Filem:
Bala
Penilaian:
9/10
Pengarah:
Amar Kaushik
Genre:
Genre:
Komedi
Pelakon:
Ayushmann Khurrana, Yami Gautam, Bhumi Pednekar & Etc.
Pengedar:
Suraya Production
Tarikh Tayangan:
7 November 2019
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Bala yang merupakan seorang lelaki berasal dari Kanpur. Bala menghidap penyakit alopesia dimana ia menyebabkan dia mengalami masalah keguguran rambut yang sangat kritikal. Masalah itu menyebabkan dia mulai kurang keyakinan diri serta sukar untuk berdepan dengan masalah sosial. Sewaktu dia cuba mengatasi masalah tersebut, terdapat dua orang wanita yang muncul di dalam hidupnya dimana seorang model dan seorang wanita yang merupakan rakan sekolah sejak kecil telah memberi kesan yang besar di dalam kehidupannya. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 7 November 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang cukup menghiburkan iaitu Bala bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 10 November 2019 yang lepas. Walaupun filem ini terpalit dengan satu isu kontroversi dimana jalan ceritanya dikatakan sama dengan sebuah lagi filem berjudul Ujda Chaman namun kami tidak menilai dari sudut tersebut sementelah kami juga belum berkesempatan menonton Ujda Chaman. Namun, apa yang boleh kami nyatakan ialah premis filem Bala ini sememangnya sangat matang dan kreatif dimana ia mengangkat sebuah isu menarik yang mudah untuk kita dapati di sekeliling kita iaitu berkenaan dengan masalah kebotakan yang dialami dan ditakuti oleh sebahagian besar kaum Adam.
Filem ini dimulakan dengan kisah Bala sewaktu kecil yang sangat popular di kalangan pelajar sekolah terutamanya wanita disebabkan dirinya yang mempunyai rambut lurus yang menjadi idaman para lelaki. Bala juga turut disukai dan dikagumi kerana kebolehannya meniru lagak, percakapan serta gaya rambut pelakon tersohor Bollywood iaitu Shah Rukh Khan. Lebih menarik apabila Bala turut suka mengejek guru lelakinya yang mengalami masalah kebotakan. Namun, kifarah nampaknya terjadi apabila belum lagi mencecah usia 25 tahun, Bala sudah mula mengalami masalah keguguran rambut yang teruk. Disebabkan masalah tersebut menyebabkan Bala ditinggalkan kekasihnya dan mula disangka tua oleh beberapa pihak. Jadi, bermulalah usaha Bala untuk menyelesaikan masalah tersebut. Disini dapat dilihat bahawa skrip mula diperkembangkan kepada satu fasa yang lebih menarik dimana ia bukan sekadar suntikan berlebihan humor yang menjadi tetapi juga membawa penonton terutama dari luar India untuk melihat sendiri kepercayaan atau budaya masyarakat India melalui pelbagai cara rawatan yang pelik, unik dan ada yang menjijikkan. Hal ini merupakan salah satu faktor awal yang membuatkan penonton tidak kering gusi menyaksikan gelagat Bala serta ahli keluarganya yang sungguh menghiburkan.
Pada masa yang sama, filem ini juga tidak lupa untuk menjentik akal penonton untuk melihat beberapa perkara menarik berkaitan nilai kekeluargaan. Terdapat empat jenis keluarga yang menampilkan perkara yang berbeza dimana ini adalah salah satu kekuatan yang cukup positif buat filem ini untuk dilihat kuat dari sudut tersebut selain unsur komedinya. Keluarga Bala, Latika, Pari serta 'keluarga' yang terdiri daripada rakan-rakan rapat sememangnya membawa definisinya tersendiri yang kelihatan tersusun kemas dan membuatkan kita melihat perkara ini dari sudut pandang mereka. Tidak melupakan perkara-perkara yang menjadi kesukaan dan tular di kalangan anak muda, filem Bala juga berani untuk mengkritik secara terbuka tentang obsesi anak muda terhadap Tik Tok yang bijak dibawakan oleh pelakon Yami Gautam yang membawa watak sebagai Pari. Kami menyukai pendedahan watak ini saat berbicara tentang kenapa dirinya memilih untuk menjadi terkenal di Tik Tok. Ianya bukan berbentuk ceramah atau pun mengkritik anak muda namun ianya disampaikan dalam keadaan yang cantik serta positif namun impaknya keras dan tepat mengena sasaran.
Filem Bala juga mempunyai falsafah menarik tentang keyakinan terhadap diri. Perkara ini dapat anda nikmati saat menonton babak yang berlatarkan lokasi mahkamah dimana perdebatan menarik tentang nilai sebenar cinta, penerimaan terhadap kekurangan pasangan serta apa maksud sebenar perkahwinan yang bijak ditutur serta dibahas sehingga babak yang panjang ini terasa begitu singkat buat kami. Pelakon Yami Gautam juga dilihat sangat menyinar pada babak tersebut dimana jawapannya berkenaan kenapa dia tidak dapat menerima kekurangan Bala memberi tamparan yang sangat besar bukan sahaja kepada Bala tetapi juga kepada kita sendiri yang kerap kali terlepas pandang sesuatu yang besar di dalam membuat sebarang keputusan penting. Anda akan lebih memahami hal ini apabila menonton filem ini nanti.
Ayushmann Khurrana merupakan sensasi terbaru Bollywood yang bukan sekadar bijak memilih watak tetapi bijak menghidupkan watak dan membuatkan watak yang dipegangnya berbekas di dalam fikiran penonton. Kehebatan Ayushmann di dalam meniru pelbagai mimik serta gaya pelakon-pelakon hebat Bollywood untuk menghidupkan watak Bala ini membuktikan bahawa beliau tahu apa yang beliau sedang lakonkan. Lebih mencuit hati saat Ayushmann bergabung dengan dua pelakon iaitu Javed Jafferi dan Abhishek Banerjee yang bertindak sebagai rakan Bala dimana satu babak memaparkan mereka masing-masing meniru gaya Amitabh Bachchan dengan lagak bersahaja berjaya memecahkan suasana panggung dengan hilai tawa yang luar biasa. Ayushmann kini boleh dianggap sebagai permata bernilai Bollywood dimana dia pasti akan memberikan sesuatu yang cukup sedar di dalam filem-filem lakonannya.
Selain itu, filem Bala juga kelihatan hebat disebabkan keberaniannya menyentuh perkara-perkara berkaitan ketidaksamaan jantina serta hal-hal yang tabu di dalam masyarakat melalui beberapa adegan yang berbicara tentang hal patriarki tanpa mengganggu gugat elemen lucu yang melatari filem ini. Hal ini boleh dilihat saat kisahnya berbicara tentang warna kulit, kelemahan lelaki yang tidak boleh dipersoal serta masalah wanita yang menerima membabi-buta kritikan lelaki terhadap kelemahan atau kekurangan yang ada pada diri mereka tanpa sebarang usaha membaiki atau melawan balik tindakan tersebut. Ianya menjadi lebih cantik kerana filem ini berjaya memaparkan suasana bandar kecil yang dihuni oleh penduduk yang agak konservatif dan dihubungkan dengan kehidupan bandar besar yang membawa penonton untuk melihat dua dunia berbeza tetapi percaya kepada perkara yang sama. Secara keseluruhan, kami sangat menyukai filem Bala ini yang pada kami sangat cemerlang penceritaannya dan berjaya memberi kesan yang cukup positif terutama dari sudut keyakinan diri usai selesai menonton filem ini. Mesej-mesej yang disampaikan juga sangat positif dan semestinya kami sangat gembira dengan kebijaksanaan Ayushmann Khurrana memilih naskah filem yang ingin dilakonkannya.
Jadi, selamat menonton filem Bala di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 7 November 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul M.O.X Yang Penuh Dengan Elemen Aksi. Nantikan Ulasannya!
2 Ulasan
tengok tajuk mula2 ingatkan filem malaysia tajuk bala... tapi rupanya bala lain...
BalasPadammenarik jugak filemnya sebab subjek utama nya tentang botak, mesti seronok gelak ketawa
Bagos la pihak produksi di negara India nih, kisah org bermasalah dgn botak pon boleh dijadikan filem dgn plot yg menarik. Di sini, mungkin masih yakin dgn filem mistik boleh dijual. Itu sebab nya terhasilnya filem Vampire yg berasal dari Raja Bersiong tu kot, Muahahah. Saya masih tak boleh "Move On", memang kelakar lah plot film KL Vampire tu Hans...
BalasPadam