Review Filem Nope

 

Filem:
Nope

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Jordan Peele

Genre:
Seram

Pelakon:
Daniel Kaluuya, Keke Palmer, Steven Yeun, Barbie Ferreira & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
15 September 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang dua adik beradik iaitu OJ Haywood dan Emerald Haywood yang tinggal di luar Los Angeles, di Lembah Santa Clarita yang gersang dan bergelora di California Selatan. Mereka telah mewarisi ladang kuda daripada bapa legenda industri mereka, Otis Haywood Sr dan terpaksa berhadapan dengan perniagaan yang sukar serta cabaran kewangan. Bersebelahan dengan ladang Haywood terletak Jupiter's Claim yang merupakan taman tema keseronokan keluarga dan zoo haiwan peliharaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh Ricky "Jupe" Park, bekas bintang kanak-kanak yang dibebani dengan latar sejarah lampau yang tragis. Misteri mulai melanda kawasan tersebut apabila tempat itu didatangi oleh sebuah objek asing yang mulai mengganas perlahan-lahan dengan menangkap objek hidup yang tinggal di situ. Mampukah adik beradik Haywood menyelamatkan diri daripada menjadi korban seterusnya? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 September 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada UIP International Pictures dan TGV Pictures untuk menonton sebuah filem seram karya pengarah hebat Jordan Peele iaitu Nope pada 13 September 2022 di TGV One Utama.


Seperti biasa kalau naskah filem itu datangnya daripada pengarah Jordan Peele, maka anda akan dapat melihat dua perkara berbeza yang ditawarkan di dalam filem Nope ini bergantung kepada kaedah mana yang anda ingin tonton. Jika anda menonton secara sehala maka anda dapat melihat bagaimana beberapa orang manusia berganding bahu berhadapan dengan serangan makhluk asing yang menyerang kawasan tempat tinggal mereka melalui satu kaedah yang unik dan menarik. Tetapi, jika anda melihat secara metafora pula, banyak perkara yang anda akan temui wujud di dalam filem ini.


Seronok untuk melihat di sebalik metafora filem Nope ini yang pada kami cukup kreatif melalui cara penyampaiannya yang tersendiri. Filem ini menampilkan tentang sikap manusia pada hari ini yang terlalu mementingkan sesuatu perkara yang mempunyai nilai komersial dan cuba memanipulasikan perkara tersebut kepada orang lain untuk menjana keuntungan peribadi. Hal ini dapat dilihat melalui trauma setiap watak yang dipaparkan dimana bagaimana kisah moyang watak OJ Haywood dan Emerald Haywood yang dieksploitasi walaupun sesudah moyangnya tiada. Begitu juga dengan trauma seorang kanak-kanak lelaki yang terselamat daripada serangan cimpanzi ganas yang membunuh ramai orang tetapi mengeksploitasi perkara tersebut di dalam persembahannya di taman tema. Begitu juga dengan pengarah yang sanggup turun padang untuk merakam sendiri kejadian aneh tersebut hanya kerana ingin menjadi yang terawal dan menjual perkara viral tersebut demi kepuasan netizen yang dahagakan kisah-kisah sebegini. Hal ini dibuktikan lagi dengan beberapa adegan yang kerap memaparkan tentang kamera digital, kamera lama dan juga cctv yang menjadi subteks kepada perkara metafora yang kami lihat ada di dalam filem ini.


Tetapi, tidak dinafikan filem Nope juga cemerlang dari sudut sinematografi, lagu latar serta props yang digunakan untuk menyokong tema filem yang bergenre seram ini dengan cukup baik. Walaupun ada beberapa kisahnya yang diketengahkan tetapi seperti tidak memberi sebarang makna kepada keseluruhan filem namun memaparkan makhluk asing seakan-akan UFO tetapi sebenarnya dalam fizikal yang boleh berubah-ubah berjaya memberikan satu suasana baru kepada filem-filem yang bercorak kedatangan makhluk asing ke bumi. Secara keseluruhan, filem Nope ini bukan sebuah filem yang berat seperti karya-karya Jordan Peele sebelum ini dan kami yakin ianya boleh dihadam oleh anda yang menonton filem ini nanti.

Jadi, selamat menonton filem seram Nope yang ditayangkan bermula pada 15 September 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Berjudul Brahmastra Part One: Shiva! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan