Review Filem Barbie

Filem:
Barbie

Penilaian:
6/10


Pengarah:
Greta Gerwig

Genre:
Komedi & Romantik 

Pelakon:
 Margot Robbie, Ryan Gosling, America Ferrera, Simu Liu, Kate McKinnon & Etc.

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
20 Julai 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Barbie yang hidup di Barbieland bersama rakan-rakannya dengan cukup bahagia. Namun, pada suatu hari Barbie menghadapi pelbagai kejadian yang malang sehingga perlu mengembara ke dunia nyata untuk kembali menjadi sempurna. Namun, pemergian Barbie ke dunia manusia pula telah mengubah kehidupan Barbieland menjadi porak peranda. Apakah yang akan dilakukan Barbie untuk mengubah Barbieland kembali kepada asal? Saksikan filem komedi romantik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Julai 2023 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem pertama live action Barbie yang bergenre komedi romantik pada 18 Julai 2023 yang lepas di TGV Sunway Pyramid. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Warner Bros. Pictures atas jemputan tersebut. 


Filem Barbie menawarkan satu pengalaman menonton yang unik dan dekat buat penonton terutamanya untuk para wanita yang membesar dan mengenali secara rapat permainan anak patung atau pun siri animasi Barbie. Diangkat daripada siri mahu pun filem animasi kepada sebuah visual yang hidup dan dilakonkan oleh manusia, ianya boleh diibaratkan seperti imaganisi tinggi yang menjelma menjadi realiti. Semestinya faktor ini merupakan satu cara pantas untuk membuatkan golongan penonton yang menjadi sasaran utama mudah jatuh cinta dengan apa yang filem ini cuba sampaikan kepada mereka. 


Kami tidak menafikan filem Barbie mempunyai keindahannya yang tersendiri terutama apabila melihat dunia yang dicipta di Barbieland yang bukan sahaja ceria tetapi diwarnai dengan majoriti warna merah jambu yang mewakili warna kesukaan hampir kebanyakan wanita di seluruh dunia. Usaha gigih menjayakan latar tempat berimej rumah mainan Barbie serta hasil pembuatan props yang cukup kreatif sudah cukup untuk membuatkan kami melihat Barbie sememangnya dihasilkan dengan cukup teliti. Siapa pun yang menonton pasti akan terperangkap dengan mudah di dalam dunianya yang penuh dengan pesona warna yang ceria dan mendamaikan. 


Kisah yang ditawarkan di dalam filem Barbie ini pula mudah dihadam. Namun, ceritanya bukan ditulis secara semberono tetapi mempunyai niat atau tujuannya yang tersendiri untuk disampaikan kepada penonton. Mempunyai elemen humor yang kuat dalam pelbagai jenis bentuk sama ada secara neutral, satira mahu pun slapstik, lakonan para bintangnya juga tidak boleh dinafikan memberi nilai tambah kepada filem ini untuk disukai ramai. 


Namun, kami kurang menggemari bahagian permasalahan klimaks filem Barbie ini yang terlalu feminis. Tidak salah untuk bercerita tentang patriaki, hak wanita mahu pun kuasa lelaki namun apabila ianya disampaikan melalui cara pergaduhan gender yang tidak matang membuatkan kami seolah-olah seperti membaca satu hantaran tular di aplikasi Twitter yang berkaitan peperangan komen antara perempuan dan lelaki yang cuba mengangkat kelebihan dan menonjolkan keburukan masing-masing. Ia sangat keanak-anakan! 


Namun, secara keseluruhannya filem Barbie ini masih menarik untuk anda tonton di pawagam kerana ia mempunyai keunikan yang tersendiri dimana ianya mungkin sukar untuk diperoleh pada filem-filem lain. Selain itu, pemahaman dan pengalaman menonton filem ini juga semestinya berbeza antara satu sama lain seperti mana juga anda melihat perbezaan dunia Barbieland dan dunia nyata. Jangan dilupa juga perbezaan para Barbie dan para Ken di dalam filem ini. Hahaha! 


Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Barbie bermula pada 20 Julai 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

Catat Ulasan

0 Ulasan