10/12/18

Review Filem Kedarnath


Filem:
Kedarnath

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Abhishek Kapoor

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
Sushant Singh Rajput, Sara Ali Khan, Nitish Bharadwaj, Alka Amin & Etc.


Tarikh Tayangan:
7 Disember 2018

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Mansoor seorang porter Muslim yang bertanggungjawab membantu Jemaah haji dalam perjalanan 14 kilometer dari Gauri Kund ke Kedarnath, iaitu kuil Lord Shiva yang berusia 2000 tahun. Satu hari dia bertemu dengan wanita jelita bernama Mukku, seorang pelancong Hindu yang dalam perjalanan ke kuil itu. Selepas menyelamatkan Mukku dari banjir Uttarakhand, cinta di antara mereka mula berputik. Saksikan filem hebat yang sangat kreatif ini untuk mengetahui kesudahan kisahnya.


Ulasan:

Alhamdulillah berkat kerajinan yang membuak-buak telah berjaya membawa aku menjejakkan kaki di TGV Cinemas Jaya Shopping Centre pada 9 Disember 2018 untuk menonton filem Bollywood terbaru berjudul Kedarnath. Filem ini mengambil inspirasi daripada kisah benar berkaitan tragedi banjir besar yang berlaku di Kedarnath pada tahun 2013 yang mengorbankan ribuan nyawa penduduknya serta telah menghancurkan kawasan rantau tersebut.


Filem ini telah mendapat kritikan yang agak teruk daripada sebilangan rakyat India yang menontonnya. Namun, aku pula berpendapat sebaliknya walaupun filem ini terus tegar membawakan kisah cinta yang sering menjadi pilihan utama filem-filem dari negara India terutamanya dari industri Bollywood. Sekali lagi filem ini bermain dengan kisah percintaan berlainan agama iaitu antara Islam dan Hindu tetapi ia agak menarik untuk melihat anak gadis pelakon Saif Ali Khan iaitu Sara Ali Khan diberi peranan untuk menggoda seorang porter Muslim bernama Mansoor Khan yang dilakonkan oleh Sushant Singh Rajput. Walaupun perkara ini bukanlah sesuatu yang baru di dalam dunia perfileman Bollywood, namun gabungan kedua-dua pelakon ini mempunyai keserasian dan keunikan yang tersendiri menjadikan mereka berdua merupakan pasangan yang menarik untuk dilihat di layar perak.


Aku menyukai filem ini kerana filem ini telah berjaya memberi maklumat kepada aku tentang kawasan penganut Hindu melakukan amalan keagamaan mereka. Pada permulaannya filem ini juga telah berjaya memberikan aku satu tanggapan yang menarik apabila babak awalnya berjaya menunjukkan tentang tahap prejudis masyarakat disana terhadap agama Islam. Ia menunjukkan seorang wanita penganut Hindu yang tidak berasa selesa dengan Mansoor Khan yang akan membawanya pergi ke bandar suci penganut Hindu tersebut. Kemudian babak-babak seterusnya juga turut berani bermain tentang soal agama berkenaan kesetiaan serta ketaatan anak terhadap ibu bapa serta agama masing-masing. Aku melihat plot cerita ini sememangnya agak terbuka dan berani di dalam mempersoalkan hal ini di dalam kisahnya. Permulaan sehingga pertengahan ini bermula dengan agak cantik sebelum plot cerita kelihatan sedikit goyah bermula pada pertengahan cerita.


Ini disebabkan terlalu banyak peristiwa serta pecahan cerita yang ingin disampaikan menyebabkan filem ini kelihatan seperti lari daripada tapak utama yang sebelum ini cantik dipasak kemas di daratan. Aku melihat kacau bilau ini apabila terdapat tiga pecahan cerita yang wujud dan mempunyai kekuatan tersendiri iaitu percintaan pasangan yang berlainan agama serta ketaatan keluarga dan agama, rancangan mengkomersialkan kawasann Kedarnath yang turut mempersoalkan antara agama dan wang serta masalah alam sekitar dimana berlakunya tragedi banjir besar di kawasan Kedarnath. Ketiga-tiga ini dilihat sama kuat kekuatan kisahnya tetapi disebabkan perjalanan ceritanya menjadikan ketiga-kiga kisah ini tidak dapat berdiri sama hebat.


Sebagai contoh apabila anda menonton treler filem ini, ia memaparkan keadaan banjir yang berlaku di Kedarnath tetapi apabila anda menonton filem ini, durasi bencar banjir itu hanya dipertontonkan pada setengah jam terakhir filem. Aku tidak bermaksud untuk mengatakan filem ini gagal kerana apa yang disampaikan melalui visual boleh dikatakan menarik kerana dibantu dengan kesan khas yang boleh tahan cantik. Tetapi, sayangnya kerana babak tragedi banjir yang dipertontonkan ini terlalu cepat berakhir menyebabkan rasa simpati yang baru muncul di hati penonton tidak dapat dikeluarkan sehabis baik.



Namun, secara jujurnya aku sangat menyukai babak klimaks serta pengakhiran filem Kedarnath ini dimana ia berjaya menonjolkan kehebatan seorang wira sejati. Aku suka babak helikopter yang betul-betul berjaya membangkitkan perasaan cemas dan sedih dengan begitu cantik dan menawan sekali kerana babak ini menunjukkan satu pilihan yang perlu ditentukan oleh watak utama. Lebih menarik pilihan itu bukannya pilihan mudah kerana ia menjadi penentu kepada pengakhiran cerita filem ini. Emosi kedua-dua watak utama ini berjaya ditonjolkan dengan cukup menyakinkan melalui riak wajah, suara serta pergerakan tubuh menjadikan babak tersebut antara babak paling cemerlang yang wujud di dalam filem Kedarnath. Walaupun filem ini bukan satu-satunya filem Bollywood yang melakukan pengakhiran seperti itu tetapi bagi aku babak tersebut sangat kuat dan berjaya menonjolkan kehebatan kedua-dua watak utama ini dengan baik sehingga membuatkan penonton seperti aku terbuai-buai dengan perasaan yang begitu mengharukan.



Tidak dinafikan Sara Ali Khan yang memegang watak Mandakini bukan sekadar bunga untuk dijadikan pelaris filem tetapi sememangnya kemunculan dia pada awal filem lagi telah berjaya menarik perhatian para penonton. Kecantikannya yang seiras Karisma Kapoor serta perwatakan dan emosinya berjaya disampaikan dengan baik melalui lensa kamera yang aku rasakan sangat mencintai wajah pelakon ini atau dalam erti kata lain ialah wajahnya ialah fotogenik dan mesra kamera. Kemunculannya di dalam filem ini berjaya menjadikan filem ini berkembang dengan pelbagai suasana dan emosi. 


Namun, terdapat beberapa kelemahan yang dapat dilihat di dalam filem Kedarnath ini seperti:

1) Percintaan yang berlaku dan melibatkan pasangan ini dipertontonkan terlalu cepat sehinggakan anda sebagai penonton seolah-olah dipaksa untuk percaya bahawa kedua-dua pasangan ini sememangnya telah jatuh cinta dan saling mencintai antara satu sama lain. Cepat yang aku maksudkan disini ialah kisah percintaan mereka ini tidak mempunyai momen yang kuat untuk menunjukkan yang mereka ini masing-masing telah jatuh cinta.

2) Seperti yang aku nyatakan sebelum ini dimana filem ini mempunyai banyak pecahan cerita yang menarik tetapi setiap cerita tidak dapat berdiri sama tinggi atau duduk sama rendah kerana fokus penceritaannya adakala lari dan lebih memberi keutamaan kepada percintaan pasangan Islam dan Hindu ini.


3) Kekuatan utama filem Kedarnath ini sepatutnya ialah peristiwa banjir besar yang berlaku di kawasan tersebut tetapi sayangnya kerana kisah tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya di dalam filem ini hingga menjadikan peristiwa tersebut tidak seimbang di dalam plot cerita. Secara mudah boleh lihat plot cerita filem Titanic dimana kisah cinta serta tragedi karam kapal tersebut berlaku secara seimbang dimana anda dapat merasai kedua-duanya sekali. Tetapi, di dalam filem ini kisah cinta telah membunuh kisah tragedi banjir tersebut. Sayang sekali! 


Namun, filem Kedarnath bukannya sebuah filem yang gagal bagi aku kerana ia masih menarik dan menghiburkan untuk ditonton. Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Bollywood ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 7 Disember 2018 ini:

1) Sebuah filem yang memberikan anda satu pemandangan serta kisah baru tentang tempat suci kepercayaan penganut Hindu di India yang bercampur dengan penganut Islam yang bekerja di kawasan tersebut. Ia sebenarnya satu pemandangan yang kelihatan unik dan menjadikan kisahnya punya identiti tersendiri.

2) Peristiwa banjir besar yang melanda kawasan tersebut berjaya dipertontonkan dengan baik melalui kesan khas yang digunakan. Ada yang kelihatan nyata dan ada juga sebahagiannya yang nampak sedikit animasi. Tetapi, secara keseluruhan ia tidak mengecewakan dan menjadikan anda teruja saat menonton babak-babak kejadian banjir tersebut.

3) Sinematografi filem ini tersangatlah cantik dan memukau. Anda pasti terpesona melihat visual-visual keindahan kawasan Kedarnath yang dikelilingi gunung hijau, batu-batu besar serta air sungai yang berjaya dipertontonkan dengan cukup indah dibantu dengan props serta latar tempat yang berwarna-warni.

4) Kemunculan Sara Ali Khan pasti akan membuatkan anda terpesona dengannya dan menjadikan tontonan anda sepanjang 2 jam 10 minit terasa sangat berbaloi. Hahaha!

Jadi, selamat menonton filem Kedarnath dan kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Ulasan Filem Yang Akan Menemui Anda Selepas Ini Ialah Spider-Man: Into The Spider-Verse. Nantikan!

6 ulasan:

  1. filem bollywood selalu nya penuh dengan scene n view yg lawo2....

    hero n heroin yg lawo n handsome

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      betul tu
      kalau tidak nanti susah nak jual
      haahaa

      Padam
  2. hi.. content blog menarik.. lets blogwalking and click iklan..done follow u.. follow me back.. http://acuyuhan.blogspot.com/ thanks

    BalasPadam
  3. Xkena langsung sinopsis dgn jalan cerita..Mukku pelancong ke? And selepas menyelamatkan Mukku, cinta mula berputik..😂

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaha...tahu xper...sinopsis tak sama langsung dengan jalan cerita...keh3
      tapi not bad lah filem nih
      boleh layan :)

      Padam