Filem:
Busut Bonang
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Khalid Nadzri
Genre:
Genre:
Komedi & Seram
Pelakon:
Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar,
Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri & Etc.
Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri & Etc.
Pengedar:
Empire Film Solution
Tarikh Tayangan:
19 Disember 2019
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan kematian mengerikan Cikgu Hassan yang menyebabkan timbul cerita oleh orang kampung bahawa kelibat arwah dilihat berkeliaran di Kampung Bonang untuk mencari pewaris baru. Pada masa yang sama, anaknya Julia turut mengalami gangguan makhlus halus. Pemilik rancangan televisyen "Merungkai Misteri" iaitu Joey dipanggil untuk menyiasat kebenaran di sebalik kejadian itu. Dia turut memperdaya Lutfy, penjual jeruk yang ingin mencari pekerjaan baru untuk mengikutnya dan Julia. Malangnya, perjalanan mereka bertiga ke Busut telah diganggu oleh Penunggu Busut menyebabkan mereka sesat. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 19 Disember 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.
Ulasan:
Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak Empire Film Solution untuk menonton filem tempatan yang terbaharu iaitu Busut Bonang. Namun, atas kekangan kerja maka akhirnya kami pergi menonton sendiri dengan membeli tiket di MMCineplex Damansara pada 25 Disember 2019 yang lepas. Ramai yang memuji filem ini menampilkan komedi yang menarik seakan-akan sama seperti karya Mamat Khalid iaitu filem Hantu Kak Limah. Ada juga yang tidak sependapat dengan menyatakan tiada apa yang kelakarnya dengan filem ini. Bagaimana pula dengan pandangan kami?
Pada kami, filem Busut Bonang ini menampilkan jalan cerita yang tersendiri cuma ia seakan-akan terperangkap dengan beberapa unsur homage yang ada di dalam filem Hantu Kak Limah. Elemen humor yang cuba dipaparkan juga ada yang kelihatan segar dan ada juga yang dilihat seakan-akan sama dengan karya Mamat Khalid tersebut. Cuma ianya digubah kepada satu jasad lain sahaja untuk dilihat lain daripada yang sudah sedia ada. Tidak dinafikan ada beberapa adegan yang berjaya mencuit hati kami dan ada juga adegan yang dilihat lemah dan kurang memberi kesan kepada tontonan kami.
Filem Busut Bonang seperti biasa kembali bermain dengan kepercayaan masyarakat Melayu berkaitan saka yang sebelum ini sering digunakan oleh beberapa filem seram tempatan yang lain sebagai intipati kisah filem mereka. Jadi, hampir 90 peratus filem ini memberi penekanan kepada hal tersebut dan ianya disampaikan secara ringan dan bersahaja. Gemar menyampaikan sesuatu sindiran atau kritikan masyarakat melalui dialog-dialog subteks yang disuntik dengan elemen komedi membuatkan filem ini berjaya menarik perhatian majoriti penonton untuk menyukai dan tertawa menyaksikan gelagat-gelagat para pelakonnya yang mencuit hati seperti watak Ngah Ali yang sering kali menyampaikan simpulan bahasa yang penuh dengan makna tersirat dan tersurat. Selain itu, persembahan lakonan para pelakon juga dilihat agak spontan yang menjadikan kualiti komedinya lebih menarik untuk ditonton.
Namun, kami melihat intipati ceritanya terlalu bersifat sehala disamping perkembangan beberapa watak yang tidak berkembang dengan baik. Kelemahan ketara dapat dilihat terhadap watak Julia yang langsung tidak mampu memaparkan jiwa seorang anak yang sedang bersedih mahu pun ketakutan saat kematian ayahnya serta cakap-cakap orang kampung tentang ayahnya. Begitu juga dengan perkembangan watak Joey serta Lutfi yang dilihat caca merba dan kurang meyakinkan sebagai seorang pemilik rancangan terkenal di saluran televisyen atau pun laman sosial di dalam keadaan yang daif sebegitu. Bagi kami, hal ini sangat mencacatkan penceritaan filem ini. Ditambah pula dengan lawak-lawak yang boleh dijangka membuatkan kami berasa agak hampa dengan keseluruhan filem Busut Bonang ini. Kami pun tidak pasti apa yang lucu sangat tentang filem ini seperti yang diperkatakan majoriti kerana pada kami ianya tidak seperti itu. Bukannya ia tidak lucu tetapi ia tidaklah selucu seperti yang digembar-gemburkan ramai. Namun, lucu atau komedi itu adalah subjektif dan komedi filem ini gagal menggeletek hati kami di tahap yang maksimum.
Namun, kami menyukai sinematografi filem Busut Bonang ini serta teknik solekan ngeri yang diberikan kepada karakter-karakter lembaga atau hantu di dalam filem ini yang membantu meningkatkan lagi rasa seram di dalam beberapa babak yang tertentu. Ada banyak juga mesej-mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini secara santai dan ianya juga baik tetapi kami melihat ia terlalu dibayangi oleh filem-filem arahan Mamat Khalid. Secara keseluruhan, filem ini mempunyai unsur komedi, seram dan mesej-mesej murni namun filem ini gagal menambat hati kami untuk membuatkan ianya diingati sepanjang tahun. Satu percubaan yang baik tetapi perlu diberi banyak penambahbaikan jika ada lagi sambungan di masa akan datang.
Jadi, selamat menonton filem Busut Bonang di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 19 Disember 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Animasi Yang Cukup Menarik Iaitu Spies In Disguise. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan