Review Filem Nightmare Alley

 

Filem:
Nightmare Alley 

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Guillermo del Toro

Genre:
Aksi, Jenayah & Drama

Pelakon:
Bradley Cooper, Cate Blanchett, Toni Collette, Willem Dafoe,
Richard Jenkins, Rooney Mara, Ron Perlman, David Strathairn & Etc.  

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
13 Januari 2022

Sinopsis:
Filem ini merupakan adaptasi dari sebuah novel yang diterbitkan pada tahun 1946 dengan judul yang sama iaitu Nightmare Alley dan merupakan karya penulis William Lindsay Gresham. Filem ini mengambil latar era 1940-an di kota New York dan mengisahkan seorang lelaki bernama Stanton Carlisle yang merupakan seorang pekerja karnival sebelum berubah menjadi seorang lelaki hebat disebabkan kemahirannya membaca dan memanipulasi pemikiran dan kepercayaan orang lain terutamanya golongat elit melalui trik yang telah dipelajarinya daripada seorang lelaki berpengalaman. Disebabkan ketamakan menyebabkan Carlisle mula menjalinkan hubungan seorang psikiatri bernama Dr. Lilith Ritter sehingga mengabaikan isterinya. Carlisle dan Dr Lilith mula merancang untuk menipu seorang hakim yang kaya dan terkemuka di kawasan mereka. Adakah mereka berdua akan berjaya? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 Januari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada The Walt Disney Malaysia untuk menonton sebuah filem yang cukup hebat iaitu Nightmare Alley yang berlangsung di TGV One Utama pada 11 Januari 2022 yang lepas. Sesiapa yang meminati karya pengarah tersohor Guillermo del Toro pasti sebulat suara akan menyukai filem ini sepenuh hati. 


Filem Nightmare Alley sebenarnya menampilkan sebuah kisah yang cukup luar biasa. Pada mulanya kami akui momentum filem ini bergerak sedikit perlahan namun ianya mula berkembang pantas sedikit demi sedikit sehingga membuatkan kami tercengang kagum pada pengakhiran filem ini yang sangat menarik. Setiap drama yang diwujudkan di dalam plot cerita memang cukup mengujakan. Apa yang pasti filem ini harus ditonton sepenuhnya sejak daripada awal penceritaan dan elakkan untuk terlepas sebarang adegan agar anda dapat memahami keseluruhan kisah hebat ini dengan sempurna.


Pujian terbesar wajib diberikan kepada pelakon utama filem Nightmare Alley ini iaitu Bradley Cooper yang memainkan watak sebagai Stanton Carlisle. Misteri kisah hidup watak Stan ini berjaya dilakonkan dengan penuh penghayatan oleh pelakon berbakat besar ini sehingga mampu membuatkan kami bersimpati dengan kisah hidup watak tersebut. Menariknya watak Stan ini bukan sebuah watak yang bersosok suci tetapi bagaimana olahan penceritaan yang baik menjadikan kami memahami apa yang cuba dicari dan diingini oleh karakter utama filem Nightmare Alley tersebut.


Watak Stan berjaya membawa kami sebagai penonton untuk melihat keinginan majoriti manusia di dalam kehidupan mereka melalui kisah Nightmare Alley ini. Manusia seperti Stan sebenarnya wujud di ruang sekeliling kita dan kemungkinan besar sifat tersebut ada di dalam diri kita sendiri. Watak ini mengajar kita tentang kebaikan yang boleh dicontohi jika ingin berjaya iaitu harus bijak dan pantas merebut peluang yang ada di hadapan mata. Watak Stan juga sebenarnya berjaya menunjukkan kepada kita bahawa ketamakan manusia sememangnya tidak berkesudahan dan jika tidak dibendung akan memberi bencana besar kepada kehidupan akan datang. Watak Stan juga menunjukkan bahawa kehidupan manusia ini bagaikan roda jika segala perkara yang buruk tidak dijadikan sebagai tauladan di dalam perjalanan kehidupan. Gabungan perkara ini yang memberikan impak kepada momentum perkembangan watak Stan yang pada akhirnya menjadikan filem hebat ini sebuah karya yang cukup mempesonakan. 


Kami sebenarnya sangat mengagumi filem Nightmare Alley ini kerana mesejnya yang begitu mendalam dan disokong dengan beberapa elemen lain yang boleh diberi pujian. Elemen pertama ialah kekuatan dan kehebatan setiap pelakonnya di dalam mengolah dan memberi jiwa kepada setiap watak sehingga meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Elemen kedua ialah sinematografi filem ini yang cukup mengasyikkan dimana kegelapan yang dipaparkan berjaya membuatkan kami untuk merasai ketakutan, kesakitan dan kemurungan yang di alami oleh watak-watak utama filem ini dengan cukup baik. Seterusnya yang berjaya memberi warna kepada filem ini semestinya adalah bagaimana latar tempat dan masa yang dipilih iaitu pada era 1940-an berjaya digambarkan dengan sangat baik melalui visual yang begitu meyakinkan. Selain itu ialah penghasilan dan penggunaan props serta busana yang realistik dan menepati latar masa yang menjadikan filem hebat ini wajar diangkat sebagai sebuah filem pembuka terbaik pada tahun 2022. Serius filem ini sangat memberi kesan dan kepuasan kepada kami secara keseluruhannya.


Jadi, selamat menonton filem Nightmare Alley yang akan mula ditayangkan pada 13 Januari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Indonesia Berjudul Backstage! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Terima kasih Hans kerana telah memberi review dgn pantas film yg saya tunggu² terutama dari Director favourite, G. D. Toro. Sememangnya hasil dari dia tak pernah mengechewakan peminat nya. Tetapi yg best nya film Makmum 2 pon dah mula ditayangkan juga. Hans dah layan ke Makmum 2 tu? TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah..filem nih memang best dan kena dengan citarasa Hans. Makmum 2 tak tengok kut sebab kawan-kawan pun ramai kata kureng. Lagi pun Hans jemu tengok filem seram sebab lebih kurang sama jer semua. hahahaha!

      Padam