Review Filem Deliver Us From Evil

 

Filem:
Deliver Us From Evil

Penilaian:
7/10
Pengarah:
Hong Won-Chan

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Hwang Jung-Min, Lee Jung-Jae, Park Jung-Min, Choi Hee-Seo, So Yi Park & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
17 September 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pembunuh upahan bernama In-nam. Setelah menyelesaikan kontrak terakhirnya, pembunuh upahan In-nam bergegas ke Thailand apabila mendapat tahu bahawa kemungkinan salah seorang ahli keluarganya telah menjadi mangsa kes penculikan yang berlaku di sana. Dia disertai oleh Yui yang bekerjasama untuk menyiasat dan mencari mangsa penculikan tersebut. Pada masa yang sama, In-nam turut berada dalam buruan Ray selepas mendapati adiknya telah dibunuh oleh In-nam. Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 17 September 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh TGV Pictures untuk menghadiri tayangan perdana filem Deliver Us From Evil bertempat di TGV One Utama pada 14 September 2020 yang lepas. Tidak menjadi satu perkara yang aneh apabila filem ini berjaya mengatasi dan mengetepikan filem sensasi Korea Selatan pada tahun ini iaitu Peninsula apabila meraih jumlah kutipan serta penonton yang cukup tinggi daripada filem tersebut. Hal ini disebabkan filem aksi ini sememangnya mempunyai faktor serta daya penarik yang cukup mengagumkan terutama dari sudut aksi filem ini yang betul-betul menghiburkan.


Filem Deliver Us From Evil ini boleh kami simpulkan sebagai filem John Wick versi Korea Selatan jika dilihat kepada beberapa babak aksinya yang sedikit hiperbola. Namun, ada sebahagian besar babak aksinya yang sememangnya tidak membuang masa dan membuatkan kami sebagai penonton berasa terpesona dan cukup teruja menantikan setiap kesudahan babak tersebut yang dilihat lebih realistik dengan filem yang berlatar belakangkan dunia jenayah yang gelap dan tiada sifat perikemanusiaan ini. Apa yang menjadikan babak-babak aksi ini lebih menarik disebabkan oleh koreografi aksi pertarungan yang direka dan disusun dengan cukup cantik untuk membuatkan elemen ganas, ngeri dan menghiburkan berjaya bergabung dengan cukup baik untuk membuatkan mana-mana peminat filem aksi tersenyum riang menyaksikan filem yang berdurasi selama 108 minit ini.


Filem Deliver Us From Evil ini juga tampak hebat disebabkan lakonan yang cukup jiwa serta roh daripada para pelakon yang terlibat di dalam filem ini. Watak utama iaitu In-nam yang dilakonkan oleh Hwang Jun Min sememangnya berjaya disampaikan dengan cukup baik oleh beliau. Karakter dan emosi yang dimainkan sebagai seorang pembunuh upahan yang berhati kering sebelum berubah 360 darjah sebagai seorang bapa yang menyesali masa-masa yang terpaksa dilepaskan untuk bersama dengan anaknya sememangnya boleh meruntun jiwa-jiwa penonton yang sukakan elemen kekeluargaan. Begitu juga dengan persembahan lakonan yang cukup hidup daripada watak antagonis di dalam filem ini iaitu Ray yang dilakonkan oleh Lee Jung Jae yang berjaya membuatkan kami sebagai penonton percaya bahawa dirinya memang benar-benar ketua gangster yang tiada langsung sikap kemanusiaan atau lebih tepat lagi berhati iblis.


Filem Deliver Us From Evil ini  juga tidak ketinggalan menampilkan lakonan hebat pelakon cilik iaitu So Yi Park yang memainkan peranan sebagai anak kepada watak In-nam. Walaupun tidak mempunyai dialog yang banyak namun setiap kali kemunculannya tidak pernah disia-siakan. Bagaimana pelakon cilik ini melontarkan emosi yang dirasainya sebagai seorang anak kecil yang mengalami trauma akibat penculikan sememangnya betul-betul membuatkan kami sebagai penonton turut sama bersimpati dengan nasib yang dialaminya. Pelakon cilik ini memang betul-betul berbakat besar.


Filem Deliver Us From Evil juga sangat cemerlang dari sudut sinematografi dimana ianya sangat membantu di dalam menyampai banyak perkara-perkara tersirat di dalam filem ini. Segala isu-isu jenayah atau dunia hitam berjaya dipaparkan dengan cukup baik melalui gambaran yang dirakam sehingga kita dapat memahami dan merasai dengan mudah isu-isu berkaitan dengan pembunuh upahan, pemerdagangan kanak-kanak, dadah serta penderaan yang cukup ngeri dan menakutkan. Kesunyian dan riuh-rendah urusan harian penduduk di Bangkok berjaya memaparkan satu subteks lain berbanding apa yang dilihat pada pandangan mata penonton. Jadi, filem ini disokong kuat bukan sahaja daripada sudut elemen aksi mahu pun lakonan semata-mata tetapi juga atas faktor sinematografi filem ini.


Filem Deliver Us From Evil ini juga turut memaparkan nilai-nilai kekeluargaan yang cukup menarik terutama berkaitan kasih sayang antara bapa dan anak. Sedar atau tidak, filem ini sebenarnya memaparkan tiga hubungan antara bapa dan anak dimana hasil ketiga-tiga hubungan ini memaparkan keputusan yang berbeza. Hubungan antara In-nam dan anak perempuannya dipaparkan dalam sudut penyesalan si bapa yang terpaksa berjauhan dengan anak kerana kerjaya hitam yang dipilihnya dan bagaimana si anak walaupun tidak mengenali si bapa tetapi masih mempunyai rasa sayang yang sejati terhadap lelaki tersebut. Berlainan pula dengan hubungan antara watak antagonis iaitu Ray dan bapanya dimana persekitaran yang tidak sihat serta cara didikan yang salah telah menghitamkan hati Ray yang pada asalnya putih. Masalah ini telah menyebabkan terhasilnya satu raksasa yang tanpa kawalan sehingga gemar membunuh demi kepuasan serta untuk menghilangkan rasa trauma yang pernah dihadapinya dahulu. Begitu juga dengan kisah mak nyah Yoo-yi yang turut mempunyai anak tetapi mengalami dilema dimana tidak dapat berjumpa dengan anaknya kerana takutkan persepsi si anak terhadap dirinya sebagai seorang mak nyah. Kami melihat filem ini cukup cemerlang di dalam menyampaikan sisi kisah tiga orang lelaki ini serta kaitannya dengan hubungan antara bapa dan si anak. Kesimpulannya, filem ini berbaloi untuk anda tonton di pawagam kerana kekuatannya yang seimbang dalam banyak perkara.


Jadi, selamat menonton filem seram Deliver Us From Evil di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 September 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Kantonis Berjudul Monster Run. Nantikan Ulasan Filem Ini Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. menarik tu... kalau kata mcm john wick versi korea....

    BalasPadam
  2. hari ni dah keluar kann ! 😍 wahh nak tengok ni.

    BalasPadam
  3. Selepas 2 pelakon utama ni meletop di dalam filem New World, mereka bergabong semula dlm filem ini pula. Tepat ulasan Hans, bagi peminat filem aksi atau 2 pelakon ni, wajib tonton. Hebat dan puas hati... heheh

    BalasPadam