Review Filem Just Remembering (JFF)

 

Filem:
Just Remembering

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Daigo Matsui

Genre:
Romantik

Pelakon:
Sosuke Ikematsu, Sairi Itoh, Reika Oozeki, Masatoshi Nagase & Etc.  

Pengedar:
Film Festival Organiser

Tarikh Tayangan:
10 September 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah kisah cinta yang berlaku antara seorang pekerja teknikal lampu pentas dan seorang pemandu teksi wanita yang unik. Filem ini membawa penonton meninjau semula hubungan mereka secara terbalik dan mengimbau detik-detik paling intim antara mereka berdua. Kisah ini mendedahkan hari-hari awal hubungan cinta Teruo dan Yo dan bagaimana mereka mula-mula bertemu. Sekadar mengenangkan hari-hari manis dua orang yang kekok dan suci, hari-hari yang kini pergi buat selama-lamanya. Saksikan filem menarik ini di pawagam GSC terpilih sempena Festival Filem Jepun 2022 (JFF) bermula pada 8 September 2022 sehingga 14 September 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Just Remembering sewaktu Sidang Media Festival Filem Jepun 2022 (JFF) yang berlangsung di GSC Mid Valley pada 30 Ogos 2022 yang lepas. Filem ini merupakan salah satu daripada 12 judul filem yang akan ditayangkan di pawagam GSC terpilih bersempena dengan penganjuran JFF2022 yang telah masuk kali kedua.


Menariknya tentang filem Just Remembering ini ialah ia memaparkan hubungan yang berlaku antara Teruo dan Yo melalui kaedah imbas kembali yang rata-ratanya berlaku pada tarikh 26 Julai yang merupakan tarikh lahir kami sendiri. Jadi, selain daripada mudah diingati, kaedah imbas kembali ala-ala filem Memento arahan Christopher Nolan ini bukan sahaja membawa penonton untuk melihat dan membongkarkan bagaimana kisah percintaan mereka bermula dan apakah konflik yang berlaku terhadap hubungan mereka semata tetapi turut sama membawa penonton untuk melihat kisah yang berlaku terhadap seorang lelaki pertengahan umur yang sentiasa menunggu kemunculan isterinya di bawah sebatang pokok sewaktu Teruo melaluinya untuk ke tempat kerja.


Filem Just Remembering ini menampilkan plot penceritaan yang sederhana. Dengan gaya penyampaian yang agak perlahan serta isi ceritanya yang sedikit tumpul memerlukan penonton untuk memberi sepenuh tumpuan di dalam memahami isi filem ini dan jurang masa yang berlaku terhadap hidup setiap watak ini. Namun kaedah penceritaan secara imbas ke belakang ini dilihat berjaya disampaikan dengan agak baik untuk membuatkan penonton tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku kepada setiap watak dan berasa teruja apabila mengetahui sebabnya dimana ianya akan sentiasa berlaku pada setiap kali latar masa bertukar dan memaparkan tindakan rutin harian setiap watak ini yang berubah-ubah. Itu antara elemen yang menarik buat kami.


Karya-karya dari Jepun sememangnya bijak di dalam menggabungkan kritikan sosial dan sisi humor di dalam penceritaan filem Just Remembering ini yang boleh dikatakan agak perlahan untuk membuatkan penonton seperti kami sesekali terasa segar apabila dapat melihat budaya serta bagaimana budaya masyarakat Jepun pada masa kini melalui pandangan seorang pemandu teksi wanita yang berhadapan dengan pelbagai kerenah pelanggannya yang berbeza usia sewaktu pandemik Covid-19 berlaku disana. Disamping dapat melihat cabaran seorang wanita memilih kerja pemandu teksi sebagai kerjaya dan pandangan berbeza daripada setiap individu yang menaiki teksinya membuatkan filem ini mempunyai sesuatu yang lain daripada filem-filem biasa. Keunikan ini yang berjaya membuatkan filem ini mempunyai satu kisah hebat yang sebenarnya terjadi di kalangan rakyat marhaen mana-mana negara termasuk negara kita Malaysia.


Jadi, selamat menonton filem Just Remembering yang ditayangkan sempena Festival Filem Jepun 2022 (JFF) bermula pada 8 September 2022 sehingga 14 September 2022 di pawagam GSC yang terpilih sekitar Lembah Klang. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Jepun Berjudul In The Wake! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 


Catat Ulasan

0 Ulasan