Review Filem Monster Run

 

Filem:
Monster Run

Penilaian:
5/10

Review Youtube:
AKAN DATANG

Pengarah:
Henri Wong

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
Shawn Yue, Jessie Li, Kara Wai, Tumen & Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
17 September 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Ji Mo yang mempunyai kelebihan untuk melihat raksasa sejak kecil. Hal ini membuatkan Ji Mo dianggap pelik sehingga dia dimasukkan ke rumah sakit jiwa. Untuk bebas, Ji Mo terpaksa berpura-pura untuk tidak mempedulikan gangguan raksasa tersebut. Dia juga percaya yang dia satu-satunya manusia yang mampu melihat mereka sehinggalah pada suatu hari muncul raksasa di pasar raya yang merupakan tempat dia bekerja. Namun kali ini, Ji Mo mendapati seorang pemburu raksasa bernama Meng juga mampu melihat raksasa sepertinya. Menyedari yang dirinya tidak lagi keseorangan, Ji Mo kini bakal berdepan pengembaraan terbesar dalam hidupnya. Saksikan filem aksi fantasi yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 17 September 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem kantonis berjudul Monster Run. Sebelum ini pihak kami telah mendapat jemputan daripada pihak Sony Pictures Entertainment untuk menonton filem ini sewaktu tayangan media pada 15 September 2020 di MBO The Starling. Namun, disebabkan kekangan kerja maka kami tidak dapat hadir dan mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem ini pada 16 September 2020 di TGV Cinema Jaya Centre.


Filem Monster Run ini boleh kami katakan seakan-akan filem Ghostbusters versi kantonis dimana ia memaparkan tentang kisah seorang wanita yang boleh melihat dan mengawal makhluk raksasa serta pemburu raksasa yang dipaparkan dalam suasana yang moden bersulamkan fantasi masyarakat China. Menariknya apabila dua elemen ini digabungkan yang mana kita dapat melihat peralatan-peralatan canggih yang digunakan untuk menangkap hantu tetapi pada masa yang sama filem ini masih mengekalkan elemen tradisi seperti lukisan mantera atau perangkap pada bahagian lantai serta kertas Tao atau lebih dikenali sebagai kertas tulisan ajaib untuk menghentikan atau menghilangkan makhluk halus mahu pun raksasa.


Filem Monster Run ini menampilkan plot penceritaan yang pada kami biasa sahaja dan sudah boleh diramal kesudahannya. Namun, apa yang menjadi filem ini agak menghiburkan apabila idea mereka untuk menghasilkan beberapa karakter fantasi yang menarik dan menghiburkan seperti makhluk Kertas yang gemar bercakap perkara yang lucu serta bayangan makhluk raksasa yang lain dimana rekaan yang dihasilkan kelihatan kreatif, unik dan mempunyai identiti yang tersendiri walaupun tidak 100 peratus kelihatan asli. Hal ini membuatkan filem ini tampak lari daripada klise filem yang bergenre sama walaupun tidak secara keseluruhan.


Filem Monster Run ini secara keseluruhannya merupakan sebuah filem ringan yang menghiburkan. Walaupun perkembangan kebanyakan karakter dibina agak tergesa-gesa namun ianya masih mudah difahami. Namun, konflik yang berlaku antara watak protagonis dan antagonis dilihat sangat lemah bermula pada bahagian akhir penceritaan sehingga kelihatan filem ini seakan-akan terlalu buntu untuk mencari sesuatu perkara yang segar untuk membuatkan penonton berasa kagum atau teruja dengan pengakhirannya. Namun, ianya masih sebuah filem yang menarik untuk anda tonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Monster Run di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 September 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Drama Berjudul The Tunnel. Nantikan Ulasan Filem Ini Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan