Review Filem Mencuri Raden Saleh

 

Filem:
Mencuri Raden Saleh

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Angga Dwimas Sasongko

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Iqbaal Ramadhan, Angga Yunanda, Rachel Amanda, Umay Shahab, Aghniny Haque, Ari Irham & Etc.  

Pengedar:
Astro Shaw

Tarikh Tayangan:
22 September 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza (The Painter, The Mastermind, The Brute, The Negotiator, The Handyman, The Driver) bergabung dan merancang untuk merompak sebuah lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa. Namun, misi mereka dikhianati dan mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad untuk membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan nama baik mereka. Saksikan filem Indonesia yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 September 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Astro Shaw untuk menonton sebuah filem Indonesia yang mendapat sambutan dan pujian yang cukup menggalakkan iaitu Mencuri Raden Saleh pada 14 September 2022 di GSC Mid Valley.


Perkara pertama yang membuatkan kami kagum dengan filem Mencuri Raden Saleh ini bukan kerana ia merupakan sebuah filem heist yang berjaya dihasilkan dengan cukup baik oleh produksi daripada Indonesia. Tetapi, kami cukup kagum dengan keberanian mereka mengetengahkan permasalahan politik yang merangkumi korupsi dan salah guna kuasa bekas pemimpin di sana untuk dimasukkan di dalam isi penceritaan yang menjadikan filem ini sebagai sebuah medium untuk suara marhaen meneriakkan apa yang terbuku dihati mereka selama ini. Disulami pula dengan permasalahan remaja-remaja masa kini disana menjadikan filem ini sebagai sebuah karya yang bukan kosong tetapi penuh dengan kritikan sosialis serta satira yang cukup menawan hati kami.


Antara salah satu perkara yang menarik tentang filem Mencuri Raden Saleh ini ialah tentang permainan plot yang sentiasa berjaya mengelirukan tekaan penonton. Menariknya kerana plot twist yang dipaparkan sememangnya tidak pernah habis dari permulaan filem sehingga kepada pengakhirannya sehingga membuatkan filem yang mempunyai durasi masa yang agak lama untuk sebuah filem Asean ini tidak terasa panjang atau membosankan. Mengagumkan apabila pengkarya Indonesia mampu menghasilkan sebuah filem yang boleh diberikan pujian kerana menyajikan plot yang cukup bijak dan menyegarkan.


Lebih mengagumkan kami apabila filem ini mampu menampilkan dua pelakon lelaki sebagai pelakon utama yang bersifat alpha atau dominan di dalam satu penceritaan dan masing-masing mampu menyerlah dengan baik sejak awal filem bermula lagi. Ini adalah satu keajaiban kerana formula ini menjadi dan ia memberi aura positif yang cukup buat filem ini untuk sentiasa menarik perhatian kami untuk kekal fokus dengan penceritaan. Ditambah dengan pemilihan pelakon yang sangat kena dengan watak dan karakter masing-masing membuatkan filem ini seakan-akan hampir sempurna dan sukar untuk melihat cacat cela dimana-mana. Koreografer aksi yang cukup mantap sehingga membuatkan kami terpukau saat menyaksikan adegan pertarungan yang betul-betul cantik!


Filem Mencuri Raden Saleh juga berjaya memanfaatkan penggunaan CGI, VFX mahu pun efek di dalam filem ini dengan cukup kemas. Ada beberapa babak yang sememangnya berjaya menipu kami dimana kami menyangka ia merupakan adegan yang menggunakan drone. Serius kami betul-betul terpukau dengan filem dari negara seberang ini. Secara keseluruhan, tidak malu untuk kami nyatakan kami bangga dengan karya dari Indonesia ini dan kemungkinan besar ini merupakan antara filem Indonesia terbaik untuk tahun 2022.


Jadi, selamat menonton filem Mencuri Raden Saleh yang ditayangkan bermula pada 22 September 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul See How They Run! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan