Review Filem Death On The Nile

 

Filem:
Death On The Nile 

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Kenneth Branagh

Genre:
Jenayah, Drama & Misteri

Pelakon:
Kenneth Branagh, Gal Gadot, Letitia Wright, Armie Hammer, Annette Bening, Ali Fazal, Sophie Okonedo, Tom Bateman, Emma Mackey, Dawn French, Rose Leslie & Etc.  

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
10 Februari 2022

Sinopsis:
Filem ini merupakan adaptasi novel Agatha Christie dengan judul yang sama. Ia mengisahkan tentang Detektif Hercule Poirot yang perlu menyiasat pembunuhan seorang pewaris muda ketika sedang bercuti di atas sebuat bot persiaran mewah di Sungai Nile. Banyak suspek yang dilihat mempunyai motif untuk menjadi pembunuh kepada pewaris muda tersebut. Namun, siapakah sebenarnya antara mereka yang terlibat di dalam jenayah ini? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 Februari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Death On The Nile pada 13 Februari 2022 bertempat di GSC Aman Central. Untuk makluman semua, filem ini adalah sekuel kepada filem Murder on the Orient Express yang ditayangkan sekitar tahun 2017 yang lalu. Jadi, kami sememangnya sangat teruja untuk menantikan sekuel filem ini dimana kami meramalkan bahawa ianya adalah lebih baik daripada filem yang pertama. Namun, sangkaan kami agak meleset kerana ianya tidak seperti mana yang kami ramalkan.


Filem Death On The Nile ini bukannya tidak bagus sebagai sebuah filem sekuel. Naskah ini boleh berdiri dengan teguh walaupun jika anda tidak pernah menonton filem sebelumnya. Namun, apa yang mengecewakan kami ialah dalang disebalik kejadian pembunuhan ini sangat mudah diteka dan tekaan kami tepat bermula pada pertengahan filem lagi. Entah dimana silapnya tetapi cubaan pengarah untuk mengelirukan penonton seperti kami nampaknya gagal dari awal lagi. Adakah kerana kami selalu menonton filem bergenre sebegini? Adakah klu-klu yang diberi kepada penonton tentang pembunuh tidak begitu kukuh? Tetapi, jika jawapan kepada persoalan siapa sebenarnya pembunuh ini begitu mudah diteka maka kami merasakan jalan cerita yang disusun dan cuba diseliratkan gagal berfungsi dengan baik. Checkmate!


Namun, kami cukup suka dengan sinematografi filem Death On The Nile ini yang sangat menawan walaupun di dalam adegan-adegan yang berkemungkinan besar menggunakan CGI atau studio. Ianya sangat membantu menaikkan suasana filem ini kepada satu tahap yang cukup baik dan meyakinkan. Lakonan para pelakon yang membintangi filem ini juga tidak perlu dipersoalkan lagi kerana kesemuanya nampak hidup dan asli.


Kesimpulannya, filem Death On The Nile ini masih menghiburkan untuk anda tonton di pawagam. Cuma jika anda peminat filem-filem berkonsepkan jenayah dan misteri sebegini pastinya anda akan sependapat dengan kami bahawa terdapat permasalahan besar dari sudut klu-klu jenayah yang diberikan di dalam filem ini sehingga pelaku sebenarnya begitu mudah diteka dan segala-galanya terbongkar lebih awal daripada sepatutnya. Plot twist yang cuba dilakukan pada saat akhir juga dilihat gagal membantu filem ini untuk kelihatan mengagumkan seperti yang diharapkan. 


Jadi, selamat menonton filem Death On The Nile yang telah ditayangkan pada 10 Februari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan