Filem:
Eternals
Penilaian:
5/10
Pengarah:
Chloe Zao
Genre:
Aksi & Pengembaraan
Pelakon:
Gemma Chan, Richard Madden, Kumail Nanjiani, Lia McHugh, Brian Tyree Henry, Lauren Ridloff, Barry Keoghan, Ma Dong-Seok, Angelina Jolie, Kit Harington, Salma Hayek & Etc.
Pengedar:
Walt Disney Pictures
Tarikh Tayangan:
4 November 2021
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuag bangsa makhluk asing abadi yang dicipta oleh Celestial Arishem dan digelar sebagai Eternals. Mereka dihantar ke Bumi sejak ribuan tahun dahulu untuk melindungi manusia daripada musuh mereka iaitu Deviants. Selepas berjaya membunuh semua Deviants, para Eternals tinggal dibumi dengan aman. Namun, selepas tragedi yang tidak dijangka berlaku dimana peristiwa separuh manusia bumi ini hilang menyebabkan para Eternals ini kembali untuk menyelamatkan manusia selepas mereka mendapati Deviants kembali muncul dengan kekuatan yang di luar jangkaan. Kejadian aneh mula berlaku apabila Deviants kali ini tidak menyasarkan manusia tetapi mencari para Eternals untuk membunuh mereka. Apa sebenarnya yang terjadi? Mampukah para Eternals melindungi diri mereka dan membunuh Deviants yang lebih kuat pada masa kini? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 November 2021 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula sebenarnya telah lama menonton filem Eternals ini yang telah mula ditayangkan pada 3 November 2021 yang lepas. Buat anda yang mungkin masih belum tahu, filem Eternals ini merupakan salah sebuah filem berdasarkan watak Marvel Comics iaitu Eternals dan menjadi filem ke-26 daripada francais Marvel Cinematic Universe.
Filem Eternals mendapat kritikan yang pelbagai sama ada dari peminat filem Marvel, pembaca komik mahu pun pengkritik filem dari serata negara. Selepas menjadi satu-satunya filem MCU yang mendapat penilaian paling rendah di Rotten Tomatoes dengan cuma 53 peratus sahaja maka ia membuatkan sebenarnya berasa sangat teruja ingin tahu apakah punca yang menyebabkan berlakukan peristiwa yang julung kalinya terjadi.
Filem Eternals telah menampilkan 10 adiwira baru di dalam sebuah filem yang berdiri sendirian. Berbeza dengan filem-filem Marvel Studios sebelum ini dimana setiap adiwira diberi filem tersendiri untuk terlebih dahulu dikenali penonton sebelum filem seperti Infinity War mahu pun Endgame menyatukan mereka beramai-ramai. Jadi, apabila 10 adiwira di dalam Eternals buat pertama kalinya diperkenalkan kepada khalayak penonton maka ia memerlukan kekuatan jalan cerita yang kuat untuk menyokong perkembangan kesemua watak ini. Tetapi, masalah besar disini ialah kelemahan plot ceritanya yang gagal memberi masa yang seimbang buat 10 adiwira ini untuk berkembang secara sama rata.
Durasi filem ini yang melebihi2 jam 30 minit nampaknya gagal untuk memberi fahaman kepada kami berkaitan dengan hubungan watak utama iaitu Sersi dan Ikaris yang kabur sepanjang filem ini berlangsung. Hubungan romantis mereka yang berakhir dengan perkahwinan yang bahagia sebelum kedua-duanya berpisah tidak terjawab dengan baik dan tergantung sepi sehingga ke penghujung. Kecelaruan minda yang melanda watak Thena yang tiba-tiba gagal mengawal dirinya juga agak memeningkan untuk dihadam. Belum lagi tentang tenggelamnya watak Makkari yang dilihat seperti tidak penting langsung di dalam filem ini sedangkan pada logiknya kesemua 10 watak Eternals ini sama penting untuk diperkembangkan kepada penonton. Cubaan menggabungkan elemen romantis dan persengketaan akibat kehendak perasaan ini hanya membuatkan Eternals tiada beza dengan manusia biasa dan tidak menyatu dengan baik di dalam keseluruhan penceritaan.
Masih mengekalkan ciri-ciri klise filem-filem Marvel sedia ada, kami percaya masih ramai yang terhibur dengan kepelbagaian pelakon antarabangsa yang dipilih untuk memegang watak-watak Eternals ini serta aura komikal yang diguna pakai membuatkan rata-rata penonton masih mampu terhibur seperti sedia ada. Namun, kelemahan penceritaan mengakibatkan watak-watak utama tenggelam dan ada sebahagiannya seakan-akan menjadi watak pembantu walaupun kerap keluar di dalam banyak babak. Kami merasakan ini adalah pembaziran terbesar terhadap bakat serta nama para pelakon yang ditampilkan di dalam filem ini kerana mereka tidak dapat memberikan impak maksimum disebabkan kelemahan penceritaan yang kacau bilau dan dilihat tidak lebih daripada sekadar cukup ada sahaja bagi memanjangkan durasi filem.
Mungkin ini merupakan salah satu strategi untuk menjadi penyebab kepada kisah filem yang akan datang memandang paparan kredit di pertengahan dan akhir filem yang boleh kami katakan agak menarik dan penuh tanda tanya. Kesimpulannya, kami masih terhibur menonton filem ini namun tidak dapat dinafikan agak kecewa dengan hasil keseluruhan yang dipaparkan di sepanjang tontonan. Apa-apapun, diharapkan filem-filem selanjutnya yang berkaitan dengan Eternals dapat dibikin dengan lebih teliti dan mampu memberi kejutan yang kami harapkan.
Jadi, selamat menonton filem Eternals di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 November 2021. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Turut Menjadi Sebutan Ramai Iaitu Venom: Let There Be Carnage! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!
0 Ulasan