Review Filem Sesuatu Yang Tertinggal



Filem:
Sesuatu Yang Tertinggal


Pengarah:
Asrull Hisyam


Genre:
Seram & Drama


Pelakon:
Sara Ali, Zahiril Adzim, Shera Aiyob,
Rafael El Arash, Daniel El Arash, Farhanna, Namron,
Ainur Syakina, Beto Khusyairi, Kismah Johar & Etc.


Penilaian:
4 / 10


Sinopsis:

Filem seram ini mengisahkan tentang enam orang penghuni rumah anak yatim iaitu Arshad(16 tahun), Mona(15 tahun), Zakiah(15 tahun), Ashraf(11 tahun), Daud(10 tahun) dan Murni(9 tahun) yang melalui satu pengalaman yang menghantui mereka ketika menetap di sebuah rumah lama. Cerita bermula apabila mereka dan penghuni-penghuni Rumah Anak Yatim Setia harus berpindah ke sebuah rumah yang telah diwakafkan oleh seorang lelaki. Rumah itu adalah milik arwah datuknya.

Sebuah almari antik telah dijumpai oleh anak-anak yatim tersebut semasa proses pembersihan dan mereka mengambil keputusan untuk mengalihkan almari itu ke bilik yang lain. Semasa mereka memindahkan almari tersebut, ia tergelincir dan menyebabkan lantai kayu usang terkopak. Arshad menjumpai sebuah cermin muka tua melalui celahan bahagian yang terkopak dan menghadiahkan kepada Mona tanpa mengetahui bahawa cermin itu bakal menjerumuskan mereka ke ambang misteri. Mona terus berubah sikap selepas itu. 

Bella iaitu seorang pelajar yang sering memperlekehkan Mona di sekolah dan seorang pengawas sekolah yang menyukai Mona telah dikejutkan dengan peristiwa ngeri yang menimpa mereka. Daud pula cuba meyakinkan Arshad bahawa Mona telah dirasuk melalui penelitiannya terhadap komik-komik seramnya. Akhirnya mereka merancang sesuatu untuk memerangkap kuasa yang telah mendampingi Mona. Berjayakah mereka? Apakah sebenarnya yang mengganggu hidup Mona? Adakah cermin lama dan almari antik yang berada di dalam rumah lama itu saling bersangkut paut?


 Ulasan Hans:

Filem tempatan pertama membuka tirai pada tahun 2012 ini ialah filem Sesuatu Yang Tertinggal iaitu sebuah lagi naskhah bergenre seram yang menemui penonton pada hari ini iaitu hari Khamis(5 Januari 2012). Menampil 2 pelakon kegemaran aku iaitu Zahiril Adzim dan Namron serta pelakon wanita yang makin meningkat naik iaitu Sara Ali maka aku mengharapkan filem ini mampu memberi aku sesuatu yang memuaskan hati namun sangkaan aku sedikit meleset. Disebabkan filem ini menampilkan pelbagai watak yang difokuskan kepada 6 orang penghuni rumah anak yatim iaitu Arshad, Mona, Zakiah, Ashraf, Daud dan Murni serta watak penjaga rumah serta 2 orang budak sekolah yang lain iaitu Johan(pengawas sekolah yang nakal) serta Bella(pelajar yang memegang gelaran dramatis sekolah selama 2 atau 3 tahun) maka kebanyakan karakter gagal berkembang dengan baik dan ini secara tidak langsung sedikit mencacatkan filem ini.

Dua Teraju Utama Filem Sesuatu Yang Tertinggal


Permulaan 30 minit yang agak perlahan dimana babak awal filem yang mengisahkan tentang sejarah sebuah cermin yang menjadi subjek utama filem ini gagal untuk diceritakan dengan baik membuatkan aku sedikit keliru berkenaan segala kisah disebalik cermin tersebut. Apa sebenarnya rahsia disebalik cermin tersebut sehingga menyebabkan Mona berubah secara drastik yang gagal untuk diterjemahkan dengan lebih menarik. Kisah silam Mona juga tidak ditonjolkan dengan lebih jelas! Namun apa yang menarik ialah pada babak akhir yang melibatkan nasib 5 orang penghuni rumah anak yatim ini yang terperangkap di dalam sebuah dunia lain. Cuma sayangnya kebanyakkan plot filem ini terlalu cepat, terkejar - kejar dan tidak membina perkembangan watak - watak yang lain.

Watak Arshad Tidak Kuat Di Dalam Filem Ini

Entah kenapa aku terasa sedikit janggal melihat Zahiril menjadi sebagai seorang pelajar di dalam filem ini kerana perasaan itu tidak muncul sewaktu aku melihat dia sebagai seorang pelajar di dalam drama Juvana. Sara Ali pula bagi aku memang hebat di dalam melakonkan watak Mona cuma sayangnya kesan solekan untuk watak Mona sangat lemah. Aku dapat bayangkan jika wajahnya disolek dengan lebih bagus ditambah dengan apa yang telah Sara berikan untuk menghidupkan watak Mona adalah tidak mustahil karakter ini akan lebih bertambah aura seramnya. Lakonan pelakon kanak - kanak di dalam filem ini juga tidak terlalu kuat tetapi bukannya kerana mereka tidak terlalu bagus cuma perjalanan cerita ini yang tidak membantu watak mereka berkembang menjadi bagus terutama watak Mona. Watak Mona itu sendiri sebenarnya begitu bercelaru dan sangat kabur kerana apakah sebenarnya kaitan Mona dengan kisah imbas kembali dan kenapa sejak awal lagi Mona yang diganggu seperti pada adegan cubaan pertama kali mengalihkan almari lama di rumah tersebut. Apa hubung kait Mona dengan kisah cermin tersebut sebenarnya?

Lakonan Sara Ali Sebagai Mona Agak Cemerlang

Bagi aku watak Murni yang ditakuti oleh penghuni lain kerana selalu bercakap seorang diri tetapi sebenarnya beliau mempunyai 'penjaga' mengikut salah satu adegan yang dipaparkan jika dikembangkan dengan lebih mendalam mampu menjadikan filem ini lebih menarik. Sejak awal lagi watak Murni ini ditunjukkan sebagai seorang kanak - kanak yang mempunyai 'sesuatu' di dalam dirinya namun kelebihan ini tidak diaplikasi dengan baik di dalam filem ini. Anehnya juga apabila di dalam satu babak dimana Arshad yang menjumpai cermin lama tersebut tiba - tiba menyembunyikannya di dalam baju lalu memberinya kepada Mona sebagai hadiah tanpa ada sebarang kejutan di dalam jangka waktu tersebut. Melihat pula kepada babak kematian yang melibatkan Bella dan Johan yang tidak lah memberi sebarang kejutan kerana kematian mereka sudah boleh dijangka. Cuma aku tidak pasti jika manusia terkena renjatan elektrik adakah kesannya sehingga boleh menghancurkan badan? Sebab jika melihat kepada kes - kes kecurian kabel yang melibatkan kematian akibat renjatan elektrik tak ada pula sehingga seluruh badan hancur berkecai sebegitu rupa. Aku seolah - olah sedang menonton Scary Movie pula melihatkan babak kematian Johan tersebut.

Salah Satu Babak Seram Di Dalam Filem Ini

Filem ini sebenarnya boleh menjadi sangat menarik jika plot dan jalan ceritanya diolah dengan lebih kemas dan teliti serta mereka menggunakan sebaik mungkin peranan cermin lama, permainan spirit of the coin serta 'teman istimewa' Murni kerana bagi aku itulah kekuatan filem ini kerana penonton sebenarnya boleh dikelirukan mengenai apakah sebenarnya punca yang menggangu mereka kerana ketiga - tiga elemen ini sebenarnya ada hubung kait namun segala - galanya agak lemah pada pandangan aku. Keseramannya masih ada tetapi tidak berada di tahap maksima. Memang ada 'Sesuatu Yang Tertinggal' pada filem ini. Apa - apapun, setiap penonton ada pandangan masing - masing jadi aku ucapkan selamat menonton pada kalian semua.


P/S : Berminat Untuk Menonton Journey 2 : The Mysterious Island! (^_^)Y

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. penat tonton filem seram melayu
    busan..

    BalasPadam
  2. filem ni mula2 cam ada idea yang best untuk dikembang2kan tapi start je hantu tu muncul aq dah cam rasa celaru betul...

    setuju dengan review ni, ntah ape tujuan hantu tu muncul pun cam pelik, pastu nak bunuh hantu tu just letak cermin je lantas ia diserap...apekah..

    hehe, jemput baca review di kakiwayang pula...=)

    BalasPadam