Review Filem Those Who Wish Me Dead

 

Filem:
Those Who Wish Me Dead

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Taylor Sheridan

Genre:
Suspen & Thriller

Pelakon (Suara):
Angelina Jolie, Nicholas Hoult, Aidan Gillen, Jon Bernthal, Tyler Perry & Etc.

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
6 Mei 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Hannah yang merupakan seorang ahli bomba terlatih yang menggunakan payung terjun untuk memadamkan kebakaran hutan dan menyelamatkan manusia yang terperangkap di dalam kawasan kebakaran. Hannah masih belum dapat melupakan trauma kisah pahit kehilangan tiga nyawa yang gagal diselamatkannya daripada kebakaran hutan pada setahun yang lepas. Namun, segalanya berubah apabila dia menemui seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang sedang melarikan diri daripada dua orang pembunuh yang sedang menjejakinya di dalam hutan tersebut. Adakah Hannah mampu menyelamatkan kanak-kanak tersebut? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Mei 2021 untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Warner Bros. Pictures untuk menonton filem bergenre suspen thriller yang agak menarik lakonan Angelina Jolie berjudul Those Who Wish Me Dead sempena tayangan media di GSC 1 Utama pada 5 Mei 2021 yang lepas.


Ada beberapa perkara yang menarik perhatian kami tentang filem Those Who Wish Me Dead ini. Pertama ialah dari sudut lakonan para pelakonnya yang pada kami cukup menarik. Lakonan pelakon seperti Angelina Jolie sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi kehebatannya tetapi lakonan kanak-kanak lelaki di dalam filem ini sememangnya wajar diberikan perhatian. Gerak tubuh serta lontaran vokalnya berjaya menyampaikan emosi yang sedang dialami oleh watak cilik ini dengan cayanya. Tidak kira sedih, marah, ketakutan atau sebagainya yang dilihat sangat berjaya dan secara tidak langsung membantu penonton untuk turut sama merasai momen-momen penting di dalam filem ini dengan lebih dekat.


Perkara seterusnya yang menarik perhatian kami ialah tentang usaha pihak produksi di dalam filem ini untuk betul-betul menghasilkan latar hutan yang sedang terbakar dengan cukup cantik. Kesan janaan komputer serta realistik visual yang digabungkan memberikan satu gambaran yang cukup cantik terhadap keseluruhan latar yang wujud di dalam filem Those Who Wish Me Dead ini. Kami dikhabarkan bahawa hutan tersebut sememangnya betul-betul dibakar tetapi di dalam skala yang kecil. Walau bagaimanapun, ia berjaya membuat kami berasa sangat teruja untuk menyaksikan babak-babak sebelum, semasa dan selepas kebakaran yang memberikan tiga suasana yang cukup berbeza dan mendebarkan. 


Namun tersangatlah menyedihkan apabila filem Those Who Wish Me Dead ini begitu banyak lompong dari sudut plot penceritaannya. Dapat dilihat motif utama pembunuhan adalah sangat tidak jelas. Klimaks filem ini juga dilihat kurang memberi impak dimana kami sebagai penonton tidak dapat mengetahui apakah sebenarnya punca pembunuhan dan rahsia yang cuba disembunyikan serta ingin dibongkarkan dengan bantuan pihak media. Hal ini dilihat telah merencatkan perkembangan cerita filem ini sehingga menjadikan ianya sebagai sebuah filem yang kehilangan punca utama. Secara keseluruhan, filem ini sememangnya agak menarik untuk ditonton jika anda ingin merasai aksi serta kesan dramatik di dalam menyelamatkan diri sewaktu berada di dalah hutan yang sedang terbakar. Namun, jika anda inginkan kisah yang sempurna maka filem ini akan membuatkan anda kecewa kerana jalan ceritanya yang tidak jelas dan motifnya yang kabur disana sini.


Jadi, selamat menonton filem aksi yang mendebarkan iaitu Those Who Wish Me Dead di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Mei 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

1 Ulasan