Review Filem The Tunnel

 

Filem:
The Tunnel

Penilaian:
7/10
Pengarah:
Pål Øie

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Thorbjørn Harr, Ylva Fuglerud, Lisa Carlehed, Ingvild Holthe Bygdnes, Mikkel Bratt Silset & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
17 September 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan perjalanan sekumpulan keluarga, remaja dan pelancong yang mahu pulang ke rumah masing-masing untuk menyambut Krismas. Namun perjalanan mereka tergendala apabila mereka terperangkap dalam kegelapan di sebuah terowong di pergunungan Norway yang sejuk akibat kemalangan yang berlaku terhadap sebuah lori tangki minyak yang terbakar dalam terowong itu. Lebih menakutkan apabila terdapat ribut salji yang sedang melanda di luar terowong dan mengakibatkan usaha menyelamat tergendala. Kini semua mangsa tiada pilihan lain selain berjuang melawan masa untuk menyelamatkan diri daripada situasi yang mencemaskan itu. Adakah mereka akan terselamat atau sebaliknya? Saksikan filem aksi yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 17 September 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem daripada negara Norway yang telah dialih suara kepada bahasa Inggeris iaitu filem The Tunnel atau Tunnelen di dalam bahasa Norway. Kami telah menonton filem ini pada 16 September 2020 di TGV The Mines dan apa yang kami boleh nyatakan, filem yang diinspirasi daripada salah sebuah kisah kemalangan yang pernah berlaku di Norway ini sememangnya menarik dan mencemaskan. Filem bertemakan bencana ini bijak mengguna pakai elemen-elemen menarik yang wajib ada di dalam filem-filem sebegini seperti suasana cemas, mangsa yang terkorban, keberanian serta pengorbanan hebat watak-watak utama dan lebih menarik kerana ianya kelihatan lebih realistik serta disampaikan dengan lebih jitu.


Untuk maklumat anda, filem The Tunnel ini dimulakan dengan satu info menarik berkaitan jumlah terowong di negara Norway pada penceritaan awalnya. Dianggarkan mempunyai lebih daripada 1100 terowong di seluruh negara tersebut namun apa yang menakutkan ialah hanya sebilangan kecilnya sahaja yang dirancang dengan bilik kecemasan atau disediakan jalan keluar untuk mangsa-mangsa menyelamatkan diri. Jadi, penonton diberitahu bahawa sejak tahun 2011, sebanyak lapan kejadian kebakaran yang besar telah berlaku di kawasan terowong dimana kejadian paling teruk adalah pada tahun 2015 yang melibatkan sebuah lori tangki yang membawa muatan sebanyak 16500 liter petrol. Mengambil kelebihan kejadian bencana yang berlaku di negara tersebut memberi peluang kepada kami untuk melihat satu insiden menarik dan terbaru yang belum pernah lagi kita lihat dalam mana-mana filem bencana sebelum ini.


Kami melihat filem The Tunnel ini berjaya menyampaikan suasana, pengalaman serta perasaan setiap watak-watak yang terlibat di dalam insiden tersebut secara semulajadi pada bahagian pertama filem ini dengan cukup baik sekali. Ini adalah salah satu bentuk penceritaan yang ringkas tetapi bijak dimana kami sebagai penonton dengan mudah dapat mengenali setiap watak-watak utama mahu pun pembantu dengan cukup baik. Penonton dengan mudahnya dapat memahami setiap karakter serta masalah yang berlaku pada setiap watak ini yang pada akhirnya dipertemukan di dalam kejadian letupan lori tangki minyak di dalam terowong tersebut dengan cukup teliti. Lebih menarik apabila setiap adegan di dalam terowong tersebut berjaya disokong dengan dengan cukup baik oleh sinematografi filem ini yang wajar diberikan pujian dimana ia membuatkan kami sebagai penonton dapat merasai dan menghayati setiap perkara yang berlaku dengan cukup baik walaupun kejadian ini sangat asing pada masyarakat kita. Pada hemat kami, belum pernah lagi berlaku kejadian sebegini di negara Malaysia dan ini merupakan satu perkara baru yang sememangnya membuatkan kami cukup teruja untuk menantikan setiap babak di dalam filem ini.


Namun, seperti biasa terdapat juga beberapa perkara yang dilihat agak mencacatkan kecemerlangan filem The Tunnel ini terutama pada bahagian kedua filem ini. Ada beberapa adegan yang dilihat agak klise dan adakalanya kelihatan suntingan yang tidak kemas sehingga membuatkan ada beberapa adegan yang dilihat muncul tiba-tiba tanpa arah tuju yang jelas. Bahagian akhirnya juga dilihat tidak terlalu memberi impak yang hebat seperti mana pada bahagian pertama filem ini. Selain itu, masalah yang membelenggu filem The Tunnel ini ialah apabila filem yang berbahasa Norway ini dialih suara kepada bahasa Inggeris maka ia selalunya memberikan impak yang mengecewakan. Sebagai penonton, kami agak kecewa kerana impak filem ini akan lebih menarik seandainya kami mampu mendengar sendiri suara sebenar pelakon ini yang pastinya mempunyai nada, intonasi serta emosi semulajadi yang lebih hidup dan asli. Sayangnya filem ini dialih suara kepada bahasa Inggeris yang sememangnya mengganggu fokus tontonan kami pada beberapa babak penting yang bersulamkan dengan emosi. Tetapi, ianya masih sebuah filem bencana yang wajar anda tonton pada bulan September 2020 ini. 


Jadi, selamat menonton filem The Tunnel di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 September 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. mesti mendebarkan filem ni... ingatkan drama korea yang tajuk tunnel tadi

    BalasPadam
    Balasan
    1. mendebarkan juga lah part nak selamatkan orang dalam terowong tu

      Padam