Review Filem No Time To Die

 

Filem:
No Time To Die

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Cary Joji Fukunaga

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Thriller

Pelakon:
Daniel Craig, Rami Malek, Lea Seydoux, Lashana Lynch, Ben Whishaw, Naomie Harris,
Jeffery Wright, Ralph Fiennes, Rory Kinnear, Ana de Armas, Dali Benssalah & Etc.

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
25 November 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Bond yang telah meninggalkan perkhidmatannya sebagai ejen 007 dan menikmati kehidupan yang tenang di Jamaica bersama kekasihnya. Namun kedamaian yang dinikmati beliau tidak lama apabila rakan lamanya iaitu Felix Leiter dari CIA muncul meminta bantuan. Misinya untuk menyelamatkan seorang saintis yang diculik ternyata jauh daripada jangkaannya apabila beliau telah dikhianati. Akhirnya ia membawa Bond untuk menjejak seorang penjahat misteri yang bersenjatakan teknologi baharu yang sangat berbahaya. Berjayakah Bond menumpaskan penjenayah tersebut? Saksikan filem aksi yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 November 2021 untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada UIP Malaysia untuk menonton filem yang dinanti-nanti oleh ramai peminat James Bond iaitu No Time To Die yang berlangsung dengan cukup meriah di TGV 1 Utama pada 9 November 2021 yang lepas. Untuk makluman semua, filem ini merupakan sekuel kepada filem Spectre yang ditayangkan pada tahun 2015. Jadi, sebaiknya anda semua menonton dahulu filem ini untuk lebih faham tentang apa yang terjadi di dalam filem No Time To Die.


Seperti biasa antara yang menjadi intipati kegemaran peminat filem James Bond semestinya adegan aksi yang disertai dengan letupan, kejar mengejar, berlawan dan yang seumpama dengannya. Namun, apa yang sedikit mengecewakan apabila pengarah filem ini mengambil pendekatan untuk memaparkan adegan aksi berlawan yang kelihatan agak goyah dengan keadaan kamera yang tidak stabil. Walaupun tidak semua namun adegan-adegan yang terbabit sememangnya memberi rasa yang tidak puas buat kami yang sangat-sangat menantikan dan menginginkan aksi-aksi berlawan yang lancar dan kemas.


Selain itu, kami melihat hubungan watak utama iaitu Bond dengan watak-watak utama lain sama ada kekasihnya atau pun Ejen 007 wanita yang dipaparkan seperti tiada keserasian seperti mana filem sebelum ini. Agak menghairankan apabila melihat watak-watak ini seakan-akan jauh antara satu sama lain. Kami juga sedikit ralat apabila menyaksikan watak antagonis lakonan Rami Malek kurang diperkembangkan dan ianya seakan-akan tenggelam pada pertengahan filem sebelum kembali muncul mengganas pada penghujung filem. Walaupun terdapat kisah imbas kembali pada awal filem namun ianya tidak cukup kuat untuk membuatkan kami memahami dengan lebih mendalam berkaitan denagn prinsip dan motif utama watak ini. Sayang sebenarnya kerana kami menjangkakan watak lakonan Rami Malek ini sepatutnya mampu memberi impak yang lebih tinggi kepada penonton namun ianya sedikit meleset daripada jangkaan.


Namun, tidak dinafikan filem No Time To Die masih menghiburkan dengan aksi-aksi yang memenuhi hampir sebahagian besar plot cerita filem ini. Terdapat banyak juga kejutan menarik yang pastinya membuatkan para peminat James Bond bakal teruja sepanjang menyaksikan filem yang berdurasi lebih daripada 2 jam ini. Tetapi, apa yang kami boleh nyatakan filem No Time To Die ini sememangnya memberikan satu kejutan yang tidak kami jangkakan dimana kami sangat menyukai pengakhiran filem ini yang tidak klise seperti yang diramal. Kalau nak tahu maka anda kenalah tonton filem No Time To Die ini untuk mengetahui apa yang kami maksudkan.


Jadi, selamat menonton filem aksi No Time To Die yang cukup mendebarkan ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 November 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Cukup Hits Berjudul Annaatthe! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

0 Ulasan