Review Filem Robin Hood


Filem:
Robin Hood

Penilaian:
8 / 10

Pengarah:
Otto Bathurst 

Genre:
Aksi

Pelakon:
Taron Egerton, Ben Mendelsohn, Eve Hewson, Jamie Foxx,
Jamie Dornan, Tim Minchin, Paul Anderson, F. Murray Abraham & Etc

Tarikh Tayangan:
22 November 2018

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang lelaki kaya bernama Robin Loxley yang hidup bahagia bersama kekasihnya Marian sebelum ditugaskan sebagai askar dan dihantar secara paksa ke negara Arab oleh pihak pemerintah Sheriff of Nottingham untuk menentang penentang Arab. Selama empat tahun, Robin dan pasukannya terlibat di dalam peperangan menentang puak Arab sehinggalah pada suatu hari satu kejadian menarik berlaku sewaktu Robin dan pasukannya menyerang kubu kuat pejuang Arab. Pada ketika inilah Robin tanpa sengaja mengenali Little John dan menyelamatkannya di dalam satu kejadian sehingga dia dituduh sebagai pengkhianat dan dihantar pulang semula ke negaranya. Setibanya Robin di Nottingham, dia mendapat tahu tentang sebuah berita yang cukup aneh berkenaan dirinya. Ditambah pula apabila dia mengetahui bahawa cinta kekasihnya telah berubah arah membuatkannya Robin berasa sangat marah dan cuba untuk membalas dendam. Persoalannya, apakah yang membuatkan Robin berasa terlampau marah? Berita aneh apakah yang diketahui oleh Robin? Adakah Robin berjaya mendapatkan cintanya semua dan memperbetulkan keadaan yang sudah kacau bilau? Apakah pula punca Robin mula merompak di dalam jalan cerita filem terbaru ini? Saksikan filem yang cukup menarik dan penuh dengan aksi ini di pawagam berhampiran anda pada 22 November 2018 akan datang untuk mengetahui jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut.

Ulasan:

Alhamdulillah pada 15 November 2018 yang lepas, aku berasa cukup gembira kerana mendapat jemputan istimewa daripada pihak TGV Pictures Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan ekslusif sebuah filem yang amat aku nanti-nantikan untuk ditonton iaitu filem Robin Hood yang diadakan di TGV Cinemas One UtamaMenjadi antara orang terawal di Malaysia yang berpeluang menonton filem aksi yang cukup hebat ini sememangnya membuatkan aku berasa puas saat awal tayangan filem ini bermula sehingga tiba ke bahagian penamatnya. Walaupun pada awalnya aku agak skeptikal dengan intipati serta jalan cerita filem ini memandangkan kisah Robin Hood sudah banyak difilemkan dan didatangkan di dalam pelbagai versi sama ada mengikut kisah asal atau sebaliknya, namun aku melihat versi kali ini tampil dengan sesuatu yang unik dan membuatkan aku rasa filem ini sangat berbaloi untuk ditonton oleh anda semua di panggung wayang nanti.


Filem Robin Hood kali ini aku rasakan agak istimewa dari segi plot penceritaannya. Walaupun karya ini masih tidak dapat lari daripada elemen saduran kisah lama iaitu berkaitan seorang lelaki yang melakukan rompakan harta orang kaya dan diberikan kepada orang-orang miskin namun kali ini elemen yang aku sebutkan itu hanya dipertontonkan secara asas sahaja. Apabila aku menonton filem ini, aku masih percaya filem ini memang tentang Robin Hood namun aku sukakan bagaimana jalan cerita filem ini diolah menjadikannya sangat berbeza dengan memasukkan elemen serta permasalahan kisah moden zaman kini. Lebih menarik karya ini dipersembahkan mengikut latar tahun zaman dahulu dan berjaya mencipta sebuah kelainan bukan sahaja terhadap penceritaan tetapi terhadap watak, perwatakan serta perkembangan watak Robin Hood itu sendiri. Ini yang menjadikan filem ini bukan sahaja lain daripada versi-versi sebelumnya tetapi mempunyai keunikan serta magis yang berjaya menghiburkan saat anda menonton filem ini. 


Aku melihat filem ini bijak menggabungkan masalah penyalahgunaan kuasa, rasuah, korupsi dalam kepimpinan kerajaan sehingga menidakkan kuasa dan kepercayaan agama di dalam kehidupan sambil digabungkan dengan penceritaan asal berkaitan cinta dan kasih sayang. Namun, bagaimana hubungan cinta kali ini dipertontonkan juga pun bagi aku agak berbeza dan menjadikan filem ini bukan sekadar filem aksi tipikal yang sering ditonton. Berbalik kepada isi kandungan cerita filem ini dimana kekerasan dialog di dalam beberapa babak filem ini yang bermain dengan agama membuatkan aku teringat seketika terhadap kontroversi yang sedang melanda filem Polis Evo 2 sekarang. Jika dibandingkan hal tersebut di antara kedua-dua filem ini, Polis Evo 2 memang tiada apa-apa pun yang hendak diperkatakan tetapi berbeza dengan filem Robin Hood dimana keterbukaan filem ini di dalam mempersoalkan tokoh-tokoh agama mereka sememangnya sangat berani dan mempunyai bahang-bahang kontroversi yang bijak. Namun, inilah yang membuatkan jalan cerita filem Robin Hood ini bertambah menarik untuk ditonton dan disokong pula oleh babak-babak aksi di dalam filem ini yang sememangnya bertaraf dunia.


Aku cukup sukakan bagaimana watak-watak utama serta watak pembantu di dalam filem ini dikembangkan kisahnya dan berjaya disatukan dengan plot cerita yang berhubung kait dan agak kemas. Jadi, walaupun momentum ceritanya bergerak pantas namun aku tidak merasakan filem ini mempunyai kelompongan cerita yang besar. Ini kerana kesemua persoalan yang bermain di dalam fikiran tentang setiap tindakan atau emosi yang terhasil pada setiap wataknya sentiasa terjawab pada babak-babak terkehadapan dan disokong pula oleh kesinambungan setiap kisah cerita yang kuat antara satu sama lain. 


Menonton trailer filem ini sahaja anda sudah mendapat jawapan awal bahawa filem ini memang sarat dengan babak aksi yang sangat memukau pandangan. Kejelasan visual serta pergerakan kamera yang lancar dan diambil melalui sudut yang kreatif dapat dilihat jelas pada babak pertarungan, memanah, pertempuran serta letupan yang sememangnya sangat mengagumkan aku. Ada sebahagian filem bergenre aksi dimana walaupun aksi-aksinya menarik tetapi ia membuatkan mata penonton cepat keletihan disebabkan pergerakan kamera yang tidak lancar dan bergoyang-goyang pada babak aksi yang panjang durasinya. Namun, hal ini ternyata berbeza apabila anda mampu menikmati dan meghayati babak-babak aksi di dalam filem Robin Hood ini walaupun ia adalah babak yang panjang. Percayalah anda pastikan sukakan filem ini! 


Sinematografi filem ini bagi aku juga menarik dan cantik. Kesan khas CGI filem ini juga berjaya menjadikan plot-plot ceritanya kelihatan sesuai dengan latar masa yang dipertontonkan. Aku juga cukup tertarik dengan kesan solekan ngeri yang dipertontonkan di dalam beberapa babak filem ini yang bagi aku berjaya menyampaikan rasa sakit watak-wataknya. Props yang digunakan serta pakaian para pelakonnya sememangnya sangat bersesuaian dengan status watak serta latar masa yang digambarkan. Aku agak kagum dengan ketelitian produksi filem ini berkaitan hal ini.


Aku melihat filem Robin Hood kali ini mempunyai tiga kekuatan utama yang mampu membuatkan penonton jatuh hati dan akan menonton filem ini sehingga penamat. Kekuatan watak serta perkembangan jalan ceritanya yang menarik dan tersusun kemas membuatkan anda pasti akan menikmati segala momen-momen kehidupan dan pengalaman yang dilalui oleh watak utama bernama Robin ini. Selain itu, kekuatan babak aksi kali ini berjaya dipertontonkan dalam keadaan yang agak wajar dimana watak Robin ini bukannya digambarkan seperti seorang superhero tetapi berjaya meyakinkan penonton untuk menganggap Robin sebagai seorang lelaki yang mempunyai kemahiran berlawan namun masih tetapi seorang manusia biasa yang tidak kebal. Ini dapat dilihat di dalam beberapa babak yang menyokong hal tersebut. Selain itu, filem ini juga bukan sekadar sebuah filem kitar semula yang hanya menghiburkan penonton dengan elemen-elemen pecah panggung untuk mendapat kutipan tertinggi tetapi kelainan mesej-mesej yang dibawakan kali ini agak bermakna serta membuka mata penonton untuk melihat filem ini daripada sisi pandang yang lain. 


Antara babak-babak yang menarik perhatian aku di dalam filem Robin Hood ini ialah:

1. Babak pertemuan awal di antara Robin dan Marion yang bagi membawakan versi yang sangat berlainan tetapi mempunyai momen romantis yang memacu perkembangan kedua-dua watak ini hingga akhir.

2. Babak pertempuran di sebuah kawasan di negara Arab dimana ia merupakan pertama Robin dengan Little John. Aku sukakan babak ini kerana ia menunjukkan pertembungan di antara nilai moral, kemanusiaan serta ketaatan terhadap negara. Satu babak yang memberikan impak yang baik kepada perkembangan awal filem ini.

3. Babak pertemuan semula di antara Robin dan Sherrif of Nottingham dimana babak ini merupakan babak penting di dalam filem ini dan penuh dengan pelbagai rasa serta elemen emosi yang dapat dilihat melalui pergerakan tubuh dan emosi wajah kedua-dua pelakonnya. Kalau nak lebih faham maksud aku tentang hal ini maka anda wajib menonton filem ini untuk mengetahui jawapan kepada hal ini.

4. Babak latihan dan pertempuran yang melibatkan Robin Hood walaupun dapat dilihat dengan kerap di dalam filem ini namun ia membuatkan anda masih tidak puas kerana aksi-aksi yang ditampilkan sama ada dalam keadaan gambar visualnya bergerak pantas atau perlahan sangat indah untuk dinikmati. Seperti yang aku katakan tadi visual aksi di dalam filem ini dapat dilihat dengan jelas dan gaya penyampaiannya juga agak kreatif dan mengujakan.

5. Babak berkaitan dengan persoalan berkenaan pengaruh wang dan kesannya terhadap agama yang ditampilkan di dalam filem ini sememangnya bagi aku sangat berani dan membuatkan aku cukup kagum dengan ungkap dialog yang berkaitan dengan hal ini. Sekali lagi anda perlu tonton filem ini untuk melihat sendiri babak yang aku maksudkan ini dan pasti anda akan melopong kagum mendengar dialog-dialog panas tersebut.

6. Babak terakhir filem ini juga bagi aku menarik dan lari jauh daripada babak akhir filem-filem yang berkonsepkan kisah rakyat. Pengakhiran yang berjaya membuatkan anda terfikir tentang realiti sebenar seorang manusia apabila berada di dalam situasi atau kedudukan yang berbeza dengan apa yang mereka pernah alami sebelum ini. Aku tidak mahu bocorkan tentang babak akhir tersebut kerana itu antara babak menarik dan penting di dalam filem ini yang anda harus tonton untuk melihat apakah kesudahan yang bakal terjadi kepada watak Robin Hood ini.


Jadi, aku dengan sukacitanya disini menyenaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Robin Hood di pawagam berhampiran anda pada 22 November 2018 ini:

1) Sebuah filem aksi yang diadaptasi daripada kisah rakyat yang terkenal tetapi penceritaannya berjaya diubah kepada satu kisah yang berbeza berbanding versi asal dan berjaya mengelakkan filem ini daripada tergolong di dalam filem tipikal Hollywood.

2) Jalan ceritanya yang lebih universal, melangkau jangkaan penonton dan berani bermain dengan permasalahan dunia masa kini seperti korupsi kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan agama serta salah guna wang yang berjaya diolah menjadi begitu cantik untuk ditonton.

3) Babak-babak aksi yang berjaya dilakukan dan dipertontonkan melalui visual yang sangat berkualiti dari segi kesan khas, pergerakan kamera, solekan serta props yang menepati babak serta latar zaman filem ini diceritakan.

4) Para pelakon filem ini berjaya mempersembahkan watak masing-masing dengan baik dan kelihatan sangat hidup melalui pelbagai emosi yang bersesuaian dengan babak penceritaan. 

5) Filem ini mempunyai elemen wajib yang dimahukan penonton iaitu aksi, cinta, kekeluargaan, persahabatan dan juga mesej-mesej positif serta berani untuk dinikmati oleh penonton selama 1 jam 55 minit.


Jadi, aku mengucapkan selamat menonton dan berhibur dengan penangan filem aksi Robin Hood di pawagam berhampiran. Jngan lupa untuk kongsikan komen serta pandangan anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawah. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Fantastic Beasts: The Crimes Of Grinderwald Ini Kalau Aku Rajin Aku Tulis. Hahaha! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Aku rasa macam watak Will tu patut kena ada drpd masa babak2 awal lagi..kot..

    Rasa macam out of nowhere, tiba2 muncul..

    BalasPadam
    Balasan
    1. untuk aku okay jer...
      tak ada lah dia muncul lambat pun...
      awal juga munculnya dan menepati babak selepas 4 tahun

      Padam