Review Filem Spies In Disguise


Filem:
Spies In Disguise

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Nick Bruno & Troy Quane

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Animasi

Pelakon:
Will Smith, Tom Holland, Rashida Jones, Karen Gillan, DJ Khaled & Etc.

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
25 Disember 2019

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Lance Sterling yang merupakan seorang pengintip terhebat dunia. Apabila satu kejadian tidak dijangka berlaku, ia mengancam seluruh dunia yang kini berada dalam bahaya. Kini, semuanya bergantung kepada Lance untuk menyelamatkan dunia dengan bantuan Walter yang merupakan seorang pencipta gajet pelik tetapi mempunyai fungsi yang hebat. Saksikan filem yang sangat menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Disember 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Walt Disney Pictures untuk menonton sebuah filem animasi berjudul Spies In Disguise bertempat di MBO Starling pada 24 Disember 2019 yang lepas. Namun disebabkan kekangan kerja maka kami mengambil keputusan menonton sendiri filem ini pada 25 Disember yang lepas. Ternyata filem animasi ini sangat menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton di pawagam terutama apabila menyaksikan watak Lance Sterling yang dicipta mirip seperti pemilik suara animasinya iaitu Will Smith berubah menjadi seekor burung merpati betina yang sangat menjengkelkan.


Seperti biasa, filem animasi Spies In Disguise ini sudah boleh diramal intipati ceritanya yang pastinya dipenuhi dengan elemen kemanusiaan, keluarga, persahabatan serta kasih sayang. Perkara ini dapat dilihat di dalam perhubungan antara ejen Lance Sterling serta Walter sepanjang keseluruhan filem ini berlangsung. Mengisahkan seorang ejen rahsia yang cukup sombong bernama Lance Sterling, karakter ini mempunyai sebab kenapa ia bersikap demikian. Namun egonya berjaya direndahkan sedikit demi sedikit saat pertemuan dirinya dengan pakar pencipta gajet iaitu Walter. Perubahan Lance kepada seekor burung merpati betina tanpa sengaja berjaya membuatkan filem ini berjaya menghiburkan kami sebagai penonton di tahap yang cukup maksimum.


Elemen komedi yang diterapkan di dalam filem Spies In Disguise ini dilihat cukup berkesan terutama apabila kami merasakan terdapat keserasian yang sangat baik antara Will Smith dan Tom Holland melalui watak-watak yang dipegang oleh mereka. Seperti biasa, nilai-nilai murni pastinya diterapkan di dalam filem-filem animasi sebegini yang mendidik penonton terutama penonton ciliknya tentang kepentingan bekerjasama di dalam satu kumpulan seperti mana yang dipaparkan di dalam adegan-adegan yang melibatkan Lance, Walter dan tiga sekawan merpati lain yang mempunyai pelbagai jenis karakter yang unik. Selain itu, kepercayaan bahawa keganasan tidak menyelesaikan masalah sebaliknya kasih sayang serta mengelakkan tindakan ganas yang perlu diberi keutamaan di dalam menyelesaikan sesuatu perkara dilihat berjaya disampaikan dengan baik terutama melalui elemen humor letupan bom yang mengeluarkan percikan manik-manik yang menampilkan imej kucing yang comel. Tidak lekang dengan pengulangan frasa,"Tidak ada orang baik atau orang jahat. Yang ada cuma manusia!" pada kami cukup jelas melambangkan bahawa filem ini memberi satu mesej penting bahawa setiap manusia perlu diberi peluang untuk berubah. Ianya dibuktikan sendiri melalui watak Lance yang pada akhirnya berubah ke arah yang lebih positif.


Filem Spies In Disguise juga sangat bijak memanfaatkan watak-watak merpati yang lain secara konsisten di dalam menyokong hujah-hujah watak Walter bahawa terdapat banyak kelebihan menjadi seekor merpati. Hasil animasi yang sangat baik dibantu oleh sinematografi, permainan kamera, gred warna serta kesan bunyi menjadikan filem animasi ini sebagai penutup terbaik buat filem animasi di tahun 2019. Ianya bukan sekadar menghiburkan tetapi padat dengan mesej serta nilai murniyang berjaya disampaikan secara bersahaja dan di dalam bentuk komedi. Sangat berbaloi untuk anda tonton di panggung wayang untuk merasai pengalaman menarik melihat Will Smith di dalam jasad seekor merpati.


Jadi, selamat menonton filem Spies In Disguise di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Kollywood Yang Agak Menarik Berjudul Thambi. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan