Review Filem Dune

 

Filem:
Dune

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Dennis Villeneuve

Genre:
Penggembaraan, Drama & Sains Fiksyen

Pelakon:
Timothée Chalamet, Rebecca Ferguson, Oscar Isaac, Josh Brolin,
Stellan Skarsgard, Dave Bautista, Zendaya & Etc.

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
14 Oktober 2021

Sinopsis:
Filem Dune yang diadaptasi dari novel karya Frank Herbert yang diterbitkan pada tahun 1965 dengan judul yang sama ini mengisahkan Duke Leto Atreides yang menerima mandat untuk mengawal dan berkuasa di sebuah planet padang pasir yang sangat berbahaya bernama Arrakis yang turut dikenali sebagai Dune. Arrakis merupakan sebuah planet yang kaya dengan sumber 'rempah' yang menjadi rebutan banyak empayar lain disebabkan ianya merupakan bahan mentah yang paling berharga pada era masa depan. Duke Leto mengajak anaknya iaitu Paul untuk bersama-samanya memimpin empayar mereka sambil cuba bekerjasama dengan puak Fremen yang dikenali sebagai puak yang handal bertempur di padang pasir yang didiami oleh cacing gergasi yang cukup berbahaya. Walaupun empayar Atreides mempunyai sistem pertahanan dan teknologi yang sangat ulung berbanding musuh-musuhnya namun disebabkan pengkhianatan yang dilakukan oleh penasihat Duke Leto menyebabkan musuh utama mereka iaitu Harkonnens berjaya menyerang dengan mudah dan memusnahkan empayar Atreides. Kini Paul perlu berjuang untuk mengembalikan maruah dan takhta keluarganya terhadap planet Dune tersebut. Berjayakah Paul dengan misinya yang cukup merbahaya itu? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 14 Oktober 2021 untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Warner Bros. Pictures untuk menonton siri pertama filem Dune yang sangat menarik bersempena dengan tayangan media di TGV 1 Utama pada 7 Oktober 2021 yang lepas. Filem ini merupakan sebuah filem adaptasi daripada novel berjudul Dune yang ditulis oleh Frank Herbert dan diterbitkan pada tahun 1965. Kami juga dimaklumkan bahawa filem asal Dune sebenarnya telah pun diterbitkan pada tahun 1984 namun dikatakan ianya tidak menepati ciri-ciri yang ada di dalam novel Dune. Namun, filem Dune versi 2021 ini berjaya mengubah segala-galanya dan menepati citarasa peminat dan pembaca novel Dune itu sendiri.


Mengisahkan tentang masa hadapan dimana pemerintah-pemerintah Galaksi merebut sumber planet yang paling berharga pada ketika itu iaitu 'rempah'. Namun, kawasan sumber rempah utama iaitu Arrakis yang cukup berbahaya dengan kehidupan makhluk cacing gergasi yang dihidup di lembah gurun pasir kini dimiliki dan dikawal oleh empayar House Atreides. 


Namun disebabkan pengkhianatan penasihat yang mensabotaj dan memberi laluan kepada musuh House Atreides iaitu House Harkonnen untuk menyerang empayar tersebut sehingga memberi kemusnahan yang cukup besar mengakibatkan runtuhnya House Atreides cuma dalam satu malam. Jadi, kini pewaris House Atreides yang terselamat cuba mendapatkan sokongan puak Freeman untuk membantunya menuntut bela dan mendapatkan kembali empayarnya.


Kami berpandangan bahawa susunan dan penyampaian jalan cerita untuk filem Dune ini cukup menarik. Tidak dinafikan ada sebahagian penceritaannya yang kelihatan sedikit meleret disebabkan plot penceritaan dipenuhi dengan dialog-dialog yang panjang berjela namun kami setuju bahawa ianya merupakan satu keperluan yang cukup penting di dalam memberi kefahaman kepada penonton untuk mengenali dengan lebih dekat perihal watak-watak serta kronologi kisah yang berselirat dan sedang berlaku pada permulaan filem Dune ini.


Kami juga cukup tertarik tentang bagaimana penceritaan filem ini berjaya menggabungkan tema politik serta bayangan keagamaan yang disampaikan dengan cukup tersusun dan ianya sangat mudah untuk difahami walaupun rata-rata mengetahui dua elemen ini sebenarnya berjiwa besar dan berat. Disokong pula dengan kekuatan karakter utama serta pembantu yang bijak diperkembangkan, diangkat dan diberi cahaya untuk bergemerlapan dengan waktu layar yang panjang di dalam filem ini, kami sememangnya sangat terhibur menonton filem Dune yang berdurasi sekitar 2 jam 30 minit ini.


Kami juga cukup tertarik dengan latar tempat masa depan yang dipaparkan di dalam keadaan yang minimalis kerana ia sudah cukup untuk membuatkan minda penonton terpengaruh dan percaya dengan dunia masa depan yang dipaparkan di dalam filem Dune ini. Kostum yang dikenakan juga cukup menawan dan bersesuaian dengan latar padang pasir yang meliputi keseluruhan planet Dune tersebut. Secara keseluruhan, filem Dune berjaya membawa satu konsep yang cukup menawan dan tidak hairan lah filem seperti Star Wars mengambil inspirasi daripada karya Dune yang pada kami sangat eksotik tetapi bernilai tinggi ini.


Jadi, selamat menonton filem sains fiksyen yang cukup mendebarkan ini iaitu Dune di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 14 Oktober 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem Sekuel Halloween Berjudul Halloween Kills! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

2 Ulasan