Review Filem Si Manis Jembatan Ancol


Filem:
Si Manis Jembatan Ancol

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Anggy Umbara

Genre:
Seram

Pelakon:
Indah Permatasari, Arifin Putra, Randy Pangalila, Ozy Syahputra & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
30 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini merupakan sebuah `reboot` kepada filem yang sama judul pada tahun 1990-an. Ia berkisar mengenai seorang wanita bernama Maryam yang tersepit dalam perkahwinan yang tidak bahagia bersama Roy. Dia mula berasa selesa berkawan rapat dengan Yudha, seorang pelukis yang baru dikenalinya. Namun persahabatan ini menyebabkan suaminya telah menuduhnya mempunyai hubungan sulit dan dia kemudiannya mati dalam keadaan tragis. Sejak kematiannya, kelibat roh Maryam yang memakai selendang merah mula muncul di tempat awam dan menakutkan orang awam yang terserempak dengannya. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 30 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk hadir ke tayangan media filem Si Manis Jembatan Ancol yang berlangsung di TGV Cinemas One Utama pada 22 Januari 2020 yang lepas. Filem seram dari Indonesia ini menjadi filem seram pertama yang memasuki pasaran panggung wayang Malaysia untuk tahun 2020 dan karya ini juga merupakan karya seberang pertama yang kami tonton untuk tahun ini. Filem Si Manis Jembatan Ancol ini pada hakikatnya mempunyai kekuatan serta kelemahan yang setara. Ia bukannya sebuah filem yang terlalu buruk tetapi ia juga tidak lah sebaik seperti yang kami harapkan.


Filem Si Manis Jembatan Ancol ini menampilkan kisah tiga watak utama iaitu pasangan suami isteri, Roy dan Maryam serta seorang pelukis bernama Yudha. Harus diakui disini dimana walaupun filem seram ini sebenarnya memberi fokus utama kepada watak wanita bernama Maryam namun tunjang utama yang perlu diberi perhatian ialah watak Roy yang sebenarnya membentuk susur galur penceritaan filem ini. Sejak awal lagi telah dipertontonkan bagaimana hubungan perkahwinan di antara Roy dan Maryam dilihat berantakan melalui adegan meja makan yang membuktikan disini bahawa hanya Maryam sahaja yang berusaha untuk memulihkan hubungan mereka tetapi tidak bagi Roy yang dilihat terlalu kusut untuk menyelamatkan perniagaannya yang diancam muflis. Kehadiran watak Yudha yang dilihat terlalu cepat jatuh cinta dengan Maryam disampaikan dengan agak kabur tanpa sebarang adegan yang menyokong ke arah hal tersebut. Cinta Maryam  pula yang terlalu tinggi terhadap suaminya Roy juga dilihat tidak kuat hanya atas dasar janji-janji ayat manis yang diingatinya sebelum mereka berdua berkahwin. Jadi, kisah hubungan percintaan antara ketiga-tiga watak utama ini dilihat tidak bersinar dan menyatu dengan baik menjadikan bahagian pertama filem ini sedikit suram. Namun kelemahan ini berjaya ditampal serba sedikit melalui elemen humor yang sering berlaku di warung kopi yang boleh dikatakan menjadi dan membuatkan kami sebagai penonton terhibur.


Filem Si Manis Jembatan Ancol mula dilihat berkembang dengan cukup baik pada bahagian pertengahan filem. Walaupun ada adegan yang menggunakan pengulangan gaya seperti mimpi misalnya namun diakui tahap seramnya yang ditambah dengan teknik jump scare berjaya membuatkan bulu roma penonton sedikit meremang. Teknik VFX yang diaplikasikan di dalam filem seram ini juga dilihat agak cantik dan menyerlah di dalam beberapa adegan. Teknik solekan ngeri yang cuba diimplementasikan di dalam beberapa adegan seran melibatkan watak si Manis iaitu Maryam pula dilihat tidak konsisten. Ada adegan yang berjaya menyerlahkan tahap keseraman wajah Maryam dengan cukup baik dan ada juga yang sebaliknya. Babak-babak pembunuhan watak-watak antagonis pula telah mengingatkan kami kepada filem Suzzanna Bernapas Dalam Kubur yang diarahkan oleh pengarah yang sama dimana bagaimana adegan pembunuhan disampaikan kepada penonton di dalam filem Si Manis Jembatan Ancol ini mempunyai persamaan dengan filem tersebut.


Namun, babak klimaks filem Si Manis Jembatan Ancol ini pada kami agak mengecewakan kerana ia membuatkan kami kembali mempersoalkan semula relevan atau tidak adegan-adegan sebelum tibanya babak terpenting di dalam filem ini. Walaupun tidak dinafikan ada beberapa adegan pembunuhan yang kembali dipaparkan pada bahagian akhir filem ini namun ianya tidak cukup untuk menjawab kembali persoalan kami terhadap bagaimana pembunuhan-pembunuhan lain berlaku. Belum lagi melihat kepada beberapa watak antagonis yang kembali muncul dan menyerang watak-watak lain yang seperti tiada sangkut paut dengan penceritaan. Paling penting bagaimana watak Yudha menemui bukti tentang Maryam pada babak klimaks itu juga boleh dipersoalkan kerana ia seakan-akan sebuah babak tangkap muat yang tersangat lemah. Menolak ketepi rambut palsu yang dipakai Yudha yang mengingatkan kami kepada filem tempatan berjudul Tujuh, kami akui plot penceritaan Si Manis Jembatan Ancol ini mempunyai kelemahan-kelemahan yang menjadikan filem ini yang sepatutnya berpotensi untuk menjadi filem seram terbaik pada bulan Januari ini gagal di penghujungnya. Permainan plot twist yang cuba diwujudkan pada pengakhiran filem ini berakhir dengan kegagalan yang jelas dan menyedihkan.


Namun, kami menyukai dua mesej menarik yang dipaparkan di dalam filem Si Manis Jembatan Ancol ini. Pertama semestinya tentang bahaya meminjam wang dengan si lintah darat atau dengan erti kata lain meminjam wang dengan Ah Long. Perbuatan Roy yang terlalu percaya kepada rakan perniagaannya telah mengheret dirinya ke kancah muflis serta perlu menanggung hutang yang sangat tinggi. Perkara kedua yang menarik perhatian kami ialah tentang perihal kisah dan peranan wanita di dalam filem ini yang dibawakan dengan cukup baik oleh watak Maryam. Dialog-dialog yang mempunyai subteks tersendiri berjaya disampaikan dengan baik dan dilihat membawa suara-suara wanita ke dalam filem untuk disampaikan kepada golongan lelaki. Cuma sayangnya ianya dirosakkan sedikit oleh perkembangan watak Maryam yang agak mengelirukan dan kabur. Secara keseluruhan, kami menyukai 70 peratus penceritaan filem ini iaitu daripada permulaan sehingga kepada bahagian pertengahan yang pada kami mempunyai potensi yang sangat baik untuk memberi kejutan pada babak akhir. Sayangnya pengakhiran yang dipilih untuk dipersembahkan kepada penonton menemui jalan gelap yang membuatkan kami agak kecewa dan membantutkan harapan serta ramalan kami terhadap filem ini. Tetapi, ianya masih menarik untuk ditonton jika anda adalah penggemar filem seram Indonesia.


Jadi, selamat menonton filem Si Manis Jembatan Ancol di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 30 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Komedi Berjudul Bad Boys For Life. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

2 Ulasan