9/12/18

Review Filem One Cut Of The Dead


Filem:
One Cut Of The Dead

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Shinichiro Ueda

Genre:
Seram & Komedi

Pelakon:
Takayuki Hamatsu, Mao, Harumi Shuhama, Yuzuki Akiyama, Kazuaki Nagaya,
Manabu Hosoi, Hiroshi Ichihara, Syunta Yamazaki, Shinichiro Osawa,
Yoshiko Takehara, Miki Yoshida. Sakina Asamori, Ayana Goda & Etc.


Tarikh Tayangan:
20 Disember 2018

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:

Filem ini bermula di sebuah gudang terbiar di mana sebuah pasukan kru filem sedang melakukan penggambaran sebuah filem zombi. Walau bagaimanapun, gudang yang menjadi lokasi penggambaran itu bukan sebuah gudang biasa kerana dikatakan ia adalah bekas sebuah tapak di mana eksperimen ketenteraan pernah dijalankan disitu. Tanpa disangka zombi sebenar tiba-tiba muncul dan mula mengganas. Ini mungkin kelihatan seperti sebuah plot yang klise dari filem zombie tetapi percayalah ia adalah sesuatu yang sangat berbeza di dalam filem kali ini. Bermula dengan penggambaran yang tidak berhenti selama 37 minit, filem ini kemudian beralih arah menjadi sebuah filem genre zombie sepenuhnya yang bakal mengudang tawa penonton. Saksikan filem hebat yang sangat kreatif ini untuk mengetahui kesudahan kisahnya.


Ulasan:

Alhamdulillah aku telah menerima jemputan daripada pihak TGV Pictures Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan ekslusif sebuah filem dari negara Jepun berjudul One Cut Of The Dead yang berlangsung di TGV Cinemas One Utama pada 7 Disember 2018 yang lepas. Aku cukup sukakan filem ini kerana filem ini agak dekat dengan skop pekerjaan aku yang turut terlibat di dalam penghasilan program televisyen. Jadi, apabila filem ini menunjukkan sekumpulan krew produksi filem yang sedang menghasilkan sebuah filem zombie di sebuah gedung lama dalam keadaan serba kekurangan terutama daripada segi kos kewangannya memang berjaya menghiburkan aku secara maksimum.


Filem ini dimulakan dengan satu rakaman terus tanpa sebarang pemotongan selama 37 minit. Pada awalnya mereka hanya berlakon di dalam filem zombie sahaja tetapi keadaan set mula jadi kecoh apabila mereka akhirnya betul-betul diserang zombie yang terdapat di kawasan tersebut. Rupa-rupanya mitos yang mereka dengar sebelum ini tentang lokasi tersebut pernah menjadi kawasan eksperimen manusia oleh tentera Jepun adalah benar. Tetapi, untuk 37 minit yang pertama filem ini membuatkan rasa berbelah bahagi kerana aku belum nampak lagi tipu daya serta kreativiti sebenar yang bijak disembunyikan oleh babak-babak filem ini. Di dalam 37 minit pertama filem ini, aku telah dipertontonkan dengan satu rakaman yang bergoyang-goyang, penuh dengan persoalan, sebuah kisah yang tidak logik dan merapu serta membuatkan aku menyumpah (rasa marah menonton filem 3AM pada petangnya masih belum hilang...hahaha!) kerana apa sebenarnya filem ini cuba sampaikan kepada aku. Zombi-zombi ini menyerang pelakon-pelakon utamanya tetapi kenapa jurukamera langsung tidak diserang? Ini adalah persoalan yang bermain difikiran aku sepanjang 37 minit yang pertama. Tamat sahaja 37 minit tersebut tiba-tiba skrin di layar memainkan ending credit filem tersebut. Pada saat ini terdapat beberapa penonton mulai keluar dari panggung sambil menunjukkan muka yang tidak puas hati. Aku pula disebabkan pernah menonton trailer filem ini dan aku lihat ada beberapa babak di dalam trailer tersebut yang masih belum ditayangkan. Jadi, suara hati aku menyatakan masih ada lagi sambungan filem ini kerana mustahil durasinya hanya 37 minit sahaja.


Kemudian babak imbas kembali pun dipertontonkan semula untuk menunjukkan perancangan asal serta kenapa pelakon-pelakon ini sanggup mengambil keputusan gila untuk mati di dalam filem ini semata-mata atas nama seni. Tetapi, momentum filem ini masih bergerak agak perlahan dan aku perasan ada beberapa penonton di dalam panggung semakin menunjukkan rasa bosan serta kecewa mereka terhadap karya yang kononnya menerima pujian menggunung daripada penonton Jepun dan luar negara. Tetapi, percayalah babak seterusnya selepas pengenalan imbas kembali sehingga ke akhir akan membuatkan anda rasa sangat berbaloi bersabar dan menunggu sehingga filem ini tamat kerana segala-gala perkara negatif, sumpahan atau makian anda permulaan filem ini hilang sama sekali dan digantikan dengan hiburan dan komedi yang sangat kreatif dan bijak. 


Kenapa aku katakan filem ini kreatif? Apa yang aku maksudkan disini ialah jalan ceritanya yang sedikit bosan, pelik, kayu dan tidak masuk akal pada 37 minit pertama itu diulang semula di dalam versi lain tetapi ia berjaya membuatkan anda kekal di tempat duduk untuk tetap setia menonton kembali rakaman 37 minit sebentar tadi. Penerangan ini berjaya membuatkan pandangan negatif anda terhadap filem ini pada peringkat awal hilang sama sekali. Aku cukup sukakan unsur-unsur humor yang wujud secara menyeluruh di dalam plot cerita filem ini kerana ia bukannya sebuah lawak kosong atau lawak bodoh. Bagi aku ia adalah lawak ilmiah yang cukup menawan bagi sesiapa yang memahami atau dekat dengan kerja-kerja pihak produksi di belakang tabir. Dan apabila anda menonton semula rakaman 37 minit tersebut, banyak perwatakan sebenar pelakon-pelakon di dalam filem ini yang anda dapat lihat dan merasa cukup takjub dengan hasilnya. Serius aku cukup suka dengan kreativiti yang wujud di dalam filem ini. Plot ceritanya sebenarnya mudah tetapi bagaimana mereka berjaya menjadikannya sangat kreatif dan menghiburkan itu membuatkan aku sangat bangga dan hormat dengan idea ini.


Filem One Cut Of The Dead sememangnya merupakan sebuah karya unik yang sangat  menghiburkan dan di luar jangkaan aku saat menonton filem ini. Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem hebat dari negara Jepun ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Disember 2018 ini:

1) Filem ini mendapat penilaian 100% di laman Rotten Tomato serta penilaian 8.2 / 10 di laman IMDB. Semestinya ada sesuatu yang menarik tentang filem ini yang menyebabkan ianya dinilai begitu tinggi di mata penonton. Jadi, anda perlu menontonnya untuk memastikan penilaian tersebut adalah benar.

2) Lebih menarik apabila ini hanya bermula dengan hanya 2 skrin sahaja di Jepun tetapi kemudian meningkat kepada lebih 340 skrin. Sehingga kini filem ini masih ditayangkan di pawagam negara matahari terbit tersebut.

3) Filem ini sentiasa menjadi kegemaran dan memenangi pelbagai anugerah antarabangsa dan membanggakan benua Asia.

4) Filem ini mempunyai tayangan perdana secara rasmi di Udine Far East Film Festival pada bulan April yang lalu dimana filem ini telah memenangi anugerah Tempat Kedua Pilihan Penonton dan turut menerima menerima tepuk tangan secara berdiri oleh para penonton disitu.

5) Sejak fenomena yang diterima filem ini di Udine Far East Film Festival, filem ini telah menerima jemputan lebih daripada 60 festival antarabangsa.


Kesimpulannya, aku bukannya menyarankan anda semua pergi menonton filem ini tetapi anda sendiri yang perlu mewajibkan diri menonton filem yang memang bijak di dalam memanipulasi minda para penontonnya. Jadi, selamat menonton filem One Cut Of The Dead yang sangat kreatif ini dan kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Nantikan Ulasan Filem Yang Dinanti-Nanti Ramai Iaitu Filem Aquaman Pada 12 Disember 2018 Ini!

P/S Tambahan : Penilaian Adalah Penilaian Peribadi Aku. Kalau Anda Tonton Dan Anda Tak Suka Itu Adalah Hak Peribadi Anda. Tiada Paksaan Untuk Mempercayai Kerana Masing-Masing Ada Citarasa Tersendiri :)


6 ulasan:

  1. Betul ke 10/10 ni Hans? Mcm tak logik je.. Takpe.. Aku akan tgk sendiri utk penilaian. Apa pun terima kasih

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha...masing-masing kan ada citarasa.
      Untuk saya, filem ini memang menghiburkan.
      Jadi, penilaian diberi adalah penilaian peribadi.
      Paling penting tonton sendiri dan nilai sendiri :)

      Padam
    2. wah semangat zaim :)
      hehehe

      Padam
  2. Setuju juga... apa yg di review oleh Hans memang sama apa yg saya rasa dan lalui semasa menonton film ini. TQ

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      macam mana masa 30 minit pertama tengok?

      Padam