Review Filem Abang Long Fadil 3

 

Filem:
Abang Long Fadil 3

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Syafiq Yusof

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Zizan Razak, Johan Raja Lawak, Elizabeth Tan, Ozlyn, Dato AC Mizal, Maya Karin,
Shuib, Kazar, Jay Iswazir, Tania Hudson, Daniella Sha,Khir Rahman, Siraj,
Joey, Wak Doyok & Hairul Azreen.  

Pengedar:
Skop Production

Tarikh Tayangan:
8 September 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Fadil kembali dengan misi terbaru yang lebih berprofil tinggi. Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han, namun dalam pada yang sama Fadil diburu oleh King Cobra atas dendam dahulu. Saksikan filem aksi komedi yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 September 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Tiktok Malaysia dan Astro Shaw untuk menonton sebuah filem tempatan bergenre aksi komedi yang cukup menghiburkan iaitu Abang Long Fadil 3 pada 7 September 2022 sempena Mega Fans Screening Abang Long Fadil 3 di GSC IOL Mall Putrajaya.


Keistimewaan filem Abang Long Fadil 3 kali ini ialah gabungan mantap dua pelakon yang cukup dikenali sebagai pelawak hebat dan terkenal yang menjadi fenomena iaitu JOZAN yang terdiri daripada Johan dan Zizan. Keserasian yang sememangnya telah terbina sejak sekian lama sekali lagi dapat dilihat pada mereka berdua dan ianya dapat dirasai dengan mudah oleh kami. Kedua-dua mereka saling bantu membantu di dalam menguatkan watak yang dipegang dan ini sekali gus memberi markah bonus buat filem ini untuk diterima dengan mudah oleh penonton terutamanya dari kalangan peminat dua pelakon utama filem ini.


Filem Abang Long Fadil 3 ini juga menyaksikan Johan bukan sekadar 'Pak Lawak' tetapi sememangnya mampu berlawak dengan cukup selamba. Kekuatan dialog beliau yang dilihat sangat spontan semestinya memberi satu titik tambah buat dirinya untuk dilihat menyerlah di dalam filem ini. Tetapi, reaksi wajah serta aksi-aksi berlawan yang dilihat pada pemeran watak Chow Han ini juga mempunyai kualiti sebagai seorang pelakon yang sememangnya betul-betul berdedikasi untuk memastikan kemunculan dirinya di dalam setiap babak memberi impak dan diingati oleh penonton. Kami secara jujur sangat terhibur setiap kali melihat watak Chow Han muncul di layar panggung semalam. Tahniah buat Johan yang sememangnya memberikan 120 peratus komitmen terhadap watak yang dipegang olehnya.


Filem Abang Long Fadil 3 juga turut tidak terlepas daripada menawarkan teknik-teknik imej janaan komputer atau CGI yang boleh kami katakan mempunyai kualiti yang bagus dan memberi sokongan terhadap filem ini untuk dilihat sebagai sebuah filem aksi yang menghiburkan. Usaha untuk membina set lakonan demi memastikan markas unit rahsia yang wujud di dalam filem ini nampak realistik adalah satu perkara yang cukup menarik untuk dilihat. Sememangnya ia adalah satu tindakan yang berbaloi walaupun memerlukan pelaburan tinggi untuk perkara ini. Kesungguhan Syafiq ini sememangnya patut diberi pujian dan menjadi contoh juga buat pembikin filem tempatan yang lain.


Kami juga turut tertarik dengan koreografer aksi yang dipersembahkan di dalam filem Abang Long Fadil 3 ini. Melihat para pelakon wanitanya terlibat di dalam babak aksi membuatkan kami sangat teruja. Disini juga kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak produksi kerana berjaya memaparkan adegan pertarungan wanita yang betul-betul menarik, bertenaga dan mantap. Susuk tubuh yang tegap serta kepantasan berlawan berjaya membuktikan para pelakon wanita yang terlibat betul-betul mempunyai stamina yang bagus dan memberi komitmen yang cukup tinggi untuk menjayakan babak-babak aksi ini. Tahniah buat Elizabeth Tan, Ozlyn, Daniella Sha dan Maya Karin kerana membuktikan perkara tersebut boleh dilakukan oleh pelakon wanita Malaysia. Selain itu, kami juga tertarik dengan kritikan sosial mahu pun kritis yang wujud di dalam filem ini melalui frasa dialog yang lucu dan bersahaja dimana ia membuatkan filem ini bukan sekadar memberi lawak-lawak kosong semata tetapi ia juga mempunyai sesuatu untuk dilihat dan dihayati oleh penonton. Secara keseluruhannya, filem bang Long Fadil 3 ini berbaloi untuk ditonton di pawagam terutama buat mereka yang inginkan hiburan yang berpanjangan dan menggembirakan jiwa.

Jadi, selamat menonton filem Abang Long Fadil 3 yang ditayangkan bermula pada 8 September 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Pecah Panggung Korea Selatan Berjudul Confidential Assignment 2: International! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. karakter johan sbg chow han agak kurang relevan bagi pendapat saya..watak ni zaman johan dkt pagi era leh la kot

    BalasPadam
  2. Pengulangan lawak hambar
    Recycle lawak2 lame yg da x klaka mcm xde idea baru
    Babak akhir da bocor awal2 psl katil tu
    Takde surprise org da bole agak pengakhiran die
    Kebnyakan scene recycle dari filem barat
    Takde pecambahan idea dlm filem ni
    Too slow, boring, cliche, bnyk lawak hambar je. Cite baru start da hambar.

    BalasPadam