Review Filem Hutang 2D

 


Filem:
Hutang 2D

Penilaian:
Menghiburkan

Pengarah:
Irwan Rauf & Eric Fauzi

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Ayie Elham, Baby Shima, Ropie, Fauziah Dato Ahmad Daud, Black Hanifah,
Wafiy Aan, Eric Fuzi, Akram, Falique, Achoi, Amir, Coki, Altimet & Etc.

Pengedar:
Astro First

Tarikh Tayangan:
5 Ogos 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pelukis ‘webtoon’ yang kuat berangan dan pengecut bernama Ayie yang mempunyai dua masalah dalam hidupnya iaitu hutang bapanya dan cinta terpendamnya pada Shima. Kehadiran dua gangster iaitu ‘Han’ dan ‘Kit’ menambahkan satu lagi masalah dalam hidupnya. Segalanya berubah melalui ‘tablet ajaib’ di mana segala lukisannya menjadi hidup. Dengan adanya tablet itu, dia mencipta rakan-rakan yang mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa untuk membantunya menyelesaikan masalah hidupnya. Saksikan filem ini di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula pada 5 Ogos 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan untuk menonton sebuah filem bergenre aksi komedi tempatan lakonan vokalis Floor 88 iaitu Ayie Elham dan penyanyi Baby Shima berjudul Hutang 2D secara virtual pada 2 Ogos 2021 yang lepas. Filem yang menjalani penggambaran selama 10 hari dengan kos sebanyak RM300,000 ini banyak memaparkan adegan-adegan komedi ringan yang penuh dengan mesej dan nasihat bertepatan dengan lagu Hutang nyanyi kumpulan Floor 88 yang menjadi penyebab kepada terciptanya filem Hutang 2D ini.


Kami melihat filem Hutang 2D ini sebagai sebuah filem ringan yang berjaya menggeletek hati kami untuk tertawa melihat sebahagian adegan yang berjaya memaparkan kelucuan para pelakonnya terutama Ayie, Ropie dan sebahagian ahli kumpulan Floor 88 yang langsung tidak kekok berlakon watak masing-masing. Kelucuan watak Ropie sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Selain itu, percubaan daripada Ayie Floor 88 dan rakan-rakan kumpulan Floor 88 juga pada kami berjaya menampilkan kejutan kerana ada sebahagiannya berjaya menghiburkan kami dengan lakonan dan dialog mereka yang cukup bersahaja. Untuk pengetahuan semua, hampir sebahagian besar filem ini menampilkan penyanyi sebagai pelakon namun lakonan mereka boleh diberi pujian kerana agak meyakinkan.


Filem Hutang 2D ini juga dilihat tampil penuh dengan mesej-mesej positif yang bagus dimana selain ianya menceritakan perihal berkaitan hutang, filem ini juga turut mengangkat isu-isu menarik berkaitan kehidupan keluarga, peranan ibu bapa serta prinsip kemanusiaan yang wajar dipegang oleh setiap manusia yang amanah. Namun, disebabkan filem ini merupakan sebuah filem komedi maka ianya disampaikan secara ringan dan diselangi dengan unsur humor yang membuatkan kami sebagai penonton dapat menerimanya dengan sangat mudah. Paling tidak naskah ini bukan sekadar sebuah filem komedi kosong semata-mata tetapi ianya juga padat dengan mesej-mesej positif yang menarik untuk diketengahkan di dalam karya sebegini.


Seperti kami nyatakan sebelum ini, filem Hutang 2D merupakan sebuah filem aksi komedi yang ringan. Jadi, jalan ceritanya sememangnya ringkas dan berjalan secara sehala sahaja tanpa ada tema-tema berat yang perlu dihadam. Kami melihat ada sebahagian plot ceritanya yang sedikit lemah dan kelihatan terlalu terburu-buru untuk menuju ke bahagian plot yang lain. Jadi, ianya sedikit sebanyak menimbulkan beberapa lompong kosong berbentuk pertanyaan pada beberapa watak utama cerita ini yang berkembang dengan kadar yang kurang cantik pada pandangan kami.


Namun, entah kenapa kami sebenarnya cukup tertarik dengan lakonan hebat daripada pelakon senior di dalam filem Hutang 2D ini iaitu Ogy Ahmad Daud dan Ropie apabila mereka beraksi di dalam adegan yang serius. Ianya menampilkan satu aura dan dimensi yang cukup berbeza dimana kami dapat merasai watak yang dibawa mereka sewaktu adegan yang mempertemukan dua pelakon ini penuh dengan kejujuran dan emosi yang sejati. Kami akui adegan tersebut agak menyentuh hati kami kerana nilai sentimental itu dibawakan dengan penuh bertenaga dan sangat ikhlas. Tahniah buat dua pelakon senior ini kerana berjaya menambahkan lagi keceriaan kepada filem Hutang 2D ini.


Tidak dinafikan juga adegan-adegan yang menampilkan efek dan kesan-kesan khas di dalam filem Hutang 2D ini bukan lah seperti filem-filem luar negara yang berbaget besar. Namun, ianya juga bukan dibuat sekadar lepas tangan tetapi masih boleh diterima untuk sebuah filem yang cuma berbaget RM300,000 sahaja. Namun, ianya berjaya dihasilkan dan disesuaikan dengan adegan tersebut yang sedikit sebanyak membantu menambah unsur humor di dalam filem ini untuk membuatkan kami secara keseluruhan berasa terhibur menonton filem ini daripada awal sehingga akhir. Paling penting jangan ketinggalan menyaksikan post kredit filem ini yang agak mencuit hati.


Jadi, selamat menonton filem aksi komedi yang menghiburkan iaitu Hutang 2D di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula pada 5 Ogos 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Bilalah Pandemik Covid-19 Ini Nak Berakhir Yer? Rindu Betul Nak Tonton Filem Di Pawagam!


Catat Ulasan

0 Ulasan