Review Filem Venom: Let There Be Carnage

 

Filem:
Venom: Let There Be Carnage

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Andy Serkis

Genre:
Aksi

Pelakon:
Tom Hardy, Michelle Williams, Naomie Harris, Reid Scoot, Stephen Graham, Woody Harrelson & Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
11 November 2021

Sinopsis:
Filem sekuel ini mengisahkan Eddie Brock yang merupakan seorang wartawan penyiasat cuba menghidupkan kembali kegemilangan kerjayanya dengan menemuramah seorang pembunuh bersiri bernama Cletus Kasady. Pertemuan tersebut telah menyebabkan Kasady menjadi tuan rumah Carnage yang merupakan benih Venom secara tidak sengaja dan membantunya melarikan diri dari penjara untuk menyelamatkan kekasih hatinya iaitu Frances Barrison yang dikurung oleh pihak berkuasa kerana mempunyai kuasa jeritan supersonik yang berbahaya. Mampukah Brock dan Venom menghalang Kasady yang kini menjadi sangat kuat selepas menjadi perumah kepada Carnage? Saksikan filem aksi komedi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 11 November 2021 untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Venom: Let There Be Carnage pada 11 November 2021 yang lepas bertempat di GSC IOI Puchong. Selepas kejayaan filem pertama Venom sebelum ini, kami sememangya bertambah teruja apabila diberitahu watak antagonis paling rakus dalam kisah Venom iaitu Carnage bakal muncul di dalam filem sekuel kali ini. Walau bagaimanapun, filem ini hanya sekadar tidak ubah seperti mana filem-filem keluaran Marvel yang lebih memberi fokus kepada aksi serta unsur humor sehingga menenggelamkan watak Carnage yang dipertontonkan dengan begitu lemah sekali di dalam penceritaan kali ini.


Apa yang kami lihat menjadi kekuatan dan pada masa yang sama menjadi kelemahan kepada filem Venom: Let There Be Carnage kali ini ialah keserasian antara hubungan dua watak utama iaitu Venom dan Eddie Brock. Kekuatan yang kami lihat pada dua watak ini ialah keserasian yang berlaku antara mereka yang dilihat lebih bersahaja disamping mewujudkan elemen komedi di dalam setiap frasa dialog yang berjaya menggeletek hati kami. Namun, unsur humor ini digunakan terlalu berlebihan dan ada babak-babak pertembungan pemikiran antara Venom dan Eddie Brock ini yang terlampau panjang meleret menyebabkan waktu bahagian pertama filem ini terbazir begitu sahaja tanpa ada naratif yang kuat. Terlalu bercita-cita untuk menjadi sama seperti filem Marvel yang lain adalah kesilapan terbesar yang dapat dilihat pada filem ini.


Filem Venom: Let There Be Carnage ini juga dihasilkan dengan gaya penceritaan yang sangat ringkas serta pengakhiran yang begitu mudah diramal. Kadang kala kami merasakan filem ini dibuat hanya cukup sekadar ada kerana matlamat sebenarnya ingin membawa watak Venom ini menerjah masuk ke dalam filem-filem Marvel yang akan datang terutamanya untuk filem Spiderman. Agak sayang sebenarnya kerana filem ini patutnya boleh memberi kelainan yang lebih unik dan pastinya lebih memuaskan peminat-peminat filem Venom ini.


Paling mengecewakan di dalam filem Venom: Let There Be Carnage ini pastinya adalah kemunculan watak Carnage yang dilihat terlalu lemah. Hubungan watak Carnage dan perumahnya iaitu Cletus Kasady juga dilihat berkembang terlalu pantas tanpa ada kronologi penceritaan yang kemas sehingga menyebabkan kedua-dua watak antagonis ini kelihatan begitu hambar sekali. Begitu juga hubungan cinta antara Kasady dan kekasihnya Barrison yang boleh kami katakan cukup menghampakan kerana motif pertemuan kedua-dua watak ini juga seakan-akan hanya untuk melengkapkan kuota watak-watak antagonis di dalam filem ini sahaja. Walaupun filem ini menghiburkan untuk ditonton namun kami secara jujur menyatakan karya ini juga agak mengecewakan kami kerana kepuasan menonton sebuah filem yang memaparkan kisah adiwira dan antagonisnya dengan seimbang nampaknya gagal ditemukan untuk filem Venom: Let There Be Carnage ini. 


Jadi, selamat menonton filem Venom: Let There Be Carnage di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 11 November 2021. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Sangat Unik Dan Menarik Berjudul Last Night In Soho! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Saya bagi 1/10 je. Sebagai fan Venom, film ini amat mengechewakan. Nak tulis panjang sangat komen saya nanti. Saya bagi 1 tu pon utk efx dan soundtrack dia yg OK...

    BalasPadam
    Balasan
    1. saya biasa-biasa jer...sekadar tengok. tapi memang ada dengar yang peminat Venom rata-rata kecewa...hehehe

      Padam