12/09/20

Review Filem Antebellum

 

Filem:
Antebellum

Penilaian:
6/10

Review Youtube:

Pengarah:
Gerard Bush & Christopher Renz

Genre:
Ngeri

Pelakon:
Janelle Monáe, Marque Richardson, Eric Lange, Jack Huston, Kiersey Clemons,
Tongayi Chirisa, Gabourey Sidibe, Robert Aramayo, Lily Cowles, Jena Malone & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
10 September 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Veronica Henley yang menyedari dirinya terperangkap di dalam satu realiti yang mengerikan. Kini dia perlu mencari jalan keluar dan menyelesaikan misteri mimpi ngeri itu sebelum terlambat. Saksikan filem ngeri ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 September 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem bergenre seram iaitu Antebellum bertempat di GSC Mid Valley pada 10 September 2020 yang lepas. Kami melihat filem ini cukup menarik dari sudut penceritaannya yang cuba menyampaikan suara daripada warga kulit hitam terhadap warga kulit putih berkenaan hak kesamarataan di dalam setiap perkara. Ianya berjaya disampaikan dengan cukup baik melalui dua latar berbeza yang menampilkan perkara yang sama tetapi daripada sudut pandang yang sangat berbeza.


Filem Antebellum dimulakan dengan adegan-adegan yang kejam serta menyayat hati yang memaparkan kejadian penculikan, pembunuhan dan penghambaan yang dilakukan terhadap warga kulit putih terhadap warga kulit hitam. Ia menjadi lebih menarik apabila adegan-adegan ini turut berani tanpa berselindung untuk memaparkan elemen-elemen rasis yang berlaku dengan cukup menyakinkan dan sangat realistik. Perbezaan dua latar yang berlaku terhadap satu watak yang sama juga berjaya membuatkan filem ini berkembang dengan cukup baik sambil menimbulkan tanda tanya yang menarik untuk ditebak oleh kami sebagai penonton.


Namun, filem Antebellum bukannya sebuah karya yang terlalu kompleks kerana filem ini mula membongkarkan rahsia kelaminnya tersendiri bermula pada bahagian pertengahan filem ini. Filem ini mula memberikan pembayang seperti kemunculan telefon selular, lambang tatu serta perbuatan pelik membakar kapas yang dikutip untuk memberi maklumat kepada penonton bahawa watak Veronica Henley dan Eden sebenarnya berada pada satu garisan masa yang sama. Tetapi, yang membuatkan filem ini kelihatan agak menarik ialah percaturannya bermain dan menggabungkan plot penceritaan yang dilihat menampilkan susunan yang kemas dan membuatkan penonton mudah memahami jalan cerita filem ini dengan sangat mudah.


Filem Antebellum ini dilihat sangat kuat dari sudut lakonan pelakon utamanya iaitu Janelle Monáe yang bijak menghidupkan dua watak utama filem ini iaitu Veronica Henley dan Eden. Memegang watak sebagai Veronica, kami melihat Janelle Monáe bijak bermain dengan sisi elegan dan korporat watak tersebut yang dipandang gah sebagai seorang penulis buki serta aktivis mewakili warga kulit hitam. Berbeza pula dengan watak Eden, sisi penderitaan dan permainan emosi yang disampaikan oleh Janelle Monáe sememangnya wajar dipuji kerana kesakitan yang dilontarkan cukup menusuk hati dan berjaya meraih simpati yang cukup besar daripada kami sebagai penonton.


Secara keseluruhannya, kami melihat filem Antebellum sebagai sebuah filem yang mempunyai kekuatan dan keistimewaan yang cukup besar terutama daripada sudut pandang hak kesamarataan yang perlu ada dan dikekalkan terhadap golongan kulit hitam. Namun, konsep penceritaan filem ini yang dilihat terlampau lurus membuatkan kami melihat ianya sebagai sebuah karya yang punya jiwa besar tetapi hanya disampaikan secara sambil lewa pada bahagian akhir filem ini. Masih sebuah filem yang menarik dan berbaloi untuk ditonton, kami merasakan filem ini sangat terhutang budi dengan lakonan hebat Janelle Monáe yang sememangnya berjaya membuatkan filem ini betul-betul hidup kerana kekuatan watak-watak yang dilakonkannya yang sampai ke hati kami sebagai penonton.


Jadi, selamat menonton filem Antebellum di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 September 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan Ulasan Filem Seterusnya Dalam Waktu Terdekat!

1 ulasan: