Review Filem Annaatthe

 

Filem:
Annaatthe

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Siva

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Rajinikanth, Khushbu Sundar, Meena, Nayanthara, Keerthy Suresh, Soori, Prakash Raj, Sathish & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
4 November 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Kaaliyan yang membesarkan adik perempuannya selepas kematian keluarganya. Adik perempuannya sangat menyayangi Kaaliyan dan sentiasa menurut segala arahan beliau. Selepas adik perempuannya tamat belajar, Kaaliyan mengambil keputusan untuk mencari calon suami buat adiknya. Adiknya tidak membantah dan akhirnya calon pengantin lelaki dijumpai dan majlis perkahwinan mula dibuat. Namun, perkara mengejutkan berlaku apabila adik perempuan Kaaliyan tiba-tiba bertindak menghilangkan diri daripada majlis perkahwin tersebut. Kaaliyan mendapat tahu adik perempuannya telah berkahwin dengan seorang lelaki muda yang kaya tanpa kebenaran beliau dan berpindah ke Kolkata bersama suaminya. Tetapi, nasib buruk telah menimpa adiknya dan Kaaliyan mengambil keputusan untuk cuba menyelamatkan adik perempuan kesayangannya. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem aksi kekeluargaan yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 November 2021 untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula sebenarnya telah lama menonton sebuah filem Tamil yang sememangnya telah lama dinanti-nantikan oleh peminat superstar Rajinikanth iaitu Annaatthe yang telah mula ditayangkan pada hari cuti Deepavali 4 November 2021 yang lepas. 


Filem Annaatthe ini sememangnya berjaya mengubat rindu kami sebagai peminat setia filem-filem Rajinikanth dimana naskah ini berjaya mengekalkan identiti dan karisma Rajni sendiri seperti mana watak-wataknya sebelum ini. Selain itu, babak aksi yang sememangnya dinanti-nanti kemunculannya di layar skrin juga langsung tidak menghampakan dan memberikan impak yang cukup maksimum kepada kami yang menonton aksi-aki hebat daripada hero veteran ini. Paling menarik apabila kisah percintaan tidak diberi keutamaan mendalam dan ini tidak menjejaskan motif utama filem ini yang memberi tumpuan kepada hubungan antara abang dan adik.


Filem Annaatthe ini sebenarnya mengangkat tema kekeluargaan secara asasnya dan memberi fokus kepada hubungan erat antara seorang abang dan seorang adik. Melihat bagaimana seorang abang begitu berdedikasi untuk sentiasa memastikan keselamatan, kasih sayang serta keperluan adik perempuannya sentiasa terjaga, terbela dan dipenuhi sememangnya sangat menakjubkan. Jadi, apabila konflik berlaku dimana si adik tiba-tiba melarikan diri daripada perkahwinan yang diatur abangnya telah memberikan satu tamparan besar kepada abangnya daripada setiap sudut sama ada emosi, harga diri, maruah keluarga, hubungan kekeluargaan dan sebagainya dalam satu masa sahaja. Kami melihat konflik yang tercetus ini begitu menarik dan sangat mendebarkan dimana ia memberi satu nilai tambah kepada filem ini untuk berkembang dengan baik. 


Namun bahagian pertengahan sehingga kepada klimaks filem Annaatthe ini memberi perasaan yang bercampur baur kepada kami. Watak-watak antagonis yang dimasukkan ke dalam penceritaan ini secara tergesa-gesa sedikit sebanyak membantutkan rasa teruja kami yang berbeza berbanding bahagian awal filem ini yang berlangsung dengan cukup baik dan tersusun. Apabila kisah-kisah antagonis ini yang muncul secara tiba-tiba dan berlangsung dengan terlalu pantas membuatkan ianya gagal memberi kesan semaksimum yang boleh kepada para penonton. Tetapi, disebabkan kombinasi elemen aksi serta sedikit unsur humor nampaknya berjaya membuatkan bahagian-bahagian yang terkesan sedikit dengan kelemahan perkembangan plot terubat dan memacu perjalanan filem ini ke arah cahaya hiburan sehingga penghujungnya.


Pada pandangan kami, filem Annaatthe ini sebenarnya mampu menjadi lebih baik jika konflik yang melanda adik perempuan Kaaliyan dapat dikembangkan dengan lebih kemas dan bergerak secara sederhana kerana ianya lebih dekat dengan jiwa penonton yang cuba untuk memahami permainan emosi si gadis ini yang berubah 360 darjah secara tiba-tiba. Namun, secara keseluruhan kami masih gembira untuk menyatakan bahawa kami terhibur dengan filem Annaatthe ini yang cukup rempah ratusnya di dalam hampir setiap perkara. 


Jadi, selamat menonton filem aksi Annaatthe yang menarik ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 November 2021. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Menjadi Sebutan Ramai Iaitu Eternals! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan