Review Filem Brahmastra Part One: Shiva

 

Filem:
Brahmastra Part One: Shiva

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Ayan Mukerji

Genre:
Aksi,  Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
Ranbir Kapoor, Alia Bhatt, Amitabh Bachchan, Mouni Roy, Akkineni Nagarjuna & Etc.  

Pengedar:
Antenna Entertainment

Tarikh Tayangan:
9 September 2022

Sinopsis:
Filem ini berlatarbelakangkan zaman kontemporari India, namun penuh dengan mitos. Tidak rela menjadi seorang adiwira, Shiva memulakan pengembaraan untuk meneroka dirinya sendiri dan mencari pasangan hidup. Dia kemudiannya berdepan dengan kuasa jahat yang memberi ancaman kepada manusia. Saksikan filem aksi fantasi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 September 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang cukup menarik berjudul Brahmastra Part One: Shiva pada 13 September 2022 di TGV Jaya Centre. Walaupun mendapat kritikan dan dikhabarkan tidak mendapat sambutan yang memuaskan di negara India namun kami pula berpandangan sebaliknya kerana filem ini sememangnya memberikan satu nafas segar dan cukup menghiburkan sehingga tidak terasa durasi filem ini yang melebihi 2 jam 30 minit.


Perkara pertama yang berjaya mencuri perhatian kami terhadap filem Brahmastra Part One: Shiva ini ialah kesan khas CGI serta grafik yang cukup cantik, kemas dan meyakinkan. Ianya kelihatan realistik untuk sebuah filem yang menampilkan kuasa-kuasa adiwira yang pelbagai dan tampak sesuai dari sudut visual. Kami menyukai hal ini kerana setiap aura kuasa setiap wataknya bermain dengan pilihan warna yang cukup tepat dan secara jujurnya faktor ini betul-betul membuatkan kami cukup teruja.


Perkara kedua ialah tentang plot penceritaannya yang juga disusun kemas dan bergerak dari satu kisah ke satu kisah dengan sangat baik. Ianya membantu kami untuk mudah memahami kisah-kisah mitos dewa-dewa yang ada di dalam filem Brahmastra Part One: Shiva ini tanpa perlu pening kepala memikirkan tentang perihal setiap watak. Walaupun masih ada beberapa kisah yang agak lompong tetapi kami yakin ianya akan diceritakan dengan lebih mendalam di dalam sekuel filem ini nanti.


Perkara ketiga yang menarik perhatian kami terhadap filem Brahmastra Part One: Shiva ini semestinya adalah pilihan para pelakonnya yang sangat tetap tidak kira watak protagonis mahu pun antagonis. Paling mencuri tumpuan ialah kemunculan cameo Shah Rukh Khan di dalam filem ini dan lebih menarik kerana kemunculannya bukan seminit dua tetapi lebih daripada 10 minit dimana filem ini seakan-akan memberi satu penghormatan besar buat lagenda Bollywood tersebut untuk merasmikan permulaan cerita terlebih dahulu sebelum menyerahkan kepada pelakon utama iaitu pasangan suami isteri Ranbir Kapoor dan Alia Bhatt. Memang betul-betul memuaskan hati kami!


Filem Brahmastra Part One: Shiva ini juga berjaya tampil dengan sinematografi yang cukup menawan serta lagu-lagu latar filem yang cukup mengasyikkan. Ini adalah satu pencapaian hebat buat filem Bollywood pada pandangan kami kerana filem yang kelihatan bertema berat dengan membawa penceritaan tentang kisah mitos berjaya dipaparkan dengan penceritaan yang cukup santai dan menghiburkan. Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan filem ini dan boleh dikatakan kami mampu untuk menonton untuk kali kedua tanpa rasa jemu. Memang terbaik!


Jadi, selamat menonton filem Brahmastra Part One: Shiva yang ditayangkan bermula pada 9 September 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan