Review Filem The Three Musketeers



Filem:
The Three Musketeers


Pengarah:
Paul W.S Anderson


Genre:
Aksi, Pengembaraan, Romantik & Komedi


Pelakon:
Logan Lerman, Milla Jovovich, Ray Stevenson, Matthew Macfadyen, Luke Evans,
Orlando Bloom, Juno Temple, Christoph Waltz, Mads Mikkelsen, James Corden & Etc.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:

D’Artagnan iaitu seorang pemuda dimana ayahnya juga merupakan seorang Musketeers bercita - cita untuk menjadi seorang Musketeers yang terkenal di luar nanti. Jadi, sewaktu beliau mengembara dengan keluar daripada kampung halamannya maka secara tidak sengaja beliau telah terjumpa dengan tiga orang lagenda Musketeers yang terkenal iaitu Athos, Aramis, dan Porthos sewaktu cuba mengejar musuhnya yang ditemui dalam perjalanannya ke Paris iaitu Rochefort yang telah menghina kudanya.

Namun Athos, Aramis dan Porthos tidak lagi berjiwa Musketeers sejati kerana pengalaman lepas mereka sewaktu cubaan mencuri reka bentuk kapal udara dari bilik kebal yang tinggi tahap keselamatannya bersama Milady iaitu seorang gadis yang dicintai oleh Athos namun Milady telah menipu mereka dengan mengkhayalkan mereka bertiga menggunakan sejenis ubat dan menjual rekabentuk kapal udara tersebut kepada Buckingham yang menawarkan hadiah yang lebih lumayan. Peristiwa itu memberi kesan yang mendalam kepada tiga pahlawan pedang itu.

Cardinal Richelieu iaitu orang kepercayaan King Louis mempunyai rancangan untuk menjatuhkan King Louis. Dia mengupah Milady untuk melaksanakan tugas jahat itu dengan mencuri berlian yang dihadiahkan oleh raja kepada Queen Anne dan menyimpan berlian itu di istana Buckingham untuk membuktikan bahawa Queen Anne dan Buckingham mempunyai hubungan percintaan. Jika Raja terpedaya, peperangan antara Perancis dengan England akan meletus, Ratu akan mati dan orang-orang Perancis akan menuntut seorang pemimpin yang lebih kuat dan stabil dimana Cardinal mahukan jawatan tersebut. Jika Raja tidak terpedaya, keamanan akan berterusan.

Tetapi untuk mencapai keamanan tersebut maka D’Artagnan, Athos, Aramis dan Porthos perlu melaksanakan misi mereka yang paling berbahaya iaitu untuk mendapatkan kembali kalung berlian yang tidak ternilai harganya itu dari Tower of London dan mengembalikannya kembali kepada Queen Anne tepat pada masanya. Berjayakah mereka berempat mendapatkan kembali kalung berlian tersebut? Saksikan sendiri di pawagam berhampiran anda.

Ulasan Hans:

Filem ini merupakan filem yang diadaptasikan daripada sebuah novel dari Perancis yang bertajuk The Three Musketeers dan dihasilkan di dalam teknologi 3D. Namun, aku cuma berkesempatan menontonnya di dalam format biasa iaitu 2D sahaja. Sebetulnya aku tidak mengetahui tentang kisah lagenda The Three Musketeers ini jadi filem The Three Musketeers ini aku tonton sebagai sumber pertama untuk mengetahui tentang kisah dan perjalanannya.

 The Three Musketeers Atau The Four Masketeers?

Jika berdasarkan bacaan aku tentang pandangan penonton yang menonton serta membaca novel ini, mereka mungkin kelihatan agak kecewa kerana percampuran banyak elemen moden ke dalam sebuah kisah lagenda seperti aksi mengelak peluru - peluru yang kelihatannya seakan - akan sama seperti gaya di dalam filem The Matrix, kapal udara yang seakan - akan mengingatkan kita pada kapal perang di dalam filem The Pirate Of The Caribbean dan juga babak menyelam yang seakan - akan gaya ninja di dalam filem Jepun. Namun aku tidak ambil kisah sangat pun tentang hal tersebut walaupun sedikit sebanyak ia menghilangkan suasana dahulu kala dan menontonnya membuatkan aku rasa seronok kerana kostum, latar tempat dan kesan khas di dalam filem ini sangat cantik, menarik dan berwarna - warni.

 Milla Jovovich Sebagai Milady

Dari segi lakonan harus aku akui bahawa setiap pelakon di dalam filem ialah pelakon - pelakon terbaik dan berjaya menonjolkan lakonan yang cukup menghiburkan. Milla Jovovich yang memegang watak sebagai Milady bagi aku bukan sekadar satu simbol seks yang ketara di dalam filem ini sahaja namun peranannya sebagai seorang gadis yang bijak dan penuh tipu daya berjaya dijelmakan melalui pergerakan tubuh serta riak wajah yang cukup hebat. Penuh tipu muslihat walaupun di dalam kelembutan. Aku suka dengan watak ini walaupun ini adalah watak antagonis. Manakala Logan Lerman pula yang memegang watak sebagai D'Artagnan iaitu seorang pemuda yang berani, terlalu gopoh dan berhati kering di dalam filem ini berjaya menghidupkan watak tersebut dengan baik sekali. Tetapi, aku cukup suka dengan gaya Orlando Bloom membawakan wataknya iaitu sebagai Buckingham dengan penuh karisma dimana watak tersebut berjaya dimainkan dengan cukup egois, manja dan penuh kejahatan. Aku rasa ini pertama kali aku melihat sisi lakonan Orlando di dalam kelompok hitam jadi aku mengakui ia amat menarik dan cukup menghiburkan bagi aku.

 Orlando Bloom Hebat Di Dalam Watak Buckhingam Ini
Namun, aku sarankan adalah lebih baik jika anda menonton filem ini tanpa terlalu fikirkan tentang kelogikannya kerana jika tidak anda akan menjadi seperti aku yang mungkin sedikit kecewa kerana terlalu banyak elemen moden dimasukkan di dalam filem ini. Hahahaha! Bagi aku adalah satu perkara yang agak aneh apabila watak Milady sebagai seorang wanita yang hidup pada abad ke-17 ini berjaya menewaskan ramai pengawal istana dengan memakai gaun kembang yang bukannya dicipta untuk berlari apatah lagi untuk berjalan dengan laju. Kemudian, sedikit ganjil apabila Milady yang disangka mati apabila terjatuh dari aras yang cukup tinggi ke dalam laut masih mampu hidup apabila diselamatkan oleh Buckingham yang dipertontonkan pada babak akhir. Ada banyak perkara lagi yang boleh diulas tetapi biar aku tinggalkan disini supaya kalian sendiri pergi menonton. Hehehe!

 James Corden Sebagai Planchet Sangat Menghiburkan

Bagi aku filem ini memang mampu membuat anda terhibur daripada permulaan sehingga ke penamatnya kerana pelakon - pelakon di dalam filem ini semua hebat - hebat dan berjaya melakonkan watak masing - masing dengan bagus. Elemen komedinya juga melucukan. Aksi yang dipaparkan juga menarik dan penuh kejutan Lokasi pengembaraannya juga cantik dan menarik. Cuma mungkin terdapat beberapa perkara yang terlalu berlebih - lebihan seperti yang aku nyatakan di atas terutamanya tentang babak kapal udaranya yang bagi aku sedikit sebanyak mungkin mencacatkan sedikit filem ini kerana keasliannya boleh dipersoalkan. Mungkin juga aku sedikit kecewa kerana watak Milady dan Buckingham lebih ditonjolkan berbanding watak penting filem ini sendiri iaitu The Three Musketeers. Apa - apapun, aku tetap terhibur dan menantikan sekuel filem ini muncul pula di pawagam. Jadi, selamat menonton semua!

 Logan Lerman Berjaya Memberi Tenaga Pada Watak D’Artagnan
Dan Melakonkan Setiap Aksi Tanpa Bantuan Pelakon Lagak Ngeri!

P/S : Seronok Melihat Watak King Louis Yang Gilakan Fesyen Di Dalam Filem Ini! (^_^)Y

Catat Ulasan

2 Ulasan