Review Filem Ada Hantu 2

 

Filem:
Ada Hantu 2

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Hairul Azreen

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Zahiril Adzim, Shiqin Kamal, Hairul Azreen, Nafiez Zaidi, Elvina Chua,
Sophia Albarakbah, Fify Azmi, Henley Hii, Theebaan G & Rubini Sambanthan.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
15 September 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan lima sekawan Aliff, Bariah, Talha, Jimmy dan Sasha yang kembali ke banglo lama milik arwah nenek Bariah untuk misi mencari hantu Jepun dan hantu Kimono yang muncul dalam mimpi Bariah. Namun lima sekawan itu menghadapi beberapa insiden huru-hara di banglo itu terutama apabila mereka menemui satu lagi pintu misteri yang berada di dalam bilik pembantu rumah. Apa yang berlaku seterusnya akan membuatkan anda terkedu. Saksikan filem komedi seram yang menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 September 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem tempatan bergenre komedi seram yang cukup menghiburkan iaitu Ada Hantu 2 pada 6 September 2022 di GSC Starling Mall. Untuk makluman semua, filem terdahulu iaitu Ada Hantu tidak ditayangkan di pawagam tetapi ditayangkan di saluran Disney+ Hotstar. Disebabkan sambutan yang cukup dasyat daripada peminat filem Melayu maka kali ini pihak produksi filem ini berani untuk mempertaruhkan nasib mereka dengan menayangkan sekuel filem ini di pawagam-pawagam seluruh Malaysia. 


Filem Ada Hantu 2 kali ini menawarkan satu lagi kelainan buat karya tempatan apabila mempertaruhkan sebuah kronologi jalan cerita yang kreatif dan berjaya mengelirukan penonton. Namun dari sudut keaslian gaya yang cuba dibawakan ini, kami melihat karya ini seakan-akan mengambil inspirasi atau secara kebetulan menyerupai sebuah filem Jepun yang agak terkenal iaitu One Cut of the Dead. Namun, kisah penceritaan yang berbeza membuatkan filem Ada Hantu 2 mampu menyerlah dengan cukup baik pada pandangan peribadi kami.


Filem Ada Hantu 2 juga turut diperkuatkan dengan lakonan barisan pelakonnya yang betul-betul berwibawa di dalam membawakan watak masing-masing. Paling mencuri tumpuan semestinya watak utama iaitu Aliff yang dibawakan dengan cukup berkesan oleh pelakon Zahiril Adzim. Mengenali Zahiril atau Bob sebagai seorang pelakon yang sebelum ini cukup menyerlah di dalam membawakan watak-watak yang berat, rotasi yang dilakukannya sebanyak 180 darjah kali ini dengan membawakan satu watak yang karakternya gila-gila, poyo dan mempunyai sisi humoris ternyata cukup berjaya. Secara tidak langsung, watak Aliff ini berjaya mengemudi keseluruhan jalan cerita dan menambah faktor menarik buat filem ini untuk menarik perhatian penonton. Kami juga cukup tertarik dengan persembahan lakonan bersahaja daripada pelakon Rubini Sambanthan yang memegang watak Hana dimana ia kelihatan cukup neutral dan betul-betul meyakinkan kami sebagai penonton. Tahniah buat para pelakon yang berjaya memberikan mutu lakonan yang cukup mantap.


Elemen komedi dan seram yang padat di dalam filem Ada Hantu 2 kali ini juga dilihat memberi satu kelebihan untuk membuatkan penonton seperti kami setia menonton filem ini sehingga akhir. Disebabkan kepelbagaian watak yang mempunyai karakter yang berbeza antara satu sama lain dan dapat disampaikan dengan baik telah berjaya mewujudkan keseimbangan antara kedua-dua elemen utama filem ini. Kiasan-kiasan yang digunakan di dalam dialog para pelakonnya yang merujuk kepada perkara-perkara tertentu juga pada kami berjaya disampaikan dengan cara yang bijak dan santai. Selain itu, walaupun filem ini banyak bermain diengan lokasi yang sama dalam jangka waktu yang agak lama namun ianya berjaya ditutupi dengan berkesan disebabkan oleh kejayaan mengaplikasikan elemen-elemen ini di dalam keseluruhan penceritaannya dengan sempurna.


Namun, tidak dinafikan filem Ada Hantu 2 ini juga tidak dapat lari daripada beberapa kelemahan kecil yang dilihat memberi tempias kepada filem ini. Walaupun menampilkan watak-watak daripada pelbagai kaum namun sensitiviti masyarakat seperti gaya pemakaian pelakon wanitanya yang agak menjolok mata serta bagaimana adegan minuman keras divisualkan di dalam filem ini juga dilihat sedikit keterlaluan. Paparan adegan minuman keras ini walaupun dilihat secara bersahaja dan mempunyai unsur komedi namun ia kelihatan seperti terlalu 'baik' untuk dilihat sebagai satu perkara yang haram dan berdosa besar mengikut kepercayaan agama. Jadi, kami menyarankan agar perkara sebegini lebih diberi penekanan untuk penerbitan filem-filem yang akan datang. Namun, secara keseluruhan filem Ada Hantu 2 merupakan sebuah filem popcorn yang betul-betul menghiburkan dan berbaloi untuk anda tonton di pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Ada Hantu yang ditayangkan bermula pada 15 September 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Cukup Menarik Iaitu Abang Long Fadil 3! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan