Review Filem Texas Chainsaw Massacre

 

Filem Netflix:
Texas Chainsaw Massacre 

Penilaian:
1/10

Pengarah:
David Blue Garcia

Genre:
Jenayah, Seram & Thriller

Pelakon:
Sarah Yarkin, Elsie Fisher, Mark Burnham, Jacob Latimore, Moe Dunford & Etc.  

Tarikh Tayangan:
18 Februari 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah pasangan muda yang idealistik untuk menukar identiti pekan Harlow yang sepi kepada sebuah kawasan yang mempunyai pelbagai kemudahan dan daya tarikan yang menarik. Mereka berjaya menarik pelabur untuk membuka servis dan kedai masing-masing disana. Namun, hal ini telah mengundang Leatherface yang bersembunyi selama hampir 50 tahun untuk kembali mengganas dan cuba membunuh setiap daripada mereka yang berada di sana. Adakah mereka berjaya menyelamatkan diri daripada gergasi besi Leatherface. Saksikan filem ini di saluran Netflix anda bermula pada 18 Februari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem keluaran Netflix yang sememangnya dinanti oleh ramai pihak iaitu Texas Chainsaw Massacre yang mula ditayangkan pada 18 Februari 2022 yang lepas. Sayang sebenarnya apabila filem yang membawa identiti tersendiri sebagai salah sebuah filem klasik sebutan ramai yang cukup menyeramkan tetapi imej tersebut dimusnahkan dengan rakusnya oleh filem terbaru ini. Bagaikan satu hentaman bom atom yang memusnahkan seluruh kemasyhuran singgahsana sehingga membuatkan kami secara peribadi berasa sangat geram dan kecewa dengan filem terbaru ini yang dihasilkan seperti semborono sahaja. Gagal sama sekali!


Plot penceritaan yang sangat malas. Segala-galanya seperti pengulangan pada siri-siri sebelumnya atau yang ada kaitan dengan filem-filem bergenre sebegini. Golongan muda yang datang ke pekan koboi terbiar untuk kembali membangunkan pekan tersebut. Ada seorang wanita tua yang tiba-tiba masih tinggal di kawasan tersebut dan rumah tersebut ibarat dijadikan sebagai sebuah tempat penjagaan kanak-kanak atau lebih tempat sebagai hospital mental versi rumah. Kemunculan polis-polis yang lemah dan mati dengan sia-sia. Sebelum disajikan dengan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh watak Leatherface yang langsung tidak dramatik. Lebih kepada adegan gore yang begitu sarat di dalam filem ini tetapi ianya tetap tidak memberi kesan yang hebat kepada tontonan kami. 


Sudah lah naratif filem ini tidak masuk akal, perkembangan wataknya juga tidak ada. Hampir 90 peratus watak yang ada di dalam filem ini wujud tanpa ada sebarang motif yang penting dan jelas. Segala-galanya terasa sangat kosong seperti mana kami melihat latar tempat Pekan Harlow itu sendiri yang cukup menyedihkan. Lakonan para pelakon juga tidak meyakinkan dan cukup lemah. Ada beberapa pelakon yang boleh dikategorikan sebagai spesis kayu jati dimana emosi dan gerak tubuh mereka terhadap adegan-adegan yang cemas dan menakutkan gagal disampaikan dengan baik. Entah kenapa filem ini serba tidak kena daripada segala bagai aspek!


Paling melucukan dimana filem ini cuba menggunakan formula yang sama seperti mana yang diguna pakai di dalam filem Halloween dengan mengembalikan pelakon asal ke dalam filem ini. Namun sayangnya ia seperti tangkap muat! Lebih mendukacitakan mereka turut menggunakan pakai formula filem Halloween Kills yang membuatkan kredibiliti watak Leatherface rosak sama sekali.  Adakah penggiat filem di sana semakin ketandusan idea atau terlalu berimaginasi sehingga merosakkan filem seram klasik yang mempunyai tarikan tersendiri sebelum ini? Secara keseluruhan, kami sangat kecewa dengan keseluruhan filem ini sehinggakan kami merasakan filem ini tidak patut dibuat kerana ianya merosakkan segala-galanya. Namun, citarasa dan pandangan anda mungkin berlainan dengan kami. Jadi, sila tonton dan buat lah penilaian anda sendiri.


Jadi, selamat menonton siri Texas Chainsaw Massacre di saluran Netflix anda sekarang. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap siri ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan