Review Filem Nobody

 

Filem:
Nobody

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Ilya Naishuller

Genre:
Aksi & Thriller

Pelakon (Suara):
Bob Odenkirk, Connie Nielsen, Christopher Lloyd, RZA, Aleksey Serebryakov & Etc.

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
13 Mei 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Hutch Mansell. Kehidupannya kelihatan suram dimana dirinya sering diabaikan sebagai seorang suami, bapa serta jiran-jirannya. Pada suatu malam, rumahnya dimasuki dua orang perompak namun apa yang membuatkan anak serta isterinya pelik apabila Hutch langsung tidak melawan. Namun, segalanya berubah apabila Hutch menyedari kedua-dua perompak tersebut telah mencuri sesuatu yang berharga buat anak perempuannya. Sisi gelap Hutch akhirnya mula terbongkar pada malam tersebut. Siapa sebenarnya Hutch Mansell? Saksikan filem yang penuh dengan aksi menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 Mei 2021 untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton filem bergenre aksi thriller yang cukup menarik berjudul Nobody sempena tayangan media di GSC 1 Utama pada 27 April 2021 yang lepas. Ditulis oleh penulis yang sama untuk filem John Wick, kami melihat filem Nobody ini juga mempunyai gaya dan aura yang serupa terutama daripada sudut aksinya yang sangat ganas dan mengerikan.


Jika filem John Wick bermula dengan kisah pembalasan dendam untuk seekor anjing, filem Nobody pula bermula dengan pencarian rantai kucing yang dicuri oleh perompak yang membangkitkan karakter sebenar watak utamanya iaitu Hutch Mansell. Pembinaan dan perkembangan watak utama filem ini pada kami sangat baik. Ianya bermula secara perlahan tetapi lama kelamaan ia meyakinkan kami sebagai penonton untuk mempercayai kejaguhan watak Hutch ini yang cukup hebat.


Kekuatan utama filem aksi seperti Nobody ini semestinya datang daripada babak-babak aksi yang sememangnya cukup untuk memukau dan memaku mata anda terus ke layar tanpa berkelip. Ada beberapa babak aksi yang dihasilkan begitu kreatif dan realistik sehingga membuatkan kami sukar untuk menjangka kejutan yang cukup menarik perhatian kami. Penonton yang meminati babak-babak aksi pasti akan jatuh cinta dengan filem ini yang penuh dengan tembakan, tikaman dan percikan darah yang boleh dikategorikan sebagai filem slasher. Kami sangat berpuas hati dengan pihak penapisan filem kerana kurang memotong adegan-adegan ngeri dan ini sudah bersesuaian dengan klasifikasi filem ini yang sudah pun dikategorikan untuk tontonan 18 tahun dan ke atas.


Cuma kami melihat watak antagonis di dalam filem Nobody ini tidak segagah watak antagonis di dalam filem John Wick. Walaupun secara lumrahnya, filem aksi sebegini pasti akan memaparkan kejayaan watak utamanya sebagai hero di dalam penceritaan filem. Namun,Nobody tidak mampu mengikut jejak langkah filem John Wick yang adakala mampu menukar fikiran penonton untuk berasa cemas seandainya watak utama ditewaskan. Sememangnya kami sendiri melihat Hutch Mansell pasti akan berjaya menewaskan penjenayah dan taiko yang psiko di dalam filem ini dengan mudah. Jadi, sedikit sebanyak ia mengurangkan sedikit rasa teruja kami berkaitan faktor ini. Nasib kelemahan tersebut berjaya ditutup dengan babak aksi serta lakonan mantap daripada pelakon utamanya iaitu Bob Odenkirk yang cukup menonjol. Kesimpulannya, filem Nobody merupakan sebuah filem komersial aksi yang cukup menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem aksi yang mendebarkan iaitu Nobody di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 13 Mei 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem Berjudul Those Who Wish Me Dead! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

0 Ulasan