Review Filem Tenet

 

Filem:
Tenet

Penilaian:
7/10

Review Youtube:

Pengarah:
Christopher Nolan

Genre:
Aksi, Seram & Sains Fiksyen

Pelakon:
John David Washington, Robert Pattinson, Elizabeth Debicki, Dimple Kapadia, 
Aaron Taylor-Johnson, Clémence Poésy, Michael Caine, Kenneth Branagh & Etc.

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
27 Ogos 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan  seorang lelaki yang dipanggil Protagonis yang diberi tugasan untuk menyelesaikan satu masalah berkaitan teknologi masa hadapan yang memberi kesan kepada masa yang sedang dilalui oleh Protagonis serta manusia lain. Teknologi yang sangat merbahaya dan bakal membuatkan dunia musnah tersebut telah ditemui oleh Protagonis namun dia kini menyedari misi ini bukannya suatu perkara yang mudah kerana teknologi yang dilihatnya memang tidak terjangka dek akal. Saksikan filem aksi dan sains fiksyen yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Ogos 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem daripada pengarah Christopher Nolan yang amat dinanti-nantikan iaitu Tenet bertempat di GSC One Utama pada 26 Ogos 2020 yang lepas. Kami sememangnya menyukai beberapa filem arahan Christopher Nolan sebelum ini seperti Memento, Inception dan Interstellar yang pada kami mempunyai keunikan dan misterinya yang tersendiri. Jadi, kami mengharapkan perkara yang sama untuk filem Tenet ini dan terbukti filem Tenet juga menawarkan satu perkara yang serupa cumanya ia adanya boleh dilihat terlalu bercita-cita tinggi sehingga adakalanya meninggalkan beberapa lompong besar pada keseluruhan penceritaannya kali ini.


Filem Tenet dimulakan dengan sebuah babak aksi yang berlaku di sebuah bangunan operasa dimana bangunan tersebut telah ditawan oleh sekumpulan pengganas yang cuba mencari satu benda yang diingini oleh mereka. Permulaan babak ini sangat menarik kepada kami kerana ia sudah menyajikan satu rasa yang cukup seram, mendebarkan dan adalanya menakutkan jika ianya betul-betul berlaku di dalam dunia sebenar. Tidak membuang masa kerana babak ini dipaparkan dengan cukup menarik dan kelihatan betul-betul realistik sebelum konsep 'time-inversion' mula diguna pakai untuk membuatkan para penonton untuk mula dan cuba berfikir di luar kotak untuk menyelesaikan teka-teki yang mula ditinggalkan di dalam filem Tenet ini.



Sememangnya konsep 'time-inversion' yang diguna pakai di dalam filem Tenet ini boleh dilihat sebagai satu konsep baru yang cukup unik namun seperti yang kami katakan pada permulaan ulasan dimana ia mula membuatkan filem ini kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak kena atau kurang jelas sehingga meninggalkan satu lompong yang besar pada keseluruhan penceritaannya dimana ia memberikan satu hak mutlak kepada penonton untuk menentukan dan mempercayai sendiri apa yang mereka rasa mereka ingin percaya. Adakalanya ia dilihat agak caca merba dan kurang teliti namun pada waktu yang sama juga ia dilihat unik dan agak kreatif jika dibandingkan dengan filem-filem Christopher Nolan sebelum ini. 



Namun, kami merasakan filem Tenet bukan sebuah karya agung Nolan yang harus dijulang terlalu tinggi. Ia adalah sebuah karya yang baik buat masa ini namun kami tetap merasakan karyanya terdahulu terutama filem Memento adalah sebuah filem yang lebih bagus, teliti dan bijak di dalam memperdayakan penonton pada penghujungnya. Berbeza dengan filem Tenet yang lebih gemar menyuap penonton dengan jawapan segara namun adakalanya permainan manipulasi masa yang digunakan kerap kali menghukum kembali filem ini dengan perkara-perkara yang boleh dipersoalkan terutama berkaitan dengan garis masa filem tersebut yang cuba dibuat terlalu kompleks sehingga memakan diri. Kami melihat filem ini lebih mesra dengan setiap jenis penonton yang datang menonton. Tidak dilupakan, filem Tenet turut menampilkan elemen aksi yang cukup memukau dibantu dengan skor filemnya yang pada kami sangat hebat. Tidak dilupakan juga sinematografi filem ini yang cukup cantik membuatkan filem Tenet berjaya meneruskan legasi Nolan yang hebat di dalam pekara tersebut.



Pemilihan pelakon yang sangat tepat untuk watak-watak di dalam filem ini seperti John David Washington, Robert Pattinson dan Elizabeth Debicki juga dilihat betul-betul membantu kami sebagai penonton untuk merasai setiap deria watak-watak ini yang keliru, gelisah dan pada masa yang sama berani untuk berhadapan dengan perkara yang diluar logik akal manusia. Kesimpulannya, filem Tenet telah tampil dengan sebuah konsep baru yang bukan sahaja unik tetapi berjaya memberi pengalaman baru buat penonton mahu pun para peminat karya beliau. Walaupun, filem ini adakala dilihat terlalu bercita-cita tinggi di dalam menampilkan kelainan sehinggakan memberi kesan besar kepada keseluruhan ceritanya namun ia masih sebuah filem yang menarik dan wajib ditonton oleh para kaki wayang di Malaysia. Satu karya yang berbaloi untuk ditonton dan dihargai ideanya.



Jadi, selamat menonton filem aksi seram dan sains fiksyen berjudul Tenet di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Ogos 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan Ulasan Filem Seterusnya Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

2 Ulasan