Review Filem Last Night in Soho

 

Filem:
Last Night in Soho

Penilaian:
8/10

Pengarah & Penulis:
Edgar Wright

Genre:
Drama, Seram & Misteri

Pelakon:
Thomasin McKenzie, Anya Taylor-Joy, Aimee Cassettari, Rita Tushingam & Etc.

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Eloise yang merupakan seorang pereka fesyen dan sangat bercita-cita tinggi. Dia mendapat tawaran belajar di London di dalam bidang fesyen dan mula bertemu dengan rakan-rakan sebaya yang memandangnya sebagai seorang gadis kampung yang pelik dan kolot. Eloise mengambil keputusan untuk berpindah rumah dan kejadian pelik mula berlaku sewaktu dirinya sedang tidur. Eloise bermimpi dirinya memasuki tahun 1960-an dan menemukannya dengan perjalanan kisah hidup seorang gadis yang mengimpikan untuk menjadi penyanyi yang bernama Sandie. Mimpi ini membantu Eloise di dalam mengolah rekaan fesyennya menjadi seakan-akan tahun 60-an dan membuatkan Eloise cukup gembira untuk mengetahhui perjalanan hidup Sandie. Namun, Eloise mendapati Sandie mati dibunuh dan bayangan yang dilihatnya di dalam mimpi sama seperti dia melihat bayangan tersebut di kawasan tempat tinggalnya di kota London. Eloise mula menyiasat siapa pembunuh Sandie. Nampaknya penyiasatan Eloise membawa masalah kepada dirinya apabila dia mengetahui pembunuh tersebut masih hidup dan kini memburu dirinya. Mampukah Eloise menyelamatkan diri dan membongkarkan misteri pembunuhan Sandie? Saksikan filem ini untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Last Night in Soho baru-baru ini selepas lama menantikan kemunculan filem yang cukup unik ini. Ramai menyatakan sentuhan Edgar Wright sebagai penulis dan pengarah selalunya tidak pernah mengecewakan. Kami sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut usai selepas menonton filem ini yang ternyata memberikan satu pengalaman menonton yang cukup terasa keindahan dan kepuasaannya. Filem ini berjaya membawa kami dekat dengan era tahun 60-an dimana bukan sekadar menampilkan pelakon-pelakon yang berbakat besar serta busana 60-an yang indah tetapi juga runut bunyi yang cukup-cukup menggoda irama serta liriknya.


Filem Last Night in Soho sebenarnya dilengkapi dengan segala keindahan yang hampir sempurna. Edgar Wright sememangnya sangat memahami teknik terbaik di dalam melengkapkan naskah unik ini adalah melalui visual yang cukup cantik serta dibantu oleh sinematografi yang sangat segar dan memberi makna kepada setiap adegan yang melatari plot penceritaan filem ini. Daripada sebuah filem yang tampak biasa dan kemudian berubah 360 darjah menjadi sebuah filem seram yang cukup menyegar, ini adalah antara filem pada tahun 2021 yang sangat membuatkan kami begitu gembira menghayati segala yang ada di dalam sepanjang penceritaanya.


Filem Last Night in Soho ini sememangnya memberi banyak kejutan daripada awal sehingga ke akhir penceritaannya. Bagaimana filem ini cuba menimbulkan konflik kekeliruan buat kami yang menonton visual 'pertemuan awal' antara Eloise dan Sandie sememangnya satu usaha yang cukup baik. Sebelum ia perlahan-lahan diubah kepada satu 'ketakutan' yang mengganggu kehidupan Eloise yang cuba mencari jawapan sebenar kepada persoalan yang berlaku kepada 'kematian' Sandie sememangnya cukup mendebarkan. Permainan lampu di dalam beberapa adegan seram juga cukup meyakinkan ditambah dengan runut bunyi yang meruntun jiwa memang melengkapkan filem ini pada satu aras yang sangat mengagumkan.


Filem Last Night in Soho ini juga turut memaparkan kritikan sosial yang bijak di dalam penceritaannya. Daripada masalah diskriminasi status kekayaan, dominan kuasa lelaki, buli serta masalah penderaan seksual sememangnya berjaya disampaikan dengan cara yang cukup bijak dan kreatif. Sememangnya segala ini sukar untuk dicapai tanpa lakonan mantap daripada dua pelakon utamanya iaitu Thomasin McKenzie dan Anya Taylor-Joy yang cukup menawan dan seakan-akan seiras sehingga hampir mengelirukan kami tentang motif sebenar pertemuan mereka berdua. Kedua-dua watak yang dipegang mereka sememangnya sangat berlawanan dan ianya dapat dilihat melalui riak wajah dan permainan lirikan mata mereka yang memberikan dua pandangan berbeza sepanjang filem ini berlangsung. Sangat subjektif tetapi cukup untuk meyakinkan sesiapa sahaja yang menonton bahawa mereka berjaya melakonkan watak mereka dengan cukup berkesan.


Perkara terakhir yang membuatkan kami cukup menyukai filem Last Night in Soho ini adalah keindahan runut bunyi yang dipilih sebagai lagu latar sepanjang filem ini membawa irama muzik 60-an yang cukup indah dan menghiburkan. Runut bunyi seperti Last Night in Soho, Anyone Who Had a Heart, You're My World, Downtown, I've Got My Mind Set On You dan Always Something There To Remind Me ini sememangnya sangat malar segar dan mesra telinga untuk didengar sentiasa. Dibantu pula dengan koreografer yang cukup kreatif untuk beberapa lagu yang digunakan sepanjang babak-babak kemunculan Sandie membuatkan ianya sudah cukup untuk menjawab kenapa kami sangat menyukai filem bergenre drama, misteri dan seram ini yang menampilkan plot twist yang pelbagai.


Jadi, selamat menonton filem Last Night in Soho. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Kisah Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Siri Netflix Dari Korea Yang Sangat Unik Berjudul Hellbound! Nantikan Ulasan Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

0 Ulasan