare juga dilihat bijak menyampaikan mesej atau ilmu berkaitan hal rumah tangga kepada penonton terutama tentang bagaimana caranya saat berhadapan dengan pertentangan pendapat, perasaan atau emosi saat hal-hal ini melanda di dalam perhubungan yang dibina sehingga menimbulkan rasa bosan yang sangat berbahaya terhadap ikatan perkahwinan. Kami juga menyukai filem ini disebabkan nilai positif yang wujud pada ibu bapa serta rakan-rakan kedua-dua watak utama dimana masalah rumah tangga yang cuba dipaparkan di dalam filem ini benar-benar kukuh untuk diangkat menjadi sebuah filem yang punya makna kehidupan yang sebenar dan bermakna.


Tidak dinafikan pemain watak utama iaitu Raihaanun berjaya menghidupkan watak Alex dengan cukup bergaya. Permainan emosi serta gerakan badannya berjaya menyampaikan kesakitan, kegembiraan serta penderitaan yang dirasakan oleh watak tersebut dengan cukup baik. Penonton dapat memahami dan bersimpatan dengan keadaan watak ini yang cuba sehabis baik di dalam menyelamatkan rumah tanggannya. Berbeza pula dengan persembahan lakonan Reza Rahadian yang mana kami merasakan elemen emosinya adakala kurang jelas pada sebahagian adegan dan sepatutnya mampu memberikan kesan yang lebih kepada tontonan kami. Namun, tidak dinafikan gandingan kedua-dua pelakon ini mampu membuatkan anda ketawa, sedih dan teruja untuk menyaksikan kisah cinta pasangan Alex dan Beno yang ada pasang surutnya. Secara keseluruhan, kami menyukai filem Twivortiare ini kerana ianya berjaya lari daripada kisah cinta biasa. Paling penting plot penceritaannya sukar diramal dan sentiasa berjaya memberikan kejutan yang tidak disangka-sangka sepanjang tontonan kami.


Jadi, selamat menonton filem Twivortiare di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 7 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Cukup Menghiburkan Dan Penuh Inspirasi Berjudul BalaNantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan