25/12/19

Review Filem Mardaani 2


Filem:
Mardaani 2 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Gopi Puthran

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Rani Mukerji, Vishal Jethwa, Vikram Singh Chauhan & Etc.

Pengedar:
Nusantara Seni Karya Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
13 Disember 2019

Sinopsis:
Filem ini merupakan sekuel kepada filem Mardaani yang ditayangkan pada tahun 2014. Kali ini Rani Mukerji kembali menggalas watak sebagai anggota polis Shivani Shivaji Roy dimana dia memburu seorang pemuda ganas yang merogol dan membunuh pelajar-pelajar perempuan yang datang dari serata negara untuk belajar bagi bersedia menduduki ujian kemasukan kejuruteraan dan perubatan di Kota, Rajasthan. Hal ini menimbul panik serta ketakutan kepada penduduk bandar yang mula sangsi dengan kecekapan pihak polis India. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 Disember 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang cukup menarik iaitu Mardaani 2 bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 13 November 2019 yang lepas. Secara jujurnya, kami tidak pernah menonton filem Mardaani yang ditayangkan sekitar tahun 2014. Namun, memandangkan filem pertama ini menerima pujian yang cukup bagus daripada penonton maka kami mengambil keputusan untuk menonton sekuel filem ini. Ternyata filem Mardaani 2 langsung tidak mengecewakan bahkan plot ceritanya berjaya mewujudkan satu situasi tegang yang cukup menakutkan serta menggerunkan sehingga membuatkan kami teruja menyaksikan kesudahan kisah polis wanita Shivani Shivaji Roy di dalam usahanya memburu seorang penjenayah psiko iaitu Sunny atau Bajrang ini.


Tidak dinafikan filem Mardaani 2 ini terlalu kuat dengan unsur feminism yang cuba dipaparkan kepada penonton namun ianya kelihatan tidak terlalu janggal disebabkan sokongan kuat oleh naratif penceritaannya serta persembahan watak setiap pelakonnya dengan cukup baik. Walaupun masih bergantung harap kepada gabungan kisah jenayah serta hubung kaitnya dengan politik serta penguatkuasaan undang-undang yang lemah namun bagaimana watak Sunny yang merupakan antagonis ini dihidupkan serta diperkembangkan telah berjaya menjadi filem Mardaani 2 cukup dengan rasa ngeri serta kejutan-kejutan yang dipersembahkan melalui caranya membunuh atau memperlakukan mangsa-mangsanya tanpa sekelumit rasa kasihan. Hal ini memang berjaya membuatkan kami terasa seram sejuk dengan kejahatan watak tersebut yang cukup mendebarkan.


Rani Mukherji yang membawa watak utama di dalam filem Mardaani 2 ini juga dilihat sangat meyakinkan. Wataknya sebagai Shivani berjaya disampaikan dengan baik untuk membuatkan kami sebagai penonton lebih faham dilema yang perlu dilalui oleh wanita India apabila berada kedudukan kerjaya yang lebih baik daripada rakan-rakan sekerja lelaki selain pandangan majoriti lelaki disana terhadap wanita-wanita berani sepertinya. Seronok untuk melihat permainan emosi yang cuba dipersembahankan dan dihidupkan oleh Rani di dalam roh watak ini dimana ianya telah berjaya meyakinkan penonton bahawa watak polis wanita Shivani Shivaji Roy benar-benar wujud dan tidak takut berdepan dengan sebarang ancaman jenayah sekali pun. Ini adalah salah satu perkara yang dilihat cukup kuat dan membuatkan filem ini berjaya berdiri dengan kekuatan yang ada pada watak wanita ini. Cuma ianya sedikit janggal apabila melihat watak Shivani ini terlalu bersyarah panjang saat ditemuramah di dalam satu rancangan. Kami tahu ianya cuba menekankan kepentingan wanita di dalam sektor ekonomi serta pendidikan di India namun ianya disampaikan secara syarahan yang menjadikan ia sedikit meleret dan kurang berkaitan dengan apa yang sedang dilalui oleh watak Shivani pada ketika itu.


Secara keseluruhan, filem Mardaani 2 ini merupakan sebuah filem yang cukup rempah ratusnya. Elemen thriller filem ini sangat menjadi. Lakonan protagonis dan antagonis sangat meyakinkan. Permainan cahaya serta sinematografi sentiasa berjaya membuatkan anda berdebar. Solekan ngeri untuk mangsa-mangsa jenayah mampu membuatkan anda tidak lena tidur malam jika anda seorang yang penakut. Walaupun plot ceritanya bergerak sehala dan tidak ada permainan plot yang terlalu mempesona namun gabungan kekuatan yang kami nyatakan di atas tadi serta bagaimana ianya cuba membawa penonton melihat pandangan seorang lelaki yang mengalami masalah jiwa yang kronik ini telah berjaya membuatkan filem ini cukup menarik dan menyokong elemen feminism yang cuba dibawakan di dalam filem ini. Sangat berbaloi untuk anda tonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Mardaani 2 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 13 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Ialah Sebuah Lagi Filem Bollywood Berjudul The Body. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan:

  1. Dah jarang Rani Mukerji ni berlakon. Tak sangka dia ada lagi film baru dan dpt ulasan yg baik dari Hans. Insyaallah jika ada main lagi area KL saya akan tonton. TQ Hans...

    BalasPadam
    Balasan
    1. banyak sebenarnya filem dia berlakon
      cuma dekat Malaysia nih..bergantung lah filem mana yang distributor bawa masuk
      hehehe

      Padam