Filem:
KL Gangster


Pengarah:
Syamsul Yusof


Genre:
Aksi


Pelakon:
Aaron Aziz, Syamsul Yusof, Ridzuan Hashim, Adi Putra, Zizan Raja Lawak,
Sofi Jikan, Adam Corrie Lee, Sheera Iskandar, Ku Fridah & Etc.


Penilaian:
4 / 5


Sinopsis:


Filem ini mengisahkan dua orang adik beradik yang telah lama bergelumang di dalam dunia gangster iaitu Malek dan adiknya Jai. Malek telah dipenjara selama 5 tahun ekoran dikhianati oleh kumpulannya sendiri di mana Shark iaitu anak tiri kepada King yang merupakan seorang ketua kongsi gelap paling berpengaruh di Kuala Lumpur menjadi dalangnya. Sewaktu Malek di penjara beliau berikrar ingin mengubah cara hidupnya dan tidak mahu lagi menjalani kehidupan sebagai ahli kongsi gelap namun selepas bebas beliau sentiasa diganggu oleh kumpulan Shark akibat dendam mereka terhadap Malek manakala Shark yang mahu menguasai kawasan Kuala Lumpur terasa tergugat dengan pembebasan Malek. Namun King membantu Malek dan ini tidak disenangi oleh Shark yang sentiasa menimbulkan kekecohan. Hubungan King dan Shark semakin dingin dan Shark menyalahkan Malek atas segala yang terjadi. Lalu konflik mula timbul apabila Shark menyuruh Jai iaitu adik kandung Malek agar membunuh abangnya sendiri. Manakah yang lebih penting antara keluarga, wang dan kuasa? Apakah yang akan terjadi? Saksikan KL Gangster di pawagam berhampiran anda.

Ulasan Hans:

Bagi aku filem KL Gangster ini berjaya menarik perhatian aku dari segi aksi pertarungannya yang bagi aku cukup menarik dan menghiburkan. Sejak awal hingga ke penamat filem ini tidak pernah lesu dari adegan bertarung yang membuatkan aku cukup teruja menontonnya walaupun aku akui ada sesetengah adegan begitu ganas dan menyakitkan. Namun masih ada juga kelemahannya terutama dari segi jalan cerita dan karakter watak - wataknya yang kadang - kadang digambarkan sedikit mengelirukan.

 Adi Putra Memang Sesuai Melakonkan Watak Antagonis

Seperti yang aku jangkakan, pelakon Sofi Jikan sekali lagi berjaya mengagumkan aku dengan wataknya sebagai Ajib yang dilakonkannya dengan penuh karisma. Aku akui masih ramai penonton yang belum mengenali Sofi Jikan tetapi insyaallah kemunculannya di dalam filem ini pasti akan membuka peluang yang lebih cerah terhadap beliau kerana sememangnya beliau seorang pelakon yang bagus. Lakonan Aaron Aziz dan Adi Putra juga tidak mengecewakan kerana masing - masing berjaya menjiwai watak mereka sehabis baik. Aku terlupa untuk menyebut nama Adam Corrie Lee dan disini aku juga sangat kagum dengan beliau kerana selain wajahnya beliau juga bijak memanfaatkan bahasa dan lenggok tubuhnya yang menjadikan beliau sebagai pelakon yang sentiasa berjaya membawa watak antagonis.

 Tahniah Sofian Jikan! Watak Anda Memang Terbaik!

Cuma aku meminta maaf kepada Syamsul Yusof kerana agak sukar bagi aku untuk melihat beliau berada di dalam karakter gangster. Kadang - kadang nampak ganas tetapi lebih kepada dibuat - buat. Namun lakonan beliau sudah ada peningkatan. Insyaallah mungkin selepas ini lakonan beliau akan lebih menarik. Pada pandangan aku mungkin kerana keseluruhan tutur kata yang dilontarkan oleh wataknya di dalam filem ini terlalu ganas menyebabkan wajah gangster itu tidak dapat dijelmakan dengan baik oleh beliau. Aku suka dengan watak Malek(lakonan Aaron Aziz) dan Jai(lakonan Adi Putra) dimana tutur kata mereka tidak kesemuanya kasar tetapi mereka bijak memainkan lenggok badan dan wajah untuk menampakkan keganasaan watak tersebut. Ini hanya pandangan peribadi aku jadi jangan marah yer Bro Syamsul.

 Tatu Bro Dah Ganas Tapi Bro Kurang Gangster Lah

Jangan sangka KL Gangster hanya sebuah filem aksi yang terlalu serius kerana kemunculan Zizan Raja Lawak sebagai Fadil atau Abang Long berjaya mengubah wajah filem ini dimana setiap kali kemunculannya pasti akan membuatkan penonton ketawa tanpa henti melihat keletah Zizan. Bagi aku memang sesuai lah Zizan dilabelkan sebagai pelakon komedi kerana kemunculannya begitu banyak membantu untuk menyerikan filem ini. Tahniah Zizan! Ketawa aku hingga keluar air mata gara - gara kelucuan watak kamu sebagai Abang Long Dil.

 Zizan Bakal Membuat Anda Pecah Perut Kerana Ketawa Tidak Henti - Henti

Aku sudah mengetahui filem - filem sebegini selalunya akan lebih menumpukan kepada aksi berbanding jalan cerita. Lihat sahaja trailer filem ini dan anda pasti tahu bahawa pengarah menjadikan aksi - aksi dan babak pertarungan sebagai subjek utama untuk menarik perhatian penonton untuk menonton. Jadi semestinya ada beberapa persoalan yang tidak terjawab apabila menonton filem ini cuma aku bersyukur kerana pada pandangan aku filem ini jauh lebih baik dari filem Kongsi yang jalan ceritanya sangat berterabur. Bagi aku plot filem ini agak baik cuma kurang diberi penekanan terutamanya tentang apakah yang telah dilakukan oleh Shark(lakonan Syamsul Yusof) kepada Malek(lakonan Aaron Aziz) sehingga Malek dipenjara selama 5 tahun? Aku faham Malek dikhianati tetapi bagaimana caranya dikhianati itu? Persoalan kedua ialah perkara apakah yang telah dilakukan oleh King(lakonan Ridzuan Hashim) iaitu bapa tiri Shark kepada ibunya sehingga Shark berdendam dengan King secara diam? Aku tidak kisah sangat persoalan kedua tetapi aku sangat ingin tahu jawapan untuk persoalan utama yang tidak aku temui sehingga tamat aku menonton filem ini.

 Salah Satu Adegan Menarik Di Dalam Filem ini

Aku juga suka dengan mesej - mesej yang bercirikan kekeluargaan di dalam filem ini seperti kasih sayang ibu terhadap anak - anak walaupun sebenarnya ia hanyalah mesej - mesej yang kita selalu lihat di dalam drama mahu pun filem - filem lain namun paling tidak ia membuatkan filem ini bukan sekadar filem aksi sahaja tetapi masih punya jiwa. Cuma aku kurang suka pada pengakhiran filem ini. Bukan kerana pengakhirannya tidak menarik tetapi aku kurang gemar pengakhiran seperti itu. Kepada sesiapa yang menonton filem ini pasti faham aku lebih suka pada pengakhiran yang tidak diakhiri dengan suara pelakon utamanya yang menceritakan apa yang terjadi selepas itu. Ia seolah - olah menunjukkan pengarah sudah malas mahu ambil kisah atau mengarah kerana durasi filem ini bagi aku tidak lah terlampau lama.

 Salah Satu Aksi Kejar Mengejar Di Dalam Filem ini

Apa - apapun, filem ini berjaya membuatkan aku agak berpuas hati dengan wang yang aku laburkan untuk menonton filem ini dan kepada yang belum menonton silalah menonton kerana insyaallah anda pasti terhibur dengan aksi pertarungan dan elemen - elemen komedi yang terdapat di dalam filem ini. Selamat menonton!

 Senarai Pelakon Dan Krew Yang Terlibat Di Dalam Filem KL Gangster

P/S : Janganlah Bawa Anak - Anak Kecil Atau Bayi Semasa Menonton Filem Ini Kerana Bagi Aku Kurang Elok Mereka Didedahkan Dengan Bahasa Filem Ini Dan Paling Utama Tidak Menganggu Fokus Penonton Lain Terhadap Filem Ini.