Review Filem Ma, I Love You!

 

Filem:
Ma, I Love You!

Penilaian:
7/10


Pengarah:
Chiu Keng Guan

Genre:
Drama & Kekeluargaan

Pelakon:
Siow Li Xuan, Ong Ai Leng, Phei Yong, Loh Lai Kan,
Felina Cheah, Ashlyn Yip Wen Jia, Crystal Woon Xin Yu & Etc.  

Pengedar:
Astro Shaw & GSC Movies

Tarikh Tayangan:
22 Januari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang ibu tunggal bernama Bee Ling yang tinggal berdua bersama anak perempuannya iaitu Qi Qi. Bagi Bee Ling, kehidupannya sangat bahagia. Qi Qi adalah segala-gala buatnya sehinggalah Bee Ling mengetahui rancangan rahsia Qi Qi untuk menyambung pengajian di Perancis. Bee Ling terasa dikhianati oleh anaknya sendiri dan nekad untuk menghalang hasrat Qi Qi. Apakah yang akan dilakukan oleh Bee Ling? Berjayakah Qi Qi meneruskan impiannya untuk belajar di Perancis? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 Januari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh Astro Shaw untuk menonton sebuah filem mandarin tempatan yang menarik iaitu Ma, I Love You! pada 16 Januari 2023 yang lepas di GSC Starling Mall. Untuk pengetahuan semua, filem ini diarahkan oleh Chiu Keng Guan yang dikenali sebagai 'The King of Malaysian Movies' selepas mengarahkan dua filem box office yang diminati rakyat Malaysia iaitu The Journey dan Ola Bola. Kali ini beliau tampil mengarahkan filem yang menampilkan masyarakat majmuk yang mentuturkan pelbagai bahasa di dalam filem kali ini.


Filem Ma, I Love You! ini mengingatkan kami kepada sebuah filem Melayu arahan pengarah Afdlin Shauki iaitu Papadom. Premis filem ini lebih kurang sama dimana memberi fokus kepada ibu bapa yang terlalu sayang terhadap anak mereka sehingga bersifat terlebih melindungi. Tetapi, filem kali ini menawarkan pengalaman berbeza apabila ianya dilihat daripada pandangan seorang ibu tunggal yang semestinya menjadi lebih rumit berbanding bapa tunggal. Naskah kali ini pada kami cukup berjaya dari sudut komedinya yang berjaya mencuit hati kami sepanjang filem ini berlangsung. Elemen humor bersahaja dan nampak semulajadi berjaya memaparkan hubungan ibu anak yang tampak sangat ikhlas dan boleh dipercayai. Ini adalah kekuatan utama filem ini yang sememangnya bakal membuat penonton terpaku setia menyaksikan filem ini tanpa berganjak daripada tempat duduk masing-masing.


Ironinya, filem Ma, I Love You! ini dilihat kurang berkesan di dalam menjentik emosi kami untuk sama-sama merasai babak-babak sedih mahu pun beremosi di dalam filem ini secara seratus peratus. Tidak dinafikan terdapat ramai penonton yang menangis menonton filem ini pada tayangan tempoh hari namun tidak pada kami yang merasakan filem ini masih kurang dari sudut tersebut. Tetapi, mesej-mesej yang cuba diangkat terutama tentang kasih sayang antara ibu dan anak ini sememangnya berjaya disampaikan dengan baik. Bersesuaian dengan tayangannya pada Tahun Baharu Cina 2023 ini, kami meramalkan filem ini bakal diterima baik oleh semua lapisan masyarakat yang datang menonton. Tahniah kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan filem bertemakan kekeluargaan ini.


Jadi, selamat menonton filem kekeluargaan sempena Tahun Baharu Cina iaitu Ma, I Love You! yang ditayangkan bermula pada 22 Januari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Animasi Berjudul Mummies! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 


Catat Ulasan

0 Ulasan