Review Filem Spider-Man: Into The Spider-Verse


Filem:
Spider-Man: Into The Spider-Verse

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Bob Persichetti, Peter Ramsey & Rodney Rothman

Genre:
Animasi

Pelakon:
Shameik Moore, Jake Johnson, Hailee Steinfeld, Mahershala Ali,
Brian Tyree Henry, Lily Tomlin, Liev Schreiber, Nicolas Cage, Stan Lee & Etc.

Tarikh Tayangan:
7 Disember 2018

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:

Filem animasi ini mengisahkan Miles Morales yang merupakan seorang remaja dari Brooklyn dan telah berubah kini menjadi salah seorang adiwira Spider-Man tanpa sengaja. Pada suatu hari, Miles telah terlihat satu kejadian menakutkan dimana Peter Parker @ Spider-Man yang dikenali ramai telah mati dibunuh oleh seorang penjenayah. Namun apa yang lebih mengejutkan apabila selepas itu Miles bertemu semula dengan Peter Parker. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem animasi yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 7 Disember 2018 untuk mengetahui sambungan kisahnya.

Ulasan:

Sepatutnya aku berpeluang menonton tayangan perdana filem Spider-Man: Into The Spider-Verse ini lebih awal tetapi disebabkan kesibukan bekerja menyebabkan aku terlepas peluang tersebut. Jadi, aku mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem animasi ini di GSC IOI Mall Puchong pada 9 Disember 2018 yang mendapat pujian ramai kaki wayang, peminat komik Spider-Man serta pengkritik filem di seluruh dunia. Sememangnya apa yang dikata-katakan selama ini ada kebenarannya kerana filem ini betul-betul menghiburkan aku daripada awal sehingga ke akhir melalui jalan ceritanya yang mantap dan memukau sepanjang 1 jam 57 minit  ianya dipertontonkan di layar perak. 


Pada permulaannya aku agak risau untuk menonton kerana aku bukannya peminat fanatik komik Spider-Man. Tetapi, apa aku boleh katakan filem ini sesuai ditonton oleh sesiapa sahaja walaupun mereka tidak pernah tahu tentang sejarah watak-watak Spider-Man ini. Naskhah kali ini tidak bersangkut paut langsung dengan filem-filem Spider-Man terdahulu yang dilakonkan sama ada oleh Andrew Garfield, Tobey Maguire mahu pun Tom Holland. Kali ini watak Miles Morales pula yang diangkat daripada komik keluaran tahun 2011 sebagai seorang adiwira Spider-Man terbaru selepas digigit oleh labah-labah yang dicemari sinaran radioaktif. Namun, menariknya sesi pengenalan Miles ini turut menggunakan konsep sama terhadap pengenalan watak-watak lain Spider-Man yang datang daripada pelbagai latar masa menjadikan filem ini sangat melucukan.


Apa yang membuatkan filem animasi kali ini sangat istimewa kerana ia menampilkan enam watak beserta enam kisah asalnya di dalam satu jalan cerita filem. Bayangkan enam watak ini digabungkan tetapi aku yang pada awalnya tidak tahu menahu tentang watak-watak lain ini pun boleh mengenali dan menyukai karakter-karakter Spider-Man ini kerana ia disampaikan dengan gaya penceritaan yang betul-betul melucukan. Semestinya watak Peter Parker di masa hadapan yang berperut buncit berjaya menggamatkan panggung dengan gelak tawa daripada penonton. Kemudian, kemunculan Spider-Women iaitu Gwen juga menjadikan plot filem ini bergerak dengan lebih menarik sebelum kemunculan watak Spider-Man Noir yang disumbangkan suaranya oleh Nicolas Cage yang betul-betul menghiburkan aku. Dibantu pula oleh keletah watak comel Peni Parker dan robotnya yang datang dari tahun 3000++ serta elemen humor yang turut berjaya disumbangkan oleh watak Spider-Ham menjadikan filem ini sangat-sangat berbaloi untuk ditonton. 


Aku pada mulanya agak skeptikal melihatkan filem ini yang begitu sarat dengan watak-watak utama Spider-Man dalam pelbagai versi kerana aku tidak yakin filem ini mampu memberi ruang dan kemunculan yang adil kepada setiap watak ini untuk menyinar dan berdiri dengan kelebihan kisah masing-masing. Tetapi, filem ini memang memberikan aku satu kejutan yang menarik kerana ia bukan sahaja langsung tidak gagal di dalam memberi peluang sama rata kepada semua watak ini malahan berjaya membuatkan kisah watak-watak ini berkembang dengan baik dan mempunyai kekuatannya yang tersendiri.


Menyentuh tentang teknik pembuatan animasinya pula, apa yang boleh aku katakan ialah lakaran visual animasi 2D di dalam filem ini sangat jelas dan kemas. Lebih menarik setiap lakaran animasi watak-watak ini berjaya divisualkan mengikut era watak masing-masing dan menjadikan babak pertemuan dan perkumpulan mereka kelihatan begitu gah dan mengagumkan. Watak Spider-Man Noir misalnya datang dengan warna hitam putih yang sangat menawan manakala watak Spider-Ham pula tampil dengan lakaran seni tradisional 2D sebelum Peni Parker pula didatangkan di dalam bentuk anime.


Filem Spider-Man: Into The Spider-Verse sememangnya merupakan sebuah filem animasi keluaran Marvel yang sangat berjaya dan amat menghiburkan untuk tontonan seisi keluarga. Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 7 Disember 2018 ini:

1) Filem animasi ini menampilkan jalan cerita bermesej serta mempunyai elemen humor yang sesuai untuk golongan kanak-kanak mahu pun dewasa. Dialog serta aksi pertempuran yang dipertontonkan juga turut bersesuaian untuk tontonan. Mesej kekeluargaan yang cukup kuat di dalam filem ini berjaya disampaikan dengan sempurna melalui jalan cerita watak utamanya iaitu Miles Morales. 

2) Kemunculan pelbagai watak Spider-Man daripada zaman hitam putih hingga kepada zaman hadapan yang futuristik pasti akan membuatkan anda kekal di tempat duduk untuk menghabiskan tontonan kerana kisah setiap wataknya berjaya dikembangkan dengan begitu cantik dan teliti.

3) Grafik, warna, lakaran, pergerakan, suntingan serta sinematografi filem animasi ini sangat kemas dan cantik untuk ditonton dan dinikmati oleh anda sepanjang berada di dalam panggung wayang.

4) Kemunculan watak Stan Lee di dalam filem ini agak menghibakan tetapi pada masa yang sama memberikan satu momen menarik yang pasti diingati oleh penggemar filem dan komik keluargan Marvel.


Jadi, selamat menonton filem Spider-Man: Into The Spider-Verse yang sangat menghiburkan ini dan kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Nantikan Ulasan Filem Yang Dinanti-Nanti Ramai Iaitu Filem Aquaman Pada 12 Disember 2018 Ini!

Catat Ulasan

14 Ulasan

  1. Review 3AM dah hilang, kenapa ye? Kelakar review tu Hans, heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha...tak boleh up review sebab tak minta kebenaran daripada pengarah....hahahaha

      Padam
  2. ok,nampak macam menarik bila baca review ni..

    BalasPadam
  3. Menarik n review yg solid! Bleh try tgk movie ni nnti haha

    BalasPadam
    Balasan
    1. sila tonton
      pasti tak menyesal
      walaupun filem animasi tetapi impak keseronokannya berganda

      Padam
  4. Baru saya faham apa maksud Hans... rupa nya barang siapa yg hentam film 3AM tu akan di SOUND oleh pihak produksi ye. Ada beberapa reviewer yg terima nasib yg sama. Teruskan lagi Hans utk memberi review2 yg menarik, TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha
      itulah
      tetapi bila dah semak balik apa semua setakat nih ulasan Hans tak ada pula maki hamun atau tulis jangan tengok filem tu
      dan benda yang ditulis memang itu yang Hans tengok dan rasa
      jadi, sebab tu hans publish balik
      hehehe

      Padam
  5. haaa....memang akak nak tengok cerita ni hans :)

    BalasPadam
  6. Hans akak dah tengok semalam kat gsc. Memang best 👍👍

    BalasPadam