Review Filem Clifford The Big Red Dog

 

Filem:
Clifford The Big Red Dog 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Walt Becker

Genre:
Pengembaraan, Komedi & Keluarga

Pelakon:
Jack Whitehall, Darby Camp, Tony Hale, Sienna Guillory,
David Alan Grier, Russell Wong, John Cleese & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
10 Februari 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Emily Elizabeth yang tinggal bersama Makcik Abby ketika ibu bapanya pergi ke luar kota. Secara rahsia, dia memelihara seekor anak anjing comel. Emily kemudiannya mendapati anjing itu telah membesar ke saiz yang luar biasa dan menyebabkan kekacauan di bandar New York. Saksikan filem yang melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 Februari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton sebuah filem komedi kekeluargaan yang berjudul Clifford The Big Red Dog sempena tayangan media pada 6 Februari 2022 bertempat di GSC Starling


Selepas menonton keseluruhan filem Clifford The Big Red Dog ini, apa yang kami boleh katakan ialah filem ini lebih kurang sama sahaja asas kisahnya dengan mana-mana filem fiksyen dongeng yang lain dimana filem ini sangat bergantung kepada mistik dan magis si anjing merah yang membesar sekelip mata hanya dalam suatu malam. Diberi nama Clifford, si anjing merah ini sebenarnya menjadi penyelamat kepada watak utama di dalam filem ini iaitu Emily Elizabeth yang tiada rakan di sekolah dan sering dipulaukan. Jadi, Clifford telah membantu Emily untuk menjadi seorang yang lebih yakin dan kuat di dalam berhadapan dengan pembuli-pembulinya di sekolah.


Pada asasnya, permulaan filem Clifford The Big Red Dog ini sememangnya tampak menarik dan seperti menjanjikan satu kisah yang baru dan segak. Memang tidak dinafikan banyak situasi menarik dan melucukan berlaku sewaktu di bahagian pertama filem ini berlangsung. Namun, apabila filem ini mula memasuki bahagian pertengahan cerita, kami tidak dapat nafikan setiap plot selepas itu sememangnya sangat mudah dijangka dan tidak memberikan sebarang pembaharuan yang kami harapkan. Filem ini boleh kami kategorikan sebagai sebuah filem ringan yang berkonsepkan persis filem kanak-kanak daripada Disney yang memang sesuai untuk tontonan si cilik kerana banyak juga mesej serta nilai-nilai murni yang cuba disampaikan. Namun, sebagai penonton dewasa yang inginkan plot kisah yang lebih mencabar tetapi nampak gayanya filem ini tidak menjanjikan sebarang penambahbaikan yang kami angan-angankan.


Namun, satu perkara yang sangat menarik perhatian kami ialah penghasilan imej si anjing merah, Clifford yang betul-betul menakjubkan. Imej yang dihasilkan sangat teliti dan secara zahirnya memang visual Clifford nampak betul-betul realistik. Faktor ini sebenarnya yang memberi markah bonus buat filem Clifford The Big Red Dog ini untuk menambat hati kami yang gembira menonton gerak-geri Clifford yang lincah dan comel ini. Para pelakon yang membintangi filem ini juga berjaya memberikan lakonan yang mantap dimana keserasian antara setiap watak memang jelas kelihatan. Jalan ceritanya pula sememangnya berkonsepkan sehala dan sangat mudah difahami. Secara keseluruhan, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton dan kami yakin anak-anak kecil pasti akan gembira menonton filem ini.


Jadi, selamat menonton filem Clifford The Big Red Dog yang akan mula ditayangkan pada 10 Februari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Menarik Berjudul Marry Me! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan