Filem:
Marry Me
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Kat Coiro
Genre:
Komedi & Romantik
Pelakon:
Jennifer Lopez, Owen Wilson, Maluma, John Bradley-West, Sarah Silverman & Etc.
Pengedar:
United International Pictures
Tarikh Tayangan:
10 Februari 2022
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang bintang Latin terkenal iaitu Kat Valdez yang bakal berkahwin dengan pasangan pentasnya, Bastian di hadapan para peminat dari seluruh dunia. Namun, beberapa saat sebelum dia melafazkan nazar, Kat mendapati Bastian telah berlaku curang di belakangnya. Kat kemudian membuat keputusan untuk berkahwin dengan seorang lelaki tidak dikenali bernama Charlie yang merupakan seorang peminat dan sedang memegang papan tanda "Marry Me" di tengah-tengah orang ramai yang memerhatikan mereka. Saksikan filem komedi romantik yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 Februari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton sebuah filem menarik berjudul Marry Me pada 8 Februari 2022 bertempat di GSC Starling. Filem komedi romantik ini sebenarnya cuba menampilkan satu daya tarikan baru melalui trailer filemnya yang boleh kami katakan agak menarik dan membuatkan hati membuak-buak tidak sabar untuk menonton. Namun, adakah hasil keseluruhan filem menepati jangkaan yang diharapkan?
Filem Marry Me ini bermula dengan cukup baik pada permulaannya melalui satu konflik besar diluar jangkaan yang diwujudkan pada watak Kat Valdez yang mengetahui Bastian iaitu bakal suami yang dicintainya curang dengan pembantunya sendiri selang beberapa minit sebelum dia mengumumkan secara rasmi tentang perkahwinan mereka. Jadi, permasalahan yang tercetus dan bagaimana watak Kat ni mengikut gerak hati untuk memilih seorang lelaki yang sangat asing daripada kehidupannya iaitu Charlie secara spontan untuk dikahwini pada waktu tersebut sememangnya sangat menarik untuk ditonton. Jadi, segala perkara yang berlaku dengan penuh kacau bilau ini dapat diselaraskankan dengan cukup baik pada permulaan filem dan membuatkan kami lebih bersemangat untuk tahu apakah yang bakal berlaku seterusnya.
Namun, bahagian pertengahan filem Marry Me ini mula menunjukkan tanda-tanda ianya mulai tenat apabila tahap kegembiraan kami mula turun naik melihat permasalahan dalam hubungan watak-watak utama ini gagal dikembangkan secara luar biasa. Plot penceritaannya agak ringan dan perubahan plot yang cuba diaplikasikan ke dalam penceritaannya juga gagal meninggalkan impak yang besar. Bahasa mudahnya ialah kisah penceritaan filem ini sangat klise dan ianya begitu mudah diramal. Jadi, apabila tiada kejutan besar yang berlaku maka keterujaan yang tercetus pada awalnya juga mula menurun sehingga pada akhirnya ia hanya sekadar sebuah lagi filem komedi romantik yang berakhir seperti mana filem 'romcom' yang lain.
Tetapi, kami tidak mengatakan filem Marry Me ini sebagai sebuah filem yang teruk. Sebaliknya kami lebih suka untuk menganggap bahawa filem ini sekadar sebuah filem ringan yang biasa dan menawarkan nilai hiburan yang sederhana. Elemen wajib yang selalu dipertaruhkan di dalam sebuah filem bergenre komedi romantik masih setia diguna pakai di dalam Marry Me dan ianya tetap memberikan hasil yang boleh diterima oleh penonton yang meminati filem sebegini. Cuma apabila sesuatu perkara kerap dikitar semula maka semestinya kami tidak berasa puas menonton filem ini.
Lakonan bintang-bintang di dalam filem Marry Me ini memang tidak dapat disangkal lagi kewibawaan mereka. Permainan emosi dan suntikan komedi berjaya membuatkan filem ini masih mampu bernafas. Cuma kelemahan terbesar yang kami lihat datangnya daripada perkembangan hubungan dua watak utama yang perlahan dan tidak meyakinkan. Keserasian antara watak Kat dan Charlie gagal diterjemahkan dengan baik di dalam visual disebabkan penceritaannya yang tergesa-gesa tanpa pembangunan kisah yang jelas dan mantap. Segala persoalan yang timbul dan cara ianya diselesaikan juga dilihat agak semberono. Perinciannya tidak terlalu berjaya dan ini yang menjejaskan momentum penceritaan filem ini yang pada awalnya telah bermula dengan cukup baik. Secara keseluruhan, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton. Cuma suka untuk kami nyatakan bahawa naskah komedi romantik ini masih terperangkap di dalam kisah-kisah klise filem bergenre sebegitu.
Jadi, selamat menonton filem Marry Me yang akan mula ditayangkan pada 10 Februari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul Death On Nile! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.
2 Ulasan
tgk preview movie ni, mcm menariks tapi tu la..kat cinema plak...kena gi tgk wayang la ni...
BalasPadamhehehe ia :)
Padam